Pages

Ads 468x60px

Wednesday, March 24, 2010

PM akan umum perubahan pentadbiran bagi menyokong MEB

HONG KONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan beberapa perubahan pentadbiran semasa memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) minggu depan bagi memastikan kejayaan program baru itu serta menjamin keberkesanannya terhadap ekonomi dan rakyat.

"Penekanannya adalah terhadap pelaksanaannya supaya mencapai matlamat kerajaan mengubah ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta menggerakkan pembangunan negara," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini, sebelum berlepas pulang selepas menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata: "Walaupun dasar model ekonomi kita baik, tetapi kalau pelaksanaan tidak dirancang dengan teliti dan tidak ditempatkan mereka yang mempunyai kemampuan, maka apa yang dihasratkan itu mungkin tidak tercapai." Apabila ditanya sama ada ia membabitkan kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan, beliau berkata: "Kita tunggu dan lihat minggu depan."

Mengulas lawatan beliau ke Hong Kong dan pertemuannya dengan pengurus dana asing di persidangan anjuran Credit Suisse, beliau berkata, lawatannya itu mencapai hasrat dan tujuan yang mana "kita dapat menerangkan apakah sebenarnya hala tuju dasar baru kerajaan dalam membuat transformasi yang besar kepada ekonomi kita."

Najib berkata, beliau juga dapat mengetahui pandangan pengurus dana asing dan pasaran di sini yang mana mereka ingin melihat pasaran modal Malaysia mempunyai lebih banyak penyenaraian syarikat yang lebih kukuh dan lebih besar serta pengurangan pegangan ekuiti oleh kerajaan atau badan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Perdana Menteri berkata, pengurus dana asing amat berminat untuk melabur di Malaysia tetapi merasakan ada kekangan kerana tidak terdapat terlalu banyak syarikat besar yang mana saham boleh dibeli oleh pengurus dana asing dan pegangan GLC agak menyempitkan peluang mereka.
Najib berkata, minat mereka terhadap MEB juga amat tinggi kerana mereka merasakan ini adalah satu pendekatan yang amat baik yang akan menunjukkan hala tuju masa depan ekonomi negara dan bidang-bidang yang akan ditekankan oleh kerajaan.

Di samping itu, beliau berkata: "Kita juga dapat menerangkan bahawa apa jua kita buat, kita akan mengambil kira kesesuaian dengan pasaran dan juga sokongan daripada rakyat."

Contohnya, kalau kerajaan ingin memperkenalkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) atau mengurangkan subsidi dan sebagainya, "semua ini mesti diterangkan kepada rakyat supaya rakyat dapat menerima perubahan yang akan dilakukan untuk kebaikan ekonomi dan rakyat sendiri."

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam usaha memperbanyakkan penyenaraian di Bursa Saham, soal tadbir urus yang baik tidak boleh dikompromi.

"Tetapi apa yang kita lakukan ialah mempercepatkan syarikat-syarikat yang ada potensi untuk disenaraikan," kata Najib.

Beliau berkata, daripada perbincangan beliau dengan pengurus dana asing, terdapat beberapa isu salah maklumat mengenai apa yang berlaku sebelum ini.

"Walaupun kita telah membuat perubahan, mereka merasakan situasi yang sama masih wujud di Malaysia."

Daripada beberapa laporan akhbar di sini, jelas bahawa apa jua perubahan yang kita lakukan, mesej itu tidak sampai kepada mereka.

"Oleh yang demikian, kita mengadakan perjumpaan dengan pengurus dana asing di persidangan Credit Suisse ini dan kita sampaikan apa yang kita lakukan.

"Tidak memadai kita buat satu dua kenyataan media saja tetapi perjumpaan bersemuka dan buat ucapan boleh membantu melenyapkan maklumat yang tidak terkini dalam pengetahuan mereka," kata Najib.

Beliau juga berkata Malaysia mesti perhebatkan usaha untuk menarik pelaburan asing yang dijangka meningkat setelah pelancaran MEB.

"Kita mesti menjalinkan hubungan dengan syrikat besar seperti Credit Suisse yang mempunyai jaringan global yang luas dengan pakar-pakar pelabur," kata Najib.

Beliau berkata, Credit Suisse adalah kumpulan perkhidmatan kewangan dan perbankan nombor satu dan mempunyai reputasi yang amat baik di Asia, oleh itu negara perlu terus mengadakan jalinan dengan mereka.

Ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Ketua Eksekutif Hong Kong SAR, Donald Tsang, pada Selasa, Najib berkata, beliau dijemput menemui tokoh negara itu kerana mereka adalah kawan peribadi.

Beliau berkata, mereka bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan ekonomi dunia termasuk kesan pelan penjagaan kesihatan AS terhadap defisit belanjawan persekutuan Amerika Syarikat dan sama ada ia akan mempengaruhi ekonomi global.

Najib berlepas pulang pada jam 10.30 pagi, hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Bernama

0 comments:

Post a Comment