Pages

Ads 468x60px

Featured Posts

Monday, November 19, 2012

DOA KEBAIKAN, BUKAN MUSIBAH


Phnom Penh: Tindakan PAS mendoakan kemusnahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan cara Islam, malah ia menghancurkan kredibiliti PAS.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO tidak pernah mendoakan kehancuran PAS. 




“Tidak pernah... dan dalam Islam pun, itu bukan cara Islam. Itu cara bertentangan dengan prinsip Islam sebab doa adalah untuk kebaikan.

“Ini sangat tidak Islamik... ini akan menghancurkan kredibiliti PAS,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang bermula semalam

Perdana Menteri diminta mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Jumaat lalu. 
Solat hajat itu diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat. Antara kandungannya ialah meminta UMNO dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Di Gold Coast, Australia, mengulas isu sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdoa untuk menghancurkan orang Islam lain seperti dilakukan PAS bukan amalan Islam.

Katanya, orang Islam sepatutnya berdoa supaya penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan, bukannya musibah.

Walaupun UMNO dan PAS berbeza pandangan dari segi politik, ahli kedua-dua parti adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak tahu kalau mendoakan agar umat Islam lain berpecah itu budaya dan amalan PAS.

Tetapi, kalau berdoa untuk menjahanamkan kita, itu bukan Islam sejati, katanya mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, doa seperti itu bukan amalan yang baik kerana UMNO dan BN juga berjuang untuk Islam.

PAS juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. DAP juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. Seluruh rakyat Malaysia mendapat nikmat perjuangan BN, katanya.

BN BINCANG PERSIAPAN PRU13


KUCHING: Persiapan ber­sama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain un­tuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah antara isu yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tert­inggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam.

Perkara tersebut diberitahu oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menerusi sidang media selepas mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat PBB, Jalan Bako dekat sini.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presi­den PBB dan Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Kita tidak tahu tarikhnya tapi jentera kita sentiasa ber­siap sedia pada bila-bila masa pilihan raya diumumkan.

“Sekarang adalah masa bagi kita untuk mengemas kini per­siapan khususnya di kalangan parti-parti komponen BN,” katanya.

Selain itu, menurut Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan, turut dibincang­kan ialah persiapan PBB bagi menyambut kemerdekaan ke-50 Sarawak pada tahun depan.

Katanya sempena sambutan itu, PBB akan mengadakan konvensyen khas pada Mei 2013.
Beliau berkata konvensyen akan memberi tumpuan ke­pada kejayaan dan pencapaian Sarawak sejak 50 tahun lalu selain hala tuju negeri bagi tempoh 50 tahun akan datang terutama sehingga 2030.

“PBB sudah memberi sum­bangan menerusi para pem­impinnya, dasar yang telah dilaksanakan dan pemodenan Sarawak sejak 50 tahun lalu.

“Maka itu, adalah kondusif bagi kita untuk memikirkan apa yang perlu kita buat bagi tempoh 50 tahun akan datang walaupun platform itu sudah ada iaitu yang telah disediakan oleh Ketua Menteri dan PBB untuk kita maju ke hadapan,” katanya.

Tambah beliau, ia juga adalah kesinambungan kepa­da pembangunan di Sarawak tetapi dengan pendekatan ber­beza kerana kejayaan negeri adalah berdasarkan tempoh selama 50 tahun.

“Sarawak dirahmati den­gan hasil tenaga yang banyak selain persekitaran sosial dan politik yang baik,” katanya.


SARAWAK JANJI BELANJAWAN TERBAIK


KUCHING: Kerajaan neg­eri menggambarkan Rang Undang-undang Belanja­wan 2013 yang akan diben­tangkan pada Persidangan Dewan Undangan Neg­eri (DUN) mulai hari ini adalah yang terbaik kepada rakyat.

Menteri Perumahan mer­angkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata belanjawan ini akan memberi fokus kepada soal pemban­gunan iaitu 70 peratus dari­padanya (belanjawan) yang akan memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dua rang undang-undang akan dibentangkan pada me­syuarat DUN kali ini yang berlangsung mulai esok (hari ini) hingga 28 November ini.

“Pertama Rang Undang-undang Belanjawan 2013 yang memberi gambaran terbaik dengan peruntukan besar untuk sektor pembangunan dan Rang Undang-undang Civil List, iaitu kita akan memberi peruntukan untuk menyelenggara tempat kedia­man Tuan Yang Terutama (TYT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat pra-DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri oleh barisan menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri muda serta wakil-wakil rakyat BN dan parti kom­ponen iaitu PRS, SPDP dan SUPP.

Ditanya lebih lanjut men­genai rang undang-undang be­lanjawan yang akan dibentang­kan kelak, Abang Johari yang enggan mengulas lebih lanjut berkata butir-butir mengenai rang undang-undang ini hanya akan diumumkan pada pem­bentangan kelak.
Jelasnya, terdapat sedikit tambahan untuk belanjawan kali ini yang mana belanja­wan kali ini disifatkan oleh beliau sebagai belanjawan lebihan.

“Secara prinsipnya, be­lanjawan kali ini adalah baik dan akan memberi keselesaan kepada rakyat secara keselu­ruhannya,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak 335 pertanyaan akan dikemu­kakan dan tiga usul diterima daripada pembangkang akan dibentangkan pada mesyuarat DUN yang dijadual bermula hari ini.

Menyentuh mengenai me­syuarat Majlis Tertinggi PBB yang berlangsung sebelah petang hari dan tempat yang sama semalam, Abang Johari berkata ia adalah menyentuh kepada persediaan meng­hadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).


Monday, October 22, 2012

BUAT PERSIAPAN SEBELUM BERPERANG-NAJIB


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera Barisan Nasional (BN) menentukan mereka sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebelum menuju ke medan ‘perang’, seluruh jentera BN perlu membuat persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.

“Kita mesti membuat persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, semalam.
Dalam menegaskan perkara itu, Najib memetik seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan yang teliti boleh mengalahkan pihak yang kurang buat perancangan walaupun pihak yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Mengulas perhimpunan MCA tahun ini, Najib mengakui terdapat perbezaan dan tanda-tanda perubahan pada parti terbesar masyarakat Cina itu yang dilihat lebih bersemangat dan bersedia berhadapan dengan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
“MCA kali ini ada kelainan… ada keistimewaannya. Saya melihat bahawa ahli-ahli MCA yang hadir dalam dewan ini begitu bersemangat sekali, seperti kata presiden MCA, MCA sedia untuk berperang.

“Barangkali kalau kita sudah bersedia untuk berperang, memakai baju yang sama, adalah cerminan hati yang satu… tetapi mesti juga ada hati dan pemikiran yang sama, “ katanya.
Kata Najib, agenda penting apabila ke medan perang adalah untuk memastikan kemenangan dan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, BN mahu mendapatkan kemenangan yang lebih besar.

“Siapa hendak pergi perang, kalah. Siapa yang mahu kalah? Kita mahu menang dan kali ini, kita mahu menang besar, sudahkah anda bersedia? Sentiasa bersedia.
Bateri kuat tak?,” tanya beliau yang mendapat sorakan padu daripada anggota perwakilan yang hadir.
Seramai 1,698 anggota perwakilan menghadiri persidangan kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita.
Najib berkata MCA kini dilihat lebih tegas dan tidak takut untuk berhadapan dengan pakatan pembangkang bukan sahaja dalam mempertahankan BN tetapi juga menangkis dakyah liar pembangkang.

“Sebab pembangkang ini banyak pembohongannya. Banyak yang tipu kita, banyak yang kelentong kita. Mereka cuba menggambarkan sesuatu yang kononnya indah tapi kalau kita belek dan kalau kita tolak di belakang, kita lihat sebenarnya, rosak dan banyak yang mereka lakukan, bertentangan dengan imej yang mereka cuba tonjolkan kepada umum,” katanya.
Pembangkang juga, menurut Najib tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk melaksanakan sistem kerajaan berparlimen walaupun sering mengadu-domba kesediaan untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan dan Putrajaya.

“Mereka tidak mematuhi piawaian antarabangsa. Sebab antara prasyaratnya, mereka mesti ada simbol yang sama, dan mereka mesti ada manifesto yang sama.
Tapi setakat ini, tiada… ‘ilek’…”.
“Sekejap-sekejap bulan, kejap-kejap roket, kejap-kejap mata. Mana boleh kita beri keyakinan pada rakyat, bagi tahu pada rakyat parti yang bertanding atas simbol yang berlainan tanpa satu manifesto adalah parti yang tidak ada dasar yang sama, bagaimana untuk mentadbir negara ini,” katanya.

Tegas Najib, rakyat tidak boleh mengambil risiko untuk menukar kerajaan kepada kepimpinan yang tidak mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana ia seperti memperjudikan masa depan negara.
“Ada orang kata tak apa, kalau mereka tak betul, boleh tukar balik lepas lima tahun. Tetapi jangan cakap lima tahun, dalam setahun pun negara boleh rosak, merudum, hancur, tertiarap (jika tidak ditadbir dengan baik).

“Dalam dunia yang berdasarkan kepada unsur ataupun dimensi globalisasi, ekonomi boleh lumpuh, saham boleh jatuh. Orang Cina, bekerja kuat, membina perniagaan masing-masing, ada banyak syarikat, kalaulah saham jatuh, ingat apa berlaku pada krisis Asia tahun 1997 dulu, apa yang berlaku?”.

Mengimbas kembali dilema krisis kewangan, Najib turut mengingatkan peranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang mencadangkan beberapa perkara termasuk membuat pinjaman dengan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), menaikkan kadar faedah 24 peratus, melaksanakan belanjawan bajet menguncup.
“Siapa yang selamatkan kita? BN… dengan Tun Dr Mahathir…kita tolak IMF, kita katakan kita mahu menanganinya cara kita. Kalau kita benarkan perkara itu berlaku, hari ini ‘taiko-taiko’ di dalam dewan ini mungkin sudah pakai selipar jepun sahaja,” katanya yang disambut tepukan gemuruh warga MCA.

Sehubungan itu, perdana menteri mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berhati-hati dalam memilih kerajaan dengan melihat kepada rekod pencapaian dan pengalamannya dalam mentadbir negara untuk menjamin kelangsungan negara pada masa akan datang.
“Jangan main api. Kita hendak masa depan kita corakkan bersama supaya di bawah kepimpinan BN kita boleh mencapai menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya. 

SIKAP MENCINTAI ALAM SEKITAR PERLU DITERAP DALAM DIRI MURID


SRI AMAN: Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi berkata, sikap cintakan alam sekitar perlu diterap dalam diri murid-murid ke arah mewujudkan kehijauan sekolah menerusi konsep Sekolah Dalam Taman.

Beliau berkata, sikap berkenaan adalah amat penting demi melahirkan insan sekolah yang cintakan keindahan flora bagi melengkapkan pemahaman sains botani secara praktikal dalam diri masing-masing.

Penjagaan struktur ekologi kini kian terancam disebabkan aliran pembangunan dan pemusnahan tidak seimbang terhadap biodeversiti alam semula jadi kita, ujarnya.
“Kesedaran mengenai isu ini perlu disemai dalam diri anak-anak muda kita dengan menerapkan semangat kecintaan alam sekitar dan tanggungjawab di peringkat sekolah,” katanya.

Whelton berkata demikian ketika mewakili Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang merasmikan Projek Alam Sekitar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat, Sri Aman baru-baru ini.

Projek Alam Sekitar  itu dianjurkan  menerusi aktiviti penanaman sayur-sayuran, bunga dan buah-buahan yang melibatkan warga sekolah dan penduduk kampung di kesemua kawasan lapang SK Tanjung Bijat itu.

Selain itu penglibatan para murid dalam Projek Alam Sekitar juga adalah amat penting bagi menggalak golongan tersebut menceburi sektor berasaskan pertanian komersial selepas ini.
Whelton berkata, projek ini juga dapat membina satu pemahaman yang jelas tentang nilai flora yang pelbagai dalam sudut positif di samping menjana tindakan drastik tentang susunan kepentingan ekosistem terhadap kehidupan pada masa akan datang.

“Saya berharap projek tersebut dapat menyedarkan kita bahawa manusia berada di tengah-tengah kitaran ekologi yang saling berkaitan antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Guru Besar SK Tanjung Bijat Fadzli Mohd Edon, Penolong Kanan 1 SK Tanjung Bijat Thomas Sumbang Jilom, Yang Dipertua PIBG SK Tanjung Bijat Manca Luchang, Kaunselor Jubit Banda dan para tuai rumah dari kawasan Tanjung Bijat.