Pages

Ads 468x60px

Friday, July 24, 2009

Sarawak tuan rumah Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 pada 28-30 Julai ini

KUCHING: Sarawak bakal melakar sejarah apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MMRR) Ke-218 dengan dihadiri oleh sembilan raja-raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri bermula 28 hingga 30 Julai ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara bersejarah itu wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini kerana MMRR kebiasaannya diadakan di Kuala Lumpur.

“Sarawak diberi penghormatan sebagai tempat berlangsungnya MMRR Ke-218 yang juga untuk kali ketiga diadakan di negeri ini selepas yang pertama (ke-116) pada 1979 dan kedua (ke-157) pada 1992.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan mempengerusikan MMRR Ke-218 yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru ini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar mengenai MMRR Ke-218 di bangunan baru DUN, Petra Jaya di sini, semalam.

Sembilan raja-raja Melayu yang hadir ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Kedah, DYMM Sultan Perak, DYMM Raja Perlis, DYMM Sultan Selangor, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mahkota Johor, Pemangku Raja Terengganu dan Tengku Mahkota Pahang.

Empat Yang di-Pertua Negeri pula masing-masing dari Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka.

Perasmian bangunan DUN yang baru akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang kemudian disusuli dengan Regata Sarawak dan perarakan kapal berhias khas untuk meraikan tetamu besar pada 27 Julai 2009.

Pre-Council MMRR Ke-18 berlangsung di Aras 2, Bangunan DUN pada 28 Julai dan diikuti MMRR hari pertama dan kedua pada hari-hari berikutnya di Aras 4.

Ditanya mengenai persediaan kawalan keselamatan, Tengah memberitahu perkara itu telah diberi perhatian serius dengan kerjasama pasukan penguat kuasa untuk memastikan semua program yang dirancang berjalan lancar.

“Kerajaan negeri menjemput rakyat agar hadir bersama-sama memeriahkan acara bersejarah ini termasuk perasmian DUN baru yang merupakan mercu tanda kebanggaan seluruh rakyat Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Speaker DUN Sarawak Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Mohd Naroden

Thursday, July 23, 2009

JANGAN BIARKAN DIRI DIPERBODOHKAN

SRI AMAN 22 Julai - Masyarakat Iban di kawasan pedalaman diingatkan supaya tidak membenarkan diri mereka diperbodoh-bodohkan dengan isu yang memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata, kaum Iban jangan mudah terpedaya dan termakan hasutan pihak tersebut yang ternyata hanya mahu meraih sokongan masyarakat demi kepentingan peribadi mereka.

Menurutnya, rakyat di pedalaman harus sedar tujuan sebenar pihak terbabit yang hanya bermotifkan politik semata-mata tanpa mempunyai kekuatan atau keupayaan dalam membangunkan masyarakat di pedalaman.

''Jangan mudah diperbodohkan oleh mereka kerana harapan pihak tersebut hanya mahu penduduk kaum Iban dari kawasan pedalaman memberi sokongan politik terhadap mereka selepas ini.

''Jika rakyat memikirkan sejenak apakah tujuan mereka menggembar-gemburkan isu tertentu khususnya tanah, sudah pasti ia hanya bersandarkan kepada politik semata-mata dan tidak lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kursus Ummah anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili di Rumah Engkabie di San Semanju di sini semalam.

Nyalau berkata, kerajaan BN tidak pernah sama sekali berhasrat untuk merampas tanah milik penduduk masyarakat Iban di kawasan pedalaman.

Katanya, kerajaan mengambil alih tanah penduduk di kawasan luar bandar untuk pembangunan rakyat dan pengambilan itu melalui proses undang-undang serta prosedur yang telah ditetapkan.

Tambahnya, kerajaan akan memberi pampasan kepada pemilik tanah sekiranya tanah mereka digunakan bagi tujuan pembangunan yang secara tidak langsung memberi faedah kepada masyarakat dari aspek ekonomi dan sosial.

''Kerajaan melakukannya (pembangunan tanah) demi meningkatkan taraf hidup penduduk itu sendiri dan bukannya seperti golongan tertentu yang hanya pandai melemparkan isu sehingga memecah-belahkan pemikiran penduduk demi kepentingan politik masing-masing," ujarnya.

Pada majlis tersebut Nyalau telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) San Semanju manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang tersebut.