Pages

Ads 468x60px

Saturday, August 15, 2009

Rohaizat calon Barisan Nasional

BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Pemilihan Rohaizat diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN di Taman Bukit Merah di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rohaizat menerima pendidikan awal di Sekolah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga tahun 1995.

Sebaik tamat pengajian, Rohaizat mula melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain aktif dalam program-program komuniti termasuk menjadi Setiausaha Kelab Sukan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Rohaizat juga merupakan Pengerusi Koperasi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Mengkuang Berhad sejak tahun 2004 selain menjadi Exco Persatuan Homestay Malaysia sejak tahun 2003 dan pernah menjawat Pengarah Penerbitan Direktori Wakil Pilihan Rakyat.

Selain itu, beliau juga dilantik Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sejak tahun 2003.

Rohaizat mula bergiat dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Pemuda Cawangan Mengkuang Titi sejak tahun 1996 sebelum menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh dari tahun 1999 hingga 2002.

Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Khairul Niza Abdul Kadir, 38, pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Rohaizat dikurniakan seorang anak, Aiman Hidayat, 9 tahun.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman, 63, dari Pas pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Hamdan, yang menyandang kerusi itu sejak tahun 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos ini untuk hari penamaan calon dan 25 Ogos sebagai tarikh pengundian.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi termasuk seorang pengundi pos.

Friday, August 14, 2009

Kempen dijangka hangat mulai malam ini

BUTTERWORTH: Pilihan raya kecil Permatang Pasir dijangka hangat mulai malam ini selepas Barisan Nasional (BN) dan Pas menamakan calon masing-masing hari ini.

Pengumuman calon BN akan dilakukan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Permatang Pasir di sini, kira-kira jam 4 petang, manakala Pas pada sebelah malam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka mengumumkan ayam tambatan parti itu untuk mempertahankan kubu kuatnya sejak tiga penggal lalu pada jam 9 malam di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, juga di Kampung Permatang Pasir.

Empat nama disebut-sebut untuk dicalonkan oleh BN iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohamad Nasir Abdullah; Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Rahim Man; Setiausaha bahagian, Rohaizad Othman; Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Mohd Zaidi Mohd Said.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membayangkan bahawa calon BN adalah seorang ahli Umno yang juga anak tempatan berasal dari Permatang Pasir.

Bagaimanapun, difahamkan Badan Perhubungan Umno negeri dan bahagian mahukan orang muda daripada golongan profesional diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai calon BN dalam pilihan raya kali ini.

Bagi Pas pula, empat nama disahkan disenarai pendek untuk membawa cabaran Pas iaitu Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Sabu; Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Rosidi Husin dan bekas Pegawai Khas kepada bekas Adun Permatang Pasir, Shamsul Kamal Shafiee.

Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan, bahawa empat nama itu sudah diserahkan kepada Pas Pusat.

Salleh ketika dihubungi mengesahkan pucuk pimpinan Pas Pusat sudah membuat keputusan mengenai calon dari parti itu dan hanya akan mengumumkannya malam ini.

Thursday, August 13, 2009

4 nama disebut bakal calon BN

BUKIT MERTAJAM 12 Ogos - Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizad Othman adalah antara yang disebut-sebut akan menggalas tugas sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Selain Rohaizad, turut disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon ialah Naib Ketua bahagian itu, Abdul Rahim Man dan Ketua Pemudanya, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Ahmad Saad juga antara yang disebut-sebut untuk dicalonkan semula.

Utusan Malaysia bagaimanapun difahamkan, Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian mahukan orang muda daripada golongan profesional diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai calon BN dalam pilihan raya kali ini.

Rohaizad, 38, adalah seorang peguam dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian selama lapan tahun, manakala Mohd. Zaidi, 40, pula merupakan bekas guru dan menjadi Ketua Pemuda bahagian sejak tahun 2004.

Abdul Rahim, 60, dan Ahmad Saad, 58, pula merupakan antara pemimpin paling berpengalaman di peringkat bahagian dan pernah disenarai pendek untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya empat calon sedang diteliti untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa calon yang dipilih kelak.

Katanya lagi, calon-calon yang disenaraikan itu adalah dari Permatang Pauh dan berumur lingkungan 40 hingga 60 tahun.

''Calonnya adalah daripada golongan profesional, mampu berkhidmat, diterima masyarakat, mempunyai ramai kenalan di kawasan itu (Permatang Pasir) dan anak tempatan Permatang Pauh," katanya.

Abdul Jalil berkata, nama calon BN dijangka diumumkan pada pukul 4 petang, Jumaat ini di Permatang Pasir serentak dengan majlis pelancaran jentera pilihan raya BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman, 63, dari Pas akibat sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Snowdan dan Masir bantu kampung terjejas bekalan air di Balai Ringin

BALAI RINGIN, Rabu (12 Ogos) – Beberapa buah perkampungan di kawasan Parlimen Sri Aman khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin menerima bantuan bekalan bantuan air tambahan semenjak 8 Ogos lalu iaitu ketika berlangsungnya musim kemarau di negeri ini pada masa sekarang.

Bekalan air tambahan terbabit adalah merupakan inisiatif daripada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat dan ADUN Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan ekoran masalah kekurangan air yang dihadapi oleh penduduk dari beberapa buah perkampungan dalam kawasan pilihan raya masing-masing.

“Antara kampung yang menerima bekalan air tambahan daripada saya dan Masir ialah Semada Belatok, Semada Tengah, Semada Mawang Ruan Tengah, Ruan Jaya dan Ruan Lama.

“Setiap kampung ini diperuntukkan sebanyak 1000 gelen air dan mereka akan menerimanya secara bergilir bermula pada empat hari yang lalu,” kata Snowdan ketika ditemui pada Program Pra Merdeka di Kampung Sungai Pinang Baru, Balai Ringin, Serian baru-baru ini.

Bantuan berupa 1000 gelen air tambahan ke kampung berkenaan menurut beliau telah dibahagikan kepada dua buah tangki simpanan air yang mana beliau dan Masir sendiri membeli tangki terbabit bagi tujuan berkenaan.

Justeru Snowdan berharap agar penduduk di kawasan yang mengalami kekurangan air ini berjimat cermat ketika memanfaatkan bantuan bekalan air itu walaupun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melakukan penghantaran bekalan air terhadap penduduk yang mengalami masalah ini.

“Jangan membazir air memandangkan kebanyakkan sumber bekalan air pada masa sekarang mula mengering walaupun pihak JKR tampil menyalurkan bekalan air dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau juga turut menasihatkan penduduk di kawasan Balai Ringin agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka memandangkan api lebih mudah merebak ketika berlangsungnya musim kemarau pada masa sekarang.

Snowdan pada majlis ini mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada Biro Wanita Kampung Sungai Pinang Baru manakala Masir pula mengumumkan peruntukkan bernilai RM5,000 kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rumah panjang berkenaan.

Petikan dari Utusan Sarawak

Wednesday, August 12, 2009

Punca kematian Beng Hock

HAH ALAM 11 Ogos - Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan berganda setelah terjatuh dari tempat tinggi selepas mayatnya dibedah siasat hampir lima jam oleh dua pakar patologi.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim, 51, juga mengesahkan beliau tidak menemui sebarang kecederaan yang berpunca daripada pergelutan.

''Saya mendapati tiada kecederaan yang ketara di bahagian tapak atau permukaan tangan akibat luka atau menangkis serangan dan tiada sebarang kesan luka atau lebam akibat dipukul ketika mempertahankan diri,'' katanya.

Justeru, Khairul mengesahkan bahawa beliau tidak nampak kecederaan yang jelas akibat mempertahankan diri pada mana-mana bahagian tubuh Beng Hock melainkan tekanan akibat terjatuh dari bangunan tinggi.

Malahan berdasarkan siasatan di tempat Beng Hock disiasat di tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mendapati tiada kesan darah dan tiada kesan barang-barang berselerak ataupun barang-barang pecah di situ.

Namun ketika berada di tempat mayat dijumpai di tingkat lima, beliau ternampak sebuah tingkap yang terbuka luas di tingkap 14 hampir setentang dengan lokasi mayat Beng Hock terjatuh.

Berdasarkan kecederaan yang dialami Beng Hock, saksi itu berpendapat, mendiang dipercayai telah terhempas ke dataran dengan posisi kaki sebelah kanan dan badannya condong ke arah kanan.

''Punggungnya juga mendarat (terhempas) bersama atau mungkin kemudian atau mungkin juga serentak. Ada juga kemungkinan ia condong ke depan berdasarkan tulang rusuk yang patah dan bintik-bintik di bahagian hadapan tangan.

''Berdasarkan pemeriksaan autopsi, mangsa terhempas dengan kakinya dulu dan pada masa yang sama ia terjerumus (terjatuh),'' katanya ketika disoal oleh peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia.

Bagi memberikan gambaran yang jelas, Khairul telah meminta kebenaran Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues yang masuk hari keenam hari ini, untuk menunjukkan cara-cara Beng Hock terhempas.

Berdasarkan keadaan mayat yang belum membusuk, Khairul yang juga Ketua Jabatan Forensik HTAR percaya Beng Hock mati kurang dari 36 jam sebelum bedah siasat dibuat pada pukul 12 tengah hari, 17 Julai lalu dan selesai pada pukul 4.50 petang.

''Saya juga berkesempatan untuk memeriksa (keadaan) kaku mayat ketika pergi ke tempat kejadian di tingkat lima Plaza Masalam tempat mayat Beng Hock dijumpai.

''Pada pendapat saya, ini bermakna mendiang mungkin sudah mati dalam lingkungan enam hingga lapan jam, sebelum pukul 7.30 malam, pada 16 Julai lalu,'' katanya.

Saksi inkues itu memberitahu, mayat Beng Hock dihantar ke Bilik Mayat HTAR pada pukul 9.45 malam, 16 Julai lalu.

Menurutnya, beliau pergi ke tempat kejadian bersama Pensyarah Forensik Patologi, Dr. Prashant Naresh Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 16 dan 22 Julai lalu bagi memudahkan mereka memahami dan menjelaskan bagaimana mangsa cedera dan menemui ajal.

Ujarnya, bedah siasat tersebut dikendalikan bersama Prashant atas permintaan abang sulung Beng Hock, Teoh Meng Kee.

Ketika tiba di tempat kejadian, katanya, mayat Beng Hock dalam keadaan terbaring mengiring ke kanan dan tangan kiri di atas, bahagian tangan kanan terhimpit oleh badan.

Sebarkan polisi kerajaan

Agensi kerajaan serta NGO harus bekerjasama dalam meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap perkara itu

KUCHING: Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan rakyat khususnya masyarakat luar bandar terhadap polisi-polisi kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Malaysia Datuk Fuad Tan Sri Hassan berkata kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan masyarakat, malah mengeratkan lagi perpaduan semua kaum.

“Walaupun NGO tidak mempunyai sumber kewangan dan kekuasaan yang besar namun ia telah banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan usaha sendiri.

“Melalui kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan dengan NGO dalam melaksanakan segala program atau aktiviti, saya pasti ia akan membawa kesan positif kepada pembangunan masyarakat dan kerajaan amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan tengah hari antara JASA dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan NGO-NGO sempena lawatannya di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Kuching Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi dan Pengarah JASA Cawangan Sarawak Jemat Lihi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agensi-agensi kerajaan dan NGO agar menjalankan lebih banyak aktiviti dan program khususnya di luar bandar.

“Melalui penganjuran aktiviti dan program dengan kerap khususnya di luar bandar, masyarakat akan terdedah dengan pelbagai maklumat penting dan ini akan membantu mereka berfikiran lebih matang dalam membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya masyarakat yang bermaklumat dan berfikiran matang adalah penyumbang kepada kemakmuran dan perpaduan sesebuah negeri.

Katanya, Sarawak merupakan negeri yang aman, stabil, selesa dan semuanya terkawal, malah masyarakatnya yang pelbagai kaum juga saling hormat-menghormati.

Walaupun begitu, beliau berkata masyarakat Sarawak harus sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tertentu yang mungkin mensasarkan Sarawak untuk bertapak dan kemudiannya menimbulkan persengketaan di kalangan masyarakatnya.

“Masyarakat Sarawak harus sentiasa berwaspada kerana mungkin ada pihak tertentu yang akan mengganggu ketenangan di sini atas nama demokrasi, kebebasan bersuara, membangkitkan sentimen perkauman dan sebagainya, yang menyumbang kepada perpecahan kaum.

“Maka itu, kerjasama agensi-agensi kerajaan dengan NGO amat penting dalam menyediakan masyarakat berpengetahuan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini ini berlaku,” katanya.

SIMC bakal jadi HUS kedua

Ia akan beroperasi sebaik sahaja k’jaan pusat sedia ambil alih

KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) yang kedua akan beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja kerajaan pusat bersedia mengambil alih sebuah hospital swasta yang sudah siap dibina daripada kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Beliau berkata hospital swasta yang dimaksudkannya ialah Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC) di Kota Samarahan dan ia masih kosong dan kerajaan negeri sanggup menyerahkannya (kepada kerajaan pusat) untuk dijadikan hospital umum.

Dr Chan menambah sekarang cuma masa yang perlu diambil kira sebelum Sarawak boleh memiliki fasiliti perubatan baru.

“Kita telah memaklumkan kepada kerajaan pusat yang kita sudah menyediakan satu (hospital) dan jika kerajaan negeri sanggup menyerahkannya dan kerajaan pusat sanggup mengambil alihnya, Sarawak akan mempunyai HUS yang baru.

“Secara asasnya persetujuan telah dicapai dan kita akan mempunyai HUS yang kedua di Kuching,” katanya ketika merasmikan majlis makan malam Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Sarawak (MMASB) di sini, malam Ahad lepas.

SIMC dibina dengan kos lebih daripada RM350 juta dan ia merupakan projek Kerajaan Negeri Sarawak yang pertama direka bagi menyediakan perkhidmatan perubatan melepasi sempadan negeri dan pada masa sama menjadi hab perubatan di Asia Tenggara.

Hospital berkenaan dikatakan dibina di atas tapak seluas lebih 42,500 meter persegi dengan bangunan hospital setinggi tiga tingkat ‘kompleks podium’ dan bangunan wad pesakit lapan tingkat.

Kemudahan yang disediakan di ‘kompleks podium’ termasuk jabatan kecemasan dan kemalangan untuk rawatan pesakit luar, pusat buah pinggang dan batu karang, pusat kesihatan dan jantung serta pusat kanser.

Kompleks itu juga dirancang dilengkapkan dengan perkhidmatan diagnostik dan rawatan menerusi bilik-bilik bedah, jabatan pengimejan, makmal dan seksyen patologi, makmal kardiak dan jabatan fisioterapi.

Wad pesakitnya pula dilengkapi dengan 166 katil meliputi 18 katil paediatrik, 16 katil pembedahan harian, 102 katil kes umum, 18 katil koronari dan intensif dan 12 bilik khas untuk tetamu-tetamu kehormat.

Dr chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri berkata Sarawak kini amat memerlukan HUS kedua di tengah-tengah pandemik Influenza A (H1N1) dan penyakit berjangkit lain pada masa akan datang.

Beliau berkata adalah mustahil untuk mempunyai hanya satu kemudahan yang mengendalikan penyakit berjangkit seperti H1N1 atau penyakit lain kerana ia boleh membawa banyak masalah yang akhirnya menjejaskan keseluruhan sistem perubatan.

“Kementerian Kesihatan dan Perdana Menteri telah bersetuju Sarawak perlukan HUS kedua terutama di Kuching dalam waktu terdekat ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai penularan H1N1 di negeri ini Dr Chan memberi jaminan kepada doktor dan orang ramai yang kerajaan sangat telus mengenai situasi H1N1 di negeri dan mengikut setiap protokol disediakan Kementerian Kesihatan yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Pada masa sama beliau mengingatkan doktor serta pegawai perubatan agar bersedia menghadapi penambahan jumlah pesakit yang mengalami penyakit bawaan cuaca seperti kemarau, jerebu dan kekurangan bekalan air bersih pada minggu akan datang.

“Kita berharap tidak akan ada penyakit yang timbul akibat masalah-masalah ini tetapi kita harus sentiasa bersedia terutama bagi menghadapi masalah di kawasan luar bandar,” katanya.

Tuesday, August 11, 2009

ISA penting untuk keselamatan negara

Pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur, Gabungan Mansuhkan ISA ( GMI) yang menganjurkan demostrasi jalanan untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibukota Kuala Lumpur. Perhimpunan amat merugikan banyak pihak terutamanya golongan peniaga yang terpaksa menutup kedai mereka. Selain itu, keadaan ini menyebabkan suasana huru-hara dan menjatuhkan imej negara.

Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelbagai dasar progresif dan liberal baru-baru ini , berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia supaya dapat mengelak rakyat Malaysia menderita akibat ekonomi krisis dunia.Sehubungan ini,rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan aliran politik perlu memahami scenario politik dan ekonomi sedunia semasa dan berhati-hati dalam menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana pihak yang mampu menjejaskan imej Malaysia.


Rakyat yang mementingkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan hidup menyambut baik seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, supaya orang ramai jangan menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak berhubung dengan Akta ISA.

ISA adalah merupakan satu Akta yang sangat penting dan genting dalam menjamin keselamatan dan keharmoniam hidup rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.Negara-negara yang maju.malah menjadi jaguh perjuangan
civil liberties saperti USA dan UK juga baru-baru ini telah memperkenalkan Akta keselamatan mirip kepada ISA di Malaysia. USA telah memperkenalkan ‘USA Patriotic Act’ pada 26 Oktober 2001 dan United Kingdom memperkenalkan ‘The Terrorism Act 2006’ pada 12 Oktober 2005. Kedua-dua Akta tersebut mendapat sokongan kuat daripada rakyat negara masing-masing.Malah parti-parti politik yang bertentangan dalam medan politik kepartian bersetuju bersama dan kerjasama dalam meluluskan undang-undang serta Akta –Akta tersebut demi menjamin keselamatan rakyat dan negara masing-masing.

Berhubung dengan jumlah tahanan ISA, Menteri Dalam Negeri dalam menjawab satu soalan di Parlimen pada 25 Jun 2009, memaklumkan bahawa walaupun semenjak tahun 2004,seramai 100 orang telah dikenakan Perintah Tahanan di bawah Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, pada masa kini hanya 12 orang tahanan yang masih menjalani Perintah Tahanan di bawah AKDN 1960. Mereka ini terdiri daripada 8 orang tahanan yang terlibat dengan kegiatan militan serta 4 orang tahanan yang didapati terlibat dengan pamalsuan dokumen.Daripada jumlah keseluruhan orang tahanan tersebut, 6 orang daripada mereka adalah warga negara sing dan 6 orang lagi adalah warga negara Malaysia.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaantidak mengenakan AKDN 1960 dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik.Di sebaliknya tahanan itu adalah dibuat berdasarkan penglibatan seseorang dengan kegiatan-kegiatan yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Kerajaan sedar bahawa beberapa ciri dalam Akta ISA yang diperkenalkan dalam zaman penjajah British untuk menawan fahaman politik ganas kominisme adalah tidak releven pada masa sekarang. Namun, kerajaan dan sebahagian besar rakyat Malaysia sedar bahawa ISA masih diperlukan untuk menghadapi ancaman pengganas dan anasir-anasir ekstremis politik,agama dan perkauman. Malaysia sebagai sebuah negara multi-racial dan multi-agama-budaya tidak mampu menanggung satu kumpulan kecil yang cuba menggunakan sentimen-sentimen perkauman dan agama yang tidak sihat untuk semata-mata meraih sokongan politik.

Justeru,tidaklah keterlaluan sekiranya membuat kesimpulan bahawa Malaysia masih memerlukan ISA dengan beberapa pindaan yang kerajaan sedang memikirkan dan gugurkan beberapa syarat dalam ISA yang didapati ketinggalan zaman supaya keselamatan rakyat dan negara sentiasa terjamin.Sesungguhnya, dengan adanya ISA, Malaysia menjadi teladan kepada negara-negara maju dalam konteks urustadbir keselamatan rakyat dan negara.

Rakyat yang mencinta Malaysia dan kepelbagaian agama, budaya dan cara hidup akan menyokong ISA terus dikekalkan,malah akan menolak sebarang usaha membantah ISA. Kerajaan yang dipimpin oleh Najib Tun Razak tidak akan sesekali menggadaikan keselamatn dan kepentingan negara serta kesejahteraan dan keharmonian rakyat, malah berkomited untuk mempastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara setiap masa dengan gagasan 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Prestasi Di Utamakan.

PM arah lawat Sarawak

Menteri-menteri kabinet persekutuan diarah kerap melawat negeri ini untuk lihat sendiri keperluan ketika pembangkang turut beri tumpuan

PERTH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan menteri-menteri kabinet persekutuan agar kerap melawat Sarawak bagi melihat sendiri apa yang perlu dibuat untuk membantu penduduk di negeri itu terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib membuat arahan itu agar menteri-menteri Barisan Nasional (BN) menyedari bahawa Pakatan Pembangkang sedang memberikan tumpuan di Sarawak, lebih-lebih lagi kerana pilihan raya Dewan Undangan Ne-geri akan datang.

“Perdana Menteri dah beritahu pada (menteri) kabinet elok menteri-menteri turun selalu ke Sarawak melihat apa yang perlu kita buat membantu rakyat Sarawak,” katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth, Australia.

“Kita tahu mereka beri tumpuan ke Sarawak dan cuba bawa propaganda mereka ke Sarawak. Saya yakin pimpinan Sarawak pun sedar dan mereka menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya untuk terus membangunkan Sarawak dan mewujudkan kerja-sama dan perpaduan erat dan di samping itu peranan pimpinan pusat membantu Sarawak perlu ditingkatkan,” katanya.

Ditanya keyakinan BN untuk mendapat mandat memerintah pada pilihan raya umum akan datang, Timbalan Pe-ngerusi BN itu berkata gabu-ngan itu perlu bekerja lebih keras memandangkan cabaran yang menanti.

“Kita perlu bekerja keras… 10 kali lebih keras daripada masa lepas kerana kita tahu cabaran kita banyak dan ke-adaan kita agak kritikal,” katanya.

Muhyiddin berkata usaha-usaha yang sudah digembeleng seperti mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap, pengukuhan parti, inisiatif dan dasar yang lebih mesra rakyat mampu mengubah persepsi orang Melayu dan bukan Melayu terhadap Umno dan BN, tetapi ini semua perlu terus diperkukuh-kan.

Katanya beliau berpendapat ada peningkatan sokongan rakyat kepada kerajaan BN berikutan langkah dan dasar yang dilaksanakan oleh Najib seperti 1Malaysia dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), namun terdapat keperluan membantu kelompok-kelompok yang masih tertinggal dari arus kemajuan termasuk orang Melayu.

“Orang Melayu masih belum maju. Kita sedar perkara itu. Walaupun tak sebut Dasar Ekonomi Baru selalu tak bermakna (kita) abaikan. Ada pihak pembangkang sekarang ini kata tidak ada lagi komponen ekonomi Melayu. Ini tak betul,” katanya.

“Komitmen kita seperti yang ada dalam perlemba-gaan… dasar kerajaan itu masih kekal. Malah kita nak pertingkatkan lagi. Cuma cara pendekatan mungkin berbeza sedikit,” tambahnya.

Beliau menegaskan komitmen dan tanggungjawab kerajaan terhadap orang Melayu dan kaum lain tidak berubah.

“Ada pihak putarbelitkan seolah-olah kita sudah lepas tanggungjawab…tidak memberikan perhatian utama pada kelompok besar (sebaliknya) hanya memberi perhatian pada kelompok tertentu untuk meraih soko-ngan pengundi dalam pilihan raya. Itu tak betul sebenarnya,” kata Timbalan Pre-siden Umno itu.

— Bernama