Pages

Ads 468x60px

Wednesday, September 23, 2009

Dr Mahathir yakin BN pertahan kerusi

SEREMBAN: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Port Dickson pada pilihan raya kecil, bulan depan.

"Saya percaya di sini (Bagan Pinang) boleh dapat majoriti kerana ini kawasan Umno... yang kalah dulu sebab semua kawasan Pas," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Aidilfitri di Kampung Tanjung Rantau dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan BN perlu serius dalam membanteras rasuah dan tidak mencalonkan pemimpin yang sudah disabitkan dengan kesalahan itu pada pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya dah beritahu (kriteria calon). Bukan soal tempat ini saja (Bagan Pinang), soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya.

"Tapi, jika orang berpendapat bahawa kita tidak serius, kita mungkin menang di sini (Bagan Pinang)... tapi mungkin kalah di tempat lain, mungkin kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Itu yang saya khuatir.

"Saya tak fikir berkenaan individu, saya kenal semua orang, saya tak peduli siapa pun, tapi saya fikir sumbangan untuk parti," katanya.

Dr Mahathir juga bimbang MCA dan MIC tidak mampu memfokuskan kepada kempen untuk membantu kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu berikutan masalah dalaman yang dihadapi kedua-dua parti komponen berkenaan.

"Jika masing-masing kekal memikirkan berkenaan parti dan bukan berkenaan kedudukan diri sendiri, saya percaya semua masalah boleh diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau belum melihat berlaku perubahan persepsi, terutama di kalangan kaum Cina dan India terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya nampak belum ada perubahan, mungkin ada perubahan saya tak nampak, tapi setakat yang saya tahu belum ada perubahan. Masing-masing kini fikir berkenaan kaum dia saja, masing-masing punyai masalah sendiri," katanya.