Pages

Ads 468x60px

Monday, November 19, 2012

DOA KEBAIKAN, BUKAN MUSIBAH


Phnom Penh: Tindakan PAS mendoakan kemusnahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan cara Islam, malah ia menghancurkan kredibiliti PAS.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO tidak pernah mendoakan kehancuran PAS. 




“Tidak pernah... dan dalam Islam pun, itu bukan cara Islam. Itu cara bertentangan dengan prinsip Islam sebab doa adalah untuk kebaikan.

“Ini sangat tidak Islamik... ini akan menghancurkan kredibiliti PAS,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang bermula semalam

Perdana Menteri diminta mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Jumaat lalu. 
Solat hajat itu diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat. Antara kandungannya ialah meminta UMNO dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Di Gold Coast, Australia, mengulas isu sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdoa untuk menghancurkan orang Islam lain seperti dilakukan PAS bukan amalan Islam.

Katanya, orang Islam sepatutnya berdoa supaya penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan, bukannya musibah.

Walaupun UMNO dan PAS berbeza pandangan dari segi politik, ahli kedua-dua parti adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak tahu kalau mendoakan agar umat Islam lain berpecah itu budaya dan amalan PAS.

Tetapi, kalau berdoa untuk menjahanamkan kita, itu bukan Islam sejati, katanya mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, doa seperti itu bukan amalan yang baik kerana UMNO dan BN juga berjuang untuk Islam.

PAS juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. DAP juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. Seluruh rakyat Malaysia mendapat nikmat perjuangan BN, katanya.

BN BINCANG PERSIAPAN PRU13


KUCHING: Persiapan ber­sama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain un­tuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah antara isu yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tert­inggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam.

Perkara tersebut diberitahu oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menerusi sidang media selepas mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat PBB, Jalan Bako dekat sini.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presi­den PBB dan Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Kita tidak tahu tarikhnya tapi jentera kita sentiasa ber­siap sedia pada bila-bila masa pilihan raya diumumkan.

“Sekarang adalah masa bagi kita untuk mengemas kini per­siapan khususnya di kalangan parti-parti komponen BN,” katanya.

Selain itu, menurut Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan, turut dibincang­kan ialah persiapan PBB bagi menyambut kemerdekaan ke-50 Sarawak pada tahun depan.

Katanya sempena sambutan itu, PBB akan mengadakan konvensyen khas pada Mei 2013.
Beliau berkata konvensyen akan memberi tumpuan ke­pada kejayaan dan pencapaian Sarawak sejak 50 tahun lalu selain hala tuju negeri bagi tempoh 50 tahun akan datang terutama sehingga 2030.

“PBB sudah memberi sum­bangan menerusi para pem­impinnya, dasar yang telah dilaksanakan dan pemodenan Sarawak sejak 50 tahun lalu.

“Maka itu, adalah kondusif bagi kita untuk memikirkan apa yang perlu kita buat bagi tempoh 50 tahun akan datang walaupun platform itu sudah ada iaitu yang telah disediakan oleh Ketua Menteri dan PBB untuk kita maju ke hadapan,” katanya.

Tambah beliau, ia juga adalah kesinambungan kepa­da pembangunan di Sarawak tetapi dengan pendekatan ber­beza kerana kejayaan negeri adalah berdasarkan tempoh selama 50 tahun.

“Sarawak dirahmati den­gan hasil tenaga yang banyak selain persekitaran sosial dan politik yang baik,” katanya.


SARAWAK JANJI BELANJAWAN TERBAIK


KUCHING: Kerajaan neg­eri menggambarkan Rang Undang-undang Belanja­wan 2013 yang akan diben­tangkan pada Persidangan Dewan Undangan Neg­eri (DUN) mulai hari ini adalah yang terbaik kepada rakyat.

Menteri Perumahan mer­angkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata belanjawan ini akan memberi fokus kepada soal pemban­gunan iaitu 70 peratus dari­padanya (belanjawan) yang akan memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dua rang undang-undang akan dibentangkan pada me­syuarat DUN kali ini yang berlangsung mulai esok (hari ini) hingga 28 November ini.

“Pertama Rang Undang-undang Belanjawan 2013 yang memberi gambaran terbaik dengan peruntukan besar untuk sektor pembangunan dan Rang Undang-undang Civil List, iaitu kita akan memberi peruntukan untuk menyelenggara tempat kedia­man Tuan Yang Terutama (TYT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat pra-DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri oleh barisan menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri muda serta wakil-wakil rakyat BN dan parti kom­ponen iaitu PRS, SPDP dan SUPP.

Ditanya lebih lanjut men­genai rang undang-undang be­lanjawan yang akan dibentang­kan kelak, Abang Johari yang enggan mengulas lebih lanjut berkata butir-butir mengenai rang undang-undang ini hanya akan diumumkan pada pem­bentangan kelak.
Jelasnya, terdapat sedikit tambahan untuk belanjawan kali ini yang mana belanja­wan kali ini disifatkan oleh beliau sebagai belanjawan lebihan.

“Secara prinsipnya, be­lanjawan kali ini adalah baik dan akan memberi keselesaan kepada rakyat secara keselu­ruhannya,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak 335 pertanyaan akan dikemu­kakan dan tiga usul diterima daripada pembangkang akan dibentangkan pada mesyuarat DUN yang dijadual bermula hari ini.

Menyentuh mengenai me­syuarat Majlis Tertinggi PBB yang berlangsung sebelah petang hari dan tempat yang sama semalam, Abang Johari berkata ia adalah menyentuh kepada persediaan meng­hadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).