Pages

Ads 468x60px

Friday, June 19, 2009

Kualiti wakil rakyat BN S’wak tidak diragui

Mereka mampu membawa pembangunan kepada rakyat negeri ini, kata Najib

SERIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meragui kemampuan dan kualiti wakil rakyat Barisan Nasional Sarawak dalam membawa pembangunan kepada rakyat.

Wakil rakyat BN dari Sarawak menurut beliau sentiasa berusaha dan bersemangat ke arah memajukan negeri ini.

“Saya tidak meragui kualiti dan keupayaan yang dimiliki wakil rakyat BN dari negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pichin, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap kemampuan wakil rakyat BN dalam membawa pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Najib yang juga Pengerusi BN amat berpuas hati dengan lawatan dua harinya kerana ia menepati konsep 1Malaysia.

Najib berkata lawatan ke kampung serta rumah panjang di kawasan pedalaman meningkatkan pemahaman kerajaan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat.

Mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dengan PAS, Najib yang juga Presiden UMNO berkata idea penubuhan kerajaan perpaduan itu masih belum memasuki peringkat perbincangan lagi.

“Belum ada perbincangan mengenai perkara ini (kerajaan perpaduan), kita terpaksa melalui proses pilihan raya (Manek Urai),” katanya lagi sambil menambah isu kerajaan perpaduan dan pilihan raya kecil di Kelantan itu adalah berbeza dan memerlukan penyelesaian tersendiri.

Sementara itu katanya, kerajaan belum membuat keputusan berhubung pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan lagi kerana sebelum dilaksanakan, satu kajian mendalam perlu dilakukan bagi memastikan sama ada ia memberi faedah atau tidak kepada dua negara.

“Ini bukan keputusan muktamad lagi dan kita akan mengambil langkah untuk membuat kajian dulu, selepas kajian kemungkinan dibuat, kita kena tengok sama ada jambatan ini bermanfaat atau tidak,” ujarnya lagi.

* Sumber dari Utusan Borneo

MAJUKAN TANAH ADAT BUMIPUTERA

LUBOK ANTU 18 Jun - Masyarakat Dayak terutamanya kaum Iban di kawasan Batang Air perlu mencari jalan untuk membangunkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kaum Iban tidak seharusnya membiarkan tanah NCR milik mereka terbengkalai sedangkan ia mampu mengeluarkan hasil sekiranya diusahakan dengan cara yang betul.

Katanya, mereka perlu mengambil peluang menerusi kelebihan barisan pemimpin kaum Iban seperti wakil rakyat, Malcom Mussen Lamoh yang merupakan bekas kakitangan kerajaan serta berpengalaman luas mengenai pembangunan tanah untuk membantu rakyat di situ.

''Malah pemimpin kaum Iban iaitu Datuk Seri James Jemut Masing pula memegang portfolio Menteri Kemajuan Tanah Sarawak yang secara tidak langsung mempunyai hubung kait dengan hal ehwal pembangunan tanah penduduk di negeri ini.

''Saya berharap Mussen bekerjasama erat dengan Masing dalam usaha mencari jalan yang terbaik untuk memajukan tanah NCR di kawasan ini untuk meningkatkan taraf hidup penduduk-penduduk di sini," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai, Nanga San di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLBW), Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, barisan Kabinet Persekutuan dan negeri.

Pada masa yang sama, Abdul Taib mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Batang Air kerana memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 7 April lalu.

Katanya, ia telah membuktikan bahawa pengundi di Batang Air tidak mudah terpengaruh dengan janji dan hasutan parti pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari mangsa untuk menyokong perjuangan mereka selama ini.

Mussen calon BN dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang dengan majoriti 1,854 undi pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya berkenaan, Mussen memperoleh 3,907 undi manakala Jawah mendapat 2,053 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari BN, Datuk Dublin Unting Ingkot setelah koma sembilan bulan akibat diserang angin ahmar.

Monday, June 15, 2009

Hayati konsep 1Malaysia - Taib

KUCHING 14 Jun - Konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihayati masyarakat berbilang kaum di negeri ini bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang lebih bersatu padu.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, penghayatan kepada konsep itu juga akan membawa rakyat negeri terutamanya kaum Dayak lebih berdaya saing terutamanya di peringkat global.

Bagaimanapun, katanya, penghayatan itu menuntut kepada semua pihak supaya lebih cekal dalam menghadapi setiap cabaran yang mereka hadapi.

''Rakyat negeri ini walaupun berbeza pandangan, mereka perlu hidup bersatu padu kerana menerusi perpaduan itu kita dapat mengejar arus pembangunan dan kemajuan yang diimpikan oleh rakyat dan pemimpin.

''Justeru, kita di Sarawak ini amat menyokong penuh konsep 1Malaysia dengan sepenuh-penuhnya usaha kita," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Malaysia 2009 di Stadium Perpaduan Kuching di Petra Jaya di sini malam tadi.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sambutan di Stadium Perpaduan dihadiri lebih 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pelancong asing.

Abdul Taib memberitahu, kejayaan kerajaan menyatupadukan pelbagai suku kaum terutamanya Dayak pad 1965 membolehkan kerajaan merealisasikan pelbagai projek pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.

Keputusan kerajaan untuk menganjurkan sambutan perayaan gawai Dayak secara besar-besaran pada 1988 ujarnya juga menjadikan kaum Dayak lebih dikenali masyarakat Malaysia dan pelancong asing.

''Kini, kaum Dayak semakin dikenali sebagai anak Malaysia yang mempunyai identiti sendiri dan mampu membangunkan pelbagai masyarakat berbilang kaum di negeri ini menerusi adat serta budaya unik yang juga menjadi alat kepada perpaduan rakyat," katanya.

*Sumber daripada Utusan Malaysia