Pages

Ads 468x60px

Friday, October 2, 2009

Pembangkang umpama 'langau' - Jabu

BETONG 1 Okt. - Pihak pembangkang yang sering menganggu dan menghasut rakyat luar bandar di negeri ini agar membenci kerajaan dilabel sebagai langau, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Beliau menegaskan, tindakan mereka itu hanya bertujuan mengeksploitasi pemikiran penduduk luar bandar untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Katanya, golongan tersebut selalunya akan mendekati malah menunjukkan rasa simpati kepada penduduk di kawasan luar bandar yang dianggap sering dipinggirkan.

''Tujuan sebenar pihak pembangkang ialah untuk menghasut penduduk terbabit agar membenci kerajaan yang kini diterajui oleh komponen parti Barisan Nasional (BN).

''Mereka tidak senang terhadap status BN sebagai pejuang kebajikan hidup penduduk luar bandar di negeri ini. Pembangkang mahu menjadi 'langau' dan hinggap pada penduduk yang mereka rasa mudah dieksploitasi untuk kepentingan politik," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur negeri berucap merasmikan kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Peter-Paul, Nanga Buai, Padeh dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Jabu menasihati penduduk di kawasan luar bandar supaya berhati-hati ketika mendengar segala tohmahan daripada pihak pembangkang yang diumpamakan seperti langau.

Katanya lagi, jika penduduk luar bandar masih dahagakan pembangunan kerajaan BN, mereka perlu menolak segala dakwaan palsu daripada pihak yang cuba merosakkan keharmonian di negeri itu.

''Saya menasihatkan penduduk agar sentiasa berdiri teguh di belakang kerajaan BN agar projek pembangunan yang sedia ada sekarang dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa,'' katanya

Wednesday, September 30, 2009

Tan Sri Mohd Isa Samad calon BN di DUN Bagan Pinang

Pemilihan ambil kira pandangan penduduk Bagan Pinang

PORT DICKSON: Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

Pemilihan Mohd Isa, 60, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6 Jalan Pantai di sini, semalam.

Pas pula mencalonkan Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar, 45, yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN, berkata pemilihan Mohd Isa dibuat bukan saja selepas diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah mengambil kira pandangan akar umbi penduduk Bagan Pinang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kerja peringkat bawahan dilakukan sebelum keputusan itu dibuat dengan mendapatkan pandangan semua lapisan masyarakat dan semua kaum.

"Oleh kerana ini adalah pilihan raya kecil, apa yang penting ialah rakyat didahulukan, rakyat di Bagan Pinang mesti didahulukan.


"Okay, Tan Sri Isa lah menjadi calon BN," kata Muhyiddin dan pengumuman itu sekali lagi disambut dengan laungan serta tepukan gemuruh kira-kira 10,000 orang yang menghadiri majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussain; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Umno, Azman Mohammad Noor, 54, pada 31 Julai lalu kerana jangkitan dalam darah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 11 Oktober ini.

Muhyiddin berkata, pemilihan Mohd Isa turut mengambil kira jasanya dan walaupun melalui tempoh hidup yang sukar dalam politik, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih seorang pejuang, berkorban dan tidak pernah berhenti memberi khidmat kepada parti, kerajaan dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera pilihan raya BN melancarkan kempen secara tersusun dan menemui setiap pengundi Bagan Pinang bagi memastikan kemenangan Mohd Isa.

Wanita Penan nafi dirogol

Ibu kepada dua orang anak itu dakwa dia dan anaknya dibawa ke Kuala Lumpur

MARUDI: Seorang wanita Penan berusia 22 tahun (gambar) menafikan laporan mana-mana akhbar bahawa dirinya menjadi mangsa rogol walaupun terpaksa tinggal di Kuala Lumpur selama tiga bulan.Ibu kepada dua anak perempuan yang berasal dari Long Item, Patah Baram itu secara sukarela tampil membuat laporan di Balai Polis Long Lama pada jam 1.45 petang Sabtu lalu.

Wanita yang enggan namanya disiarkan itu memberitahu bahawa pada bulan Oktober tahun lepas (2008) dia didatangi oleh seorang lelaki Penan ketika berada di rumah panjangnya di Long Item.

Menurutnya, lelaki dari Sungai Selungo, Ulu Baram itu menawarkan bantuan untuk membawa anaknya yang berumur setahun mendapatkan rawatan perubatan di Kuala Lumpur .

“Kebetulan juga anak saya sedang demam dan saya berpesan kepada kakak saya yang bernama Beta agar memberitahu suami saya bahawa saya pergi ke Kuala Lumpur bersama lelaki Penan tersebut dengan tujuan mendapatkan rawatan untuk anak perempuan saya yang sedang sakit,” kata wanita berkenaan ketika menceritakan pengalamannya.

Katanya, dia berangkat dari Long Item bersama dua anaknya menaiki sebuah kereta yang turut dinaiki seorang lagi wanita Penan bersama seorang anak perempuannya.

Menurutnya, setibanya di Miri mereka menginap di sebuah hotel sebelum terbang ke Kuching dan tinggal di (sebuah hotel) Kuching selama enam hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur, kami berdua telah dipaksa oleh lelaki Penan tersebut menandatangi laporan kenyataan (report statement) di Bukit Aman.

“Bagaimanapun lelaki tersebut masih mengingatkan kami berdua agar jangan membuat laporan lagi walaupun telah kembali semula ke Sarawak nanti.

“Setelah memberi kenyataan di Bukit Aman, lelaki yang membawa kami itu menghilangkan diri dan hanya memberi wang saku RM100 setiap seorang,” katanya.

Selama tiga bulan tinggal di Kuala Lumpur, mereka menumpang di rumah sebuah keluarga Melayu dengan segala makan minum ditanggung tuan rumah.

Wanita itu berkata dia dan rakannya berjaya meninggalkan Kuala Lumpur atasan bantuan seorang peguam wanita sebelum perayaan Krismas tahun lepas.

“Sehingga kini saya belum pernah berjumpa dengan lelaki Penan tersebut .

“Selama sembilan bulan sejak pulang ke rumah panjang, saya tidak dibenarkan keluar rumah oleh penduduk kampung atas arahan lelaki Penan itu.

“Memandangkan nama baik saya tercemar akibat perbuatan lelaki tersebut maka saya membuat laporan polis untuk membersihkan nama saya,” katanya kepada Utusan Borneo sambil ditemani suaminya ketika membuat laporan polis.

Sementara itu, KPD Marudi DSP Jonathan Jalin Empading mengesahkan ada menerima laporan daripada wanita tersebut dan laporan telah dibuat di Balai Polis Long lama.

Menurutnya, polis akan menyiasat kes itu untuk tindakan selanjutnya.

Monday, September 28, 2009

Kerajaan BN peka pembangunan di Sabah, Sarawak

KUALA PILAH: Kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sememangnya peka dan tidak pernah memandang sepi pembangunan di Sabah dan Sarawak, khususnya kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaan jalan raya serta bekalan elektrik dan air membuktikan kerajaan sememangnya peka dan sentiasa berusaha memastikan rakyat mendapatkan kebajikan serta hak sama rata.

“Pelaksanaan projek berkenaan sememangnya telah dilaksanakan secara tersusun dan mengikut perancangan kementerian dan kita yakin ia akan siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Daerah Kuala Pilah 2009 anjuran Pejabat Parlimen Kuala Pilah dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah di padang Stadium Mini Majlis Daerah Kuala Pilah, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Shafie berkata majlis rumah terbuka itu yang dihadiri ribuan pengunjung pelbagai kaum itu menepati kehendak pucuk pimpinan dalam menerapkan konsep 1Malaysia.

“Ini membuktikan konsep 1Malaysia mendapat tempat di kalangan masyarakat. Oleh itu, jadikan majlis seumpama ini sebagai landasan rakyat untuk bertemu dengan pemimpin dan merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.