Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 25, 2010

Kerajaan tak ambil tanah rakyat

SRI AMAN 23 Feb. - Kerajaan tidak pernah sama sekali mengambil alih tanah rakyat di negeri ini meskipun surat hak milik tanah mereka tamat tempoh.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd. Naroden Majais berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bagi mengurangkan pengaruh kerajaan terhadap rakyat.

Menurutnya, isu seumpama itu cuba digunakan oleh pihak berkenaan bagi memburuk-burukkan kerajaan untuk menarik perhatian rakyat menjelang pilihan raya negeri akan datang.

''Itu bukan dasar kerajaan negeri untuk mengambil alih tanah rakyat sekiranya surat hak milik tanah mereka tamat tempoh seperti yang didakwa oleh pihak tertentu pada masa ini.

''Kerajaan sebaliknya telah bertimbang rasa dengan rakyat sebelum ini dengan membenarkan mereka memperbaharui surat hak milik tanah tanpa mengira waktu di samping bayaran premium tanah secara ansuran," katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman di sini hari ini.

Dalam pada itau, Mohd. Naroden berkata, surat hak milik tanah rakyat mungkin tidak akan diperbaharui semula sekiranya tanah terbabit termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan selepas ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggunakan saluran atau prosedur yang sah terhadap tanah rakyat yang termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan untuk pembayaran wang pampasan kepada pemilik itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar serta terpengaruh dengan hasutan pihak lain berhubung isu berkenaan.

''Rakyat terutamanya pemilik tanah harus berpandangan lebih jauh untuk menentukan masa depan ekonomi dan pendidikan keluarga masing-masing selepas ini.

''Keselesaan hidup rakyat akan dapat dicapai sekiranya projek pembangunan dilaksanakan berdekatan dengan penempatan rakyat iaitu di atas tanah milik mereka," ujarnya.

Pada majlis yang sama, Mohd. Naroden telah menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM430,171.89 kepada 46 orang penerima dan surat hakmilik tanah kepada 77 orang.

Tuesday, February 23, 2010

RM3.4 bilion untuk Sarawak

SRI AMAN 22 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghargai kepentingan Sarawak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri itu terutamanya untuk penduduk pedalaman yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pusat menyediakan pelan perancangan dan kaedah pelaksanaan yang rapi untuk mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dari segi pembangunan prasarana seperti bekalan elektrik, air bersih, pembinaan jalan raya dan rumah orang miskin di luar bandar di pedalaman Sarawak.

‘‘Tujuan saya datang (ke Sarawak) antaranya untuk melihat kejayaan yang telah kita lakukan serta untuk memberi komitmen dan keyakinan bahawa banyak lagi projek luar bandar akan kita laksanakan seperti akujanji kita kepada rakyat Sarawak di bawah konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) terutama sekali melibatkan pembangunan prasarana luar bandar,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan begitu komited untuk meningkatkan keperluan prasarana di bawah NKRA pembangunan prasarana yang boleh dilihat melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM3.4 bilion itu.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Najib berkata, laporan tentang program pembangunan prasarana itu akan dikeluarkan apabila tiba masanya kerana ada daripada projek tersebut sedang dalam pelaksanaan untuk faedah rakyat yang menaruh kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan kini adalah untuk meneruskan kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Dalam hal itu kata beliau, apa yang dekat pada hatinya ialah mengenai pembangunan luar bandar kerana terpengaruh dengan sifat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia.

‘‘Allahyarham ayah saya berjalan beribu-ribu batu, beliau pernah pergi ke Kampung Pichin pada tahun 1966 dan saya juga telah ke sana pada tahun lepas. Saya tidak tahu macam mana ayah saya boleh sampai ketika itu,” kata beliau.

Najib memberitahu, salah satu misi yang dekat di hatinya dan ingin diselesaikan ialah agenda pembangunan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Turut mendapat perhatian beliau dalam ucapannya ialah mengenai janji pembangkang yang disifatkan sebagai janji ‘orang yang belum mendapat kuasa.’

‘‘Jangan ikut pembangkang yang datang bermusim. Bila orang tiada kuasa mudah untuk mereka menabur janji,” katanya.

Najib berkata, pembangkang kini mengalami sindrom tidak percaya kepada pemimpin atasan yang banyak berlaku di Semenanjung dan apabila pemimpin atasan tidak dipercayai lagi, ia sudah tentu akan memberi kesan kepercayaan rakyat kepada parti pembangkang.