Pages

Ads 468x60px

Saturday, September 19, 2009

BN umum calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang 29 September

SEREMBAN 18 Sept. – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 29 September ini di Port Dickson sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri parti itu peringkat negeri.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘‘Jamuan ini akan diadakan dalam kawasan DUN Bagan Pinang dan pada masa sama, BN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil, 11 Oktober ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat BN negeri di Wisma UMNO di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Besar menegaskan, Badan Perhubungan UMNO negeri masih lagi belum menerima senarai nama daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Tan Sri Mohd. Isa Samad.

‘‘Saya belum menghantar nama pada pucuk pimpinan parti kerana belum menerimanya daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Ditanya butiran pertemuannya dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata ia adalah Mesyuarat Pengurusan UMNO dan UMNO negeri ini diminta memberi taklimat berhubung gerak kerja di DUN Bagan Pinang.

‘‘Saya telah memberi taklimat kepada pengurusan UMNO mengenai persediaan yang kita buat di peringkat negeri dan Teluk Kemang bagi menghadapi pilihan raya kecil ini.

‘‘Kita juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh pihak pengurusan UMNO berhubung beberapa isu yang memerlukan perhatian semua pihak di sini,” jelas beliau.

Mengenai pandangan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Mohd. Isa tidak dicalonkan untuk bertanding di DUN Bagan Pinang, Mohamad menjelaskan, ia adalah pandangan peribadi beliau dan wajar diambil kira.

‘‘Tun Mahathir merupakan pemimpin besar dan individu yang cukup berpengalaman sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Jadi pandangan beliau kenalah diambil kira,” kata Mohamad.

Menjawab soalan pemberita berhubung pertemuan kali kedua selepas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang dengan pemimpin parti komponen BN negeri hari ini, beliau menjelaskan semua pihak, MCA, MIC, Gerakan dan PPP telah menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi.

‘‘Saya nasihatkan mereka supaya menemui seramai mungkin pengundi di kawasan DUN Bagan Pinang dan menghubungi mereka yang tidak lagi menduduki kawasan itu, tetapi balik untuk mengundi.

‘‘MCA akan melaksanakan sistem zon yang dibahagikan kepada empat untuk lebih mesra pengundi, manakala MIC akan bergerak dan mencari pengundi yang telah lama meninggalkan estet dan sebagainya,” kata beliau.

Kata Mohamad, pertemuan hari ini lebih fokus untuk memenangi hati 13,664 pengundi di situ dengan BN merangka empat cara untuk pelaksanaannya menerusi program jabatan kerajaan, kekuatan parti, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‘‘Semua wakil rakyat BN di negeri ini akan diberi amanah menjaga 500 rumah pengundi di mana mereka perlu menemui setiap hari sekurang-kurangnya 70 buah rumah untuk memastikan dasar kerajaan BN diperjelaskan dengan betul,” kata Mohamad.

Friday, September 18, 2009

TPM syor tol percuma hari raya

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuh raya akan mengikuti langkah MTD Prime Sdn. Bhd. memberikan tol percuma di lebuh raya kendalian mereka sempena Aidilfitri ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masih belum terlewat untuk mana-mana pemegang konsesi lebuh raya lain mengambil tindakan yang sama.

Katanya, langkah memberikan tol percuma adalah sesuatu yang bersifat amat prihatin dan bijak dalam memastikan perjalanan selesa orang ramai pulang ke kampung.

“Kalau lain-lain syarikat pemegang konsesi ambil langkah yang sama, ia bukan sahaja mengurangkan belanja tetapi kita semua dapat sampai ke destinasi dalam keadaan selamat dan tidak terperangkap dalam kesesakan yang mengambil masa lama.

“Mungkin mereka boleh ikut langkah yang dibuat MTD, belum terlambat lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara Biotechnology Corporation dan UEM Land Holdings Berhad di sini hari ini.

Muhyiddin turut memuji tindakan MTD Prime sebagai tawaran yang menarik kepada pengguna lebuh raya negara ini.

MTD Prime mengendalikan Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 ke Jabor, Terengganu dengan menawarkan laluan tol percuma dari pukul 12 tengah malam ini hingga 5 pagi esok dan 24 September ini.

PLUS Expressway Berhad (PLUS) yang mengendalikan Lebuh Raya Utara Selatan iaitu rangkaian lebuh raya terpanjang di Malaysia pula memberikan potongan 20 peratus.

Antara pengendali lebuh raya utama lain adalah Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn. Bhd., Penang Bridge Sdn., Bhd., Linkedua (M) Sdn. Bhd., Konsortium Lebuhraya Butterworth - Kulim Sdn. Bhd., Syarikat Grand Saga Sdn. Bhd., Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd,. Lingkaran Transkota Holdings Bhd. dan Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd.

Pengendali lain ialah Projek Lintasan Kota Sdn. Bhd., Besraya (M) Sdn. Bhd., Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn. Bhd., Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd., New Pantai Expressway Sdn. Bhd. dan Prolintas Expressway Sdn. Bhd.

Yang lain ialah Metramac Corporation Sdn. Bhd., Maju Expressway (MEX) Sdn. Bhd., Konsortiu

Thursday, September 17, 2009

MCA hantar notis EGM kepada 2,337 perwakilan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang akan menentukan masa depan parti itu, termasuk kedudukan Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat, akan diadakan pada 10 Oktober depan pada jam 10 pagi di Wisma MCA.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng, berkata notis mengenai EGM itu akan dikeluarkan kepada semua 2,337 perwakilan pusat.

"Saya berharap semua perwakilan pusat akan hadir dan mengambil kira masa depan serta hala tuju parti sebelum membuat keputusan," katanya kepada pemberita untuk mengumumkan tarikh EGM itu di Wisma MCA, semalam.

Beliau juga mengumumkan Mesyuarat Agung MCA yang sepatutnya berlangsung dalam tempoh yang hampir sama, akan ditunda bagi memberi peluang kepada EGM berkenaan.

Isnin lalu, pihak mewakili Ong dan penyokong Dr Chua Soi Lek bersetuju untuk mengadakan hanya satu EGM dengan Ong menerima semua lima resolusi yang dibawa penyokong Dr Chua.

Lima resolusi itu ialah usul tidak percaya terhadap Presiden parti; membatalkan keputusan Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memecat Dr Chua; menuntut Dr Chua dikembalikan jawatan Timbalan Presiden; menolak pelantikan sebarang jawatan oleh CC termasuk jawatan Timbalan Presiden sebelum EGM dan menolak aduan serta tindakan terhadap mereka yang memanggil EGM diadakan.

Keharmonian inspirasi 1Malaysia

Semangat perpaduan kukuh di Sabah dan Sarawak contoh terbaik: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, semangat perpaduan yang kukuh serta keharmonian di Sabah dan Sarawak adalah bukti perbezaan di kalangan rakyat berjaya menyatukan negara ini, sekali gus menjadi inspirasi kepada komitmennya terhadap 1Malaysia.

Sambil menyifatkan kisah Sabah dan Sarawak sebagai 'kisah 1Malaysia', Perdana Menteri berkata, kekuatan sebenar Malaysia terserlah apabila rakyat daripada semua bangsa, agama dan keturunan saling hidup dalam keadaan harmoni.

"Sabah dan Sarawak adalah dua negeri terbesar kita, yang terpisah oleh lautan, namun amat penting kepada impian semua rakyat Malaysia bagi sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

"Ada banyak contoh yang bersemangat dan bertenaga untuk menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan etnik boleh menerima banyak perkara yang menyatukan kita, bukannya membiarkan beberapa perkara kecil memecahbelahkan kita," katanya dalam kenyataan peribadi sempena Hari Malaysia, semalam.

Perdana Menteri yang berkongsi wawasannya bagi membina masa depan lebih cemerlang untuk semua rakyat Malaysia, turut mengimbas bagaimana penyatuan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung pada 1963 melahirkan Malaysia moden.

Najib berkata, ketika menyaksikan perayaan Gawai Dayak di rumah panjang di Sarawak, baru-baru ini, beliau menyedari penduduk negeri itu sudah pun menerima pakai nilai 1Malaysia, lama sebelumnya.

"Contoh ini merangsang komitmen saya. Kita hanya perlu melihat Sabah dan Sarawak untuk memahami perpaduan dan keharmonian boleh dicapai jika kita menerima dan menghormati kelainan rakyat kita," katanya.

Perdana Menteri berkata, Sabah mengalami pertumbuhan pesat dalam keseluruhan sektor ekonominya dan beliau amat tertarik kepada semangat keusahawanan serta membawa pembaharuan pada rakyat negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan ekonomi di kedua-dua negeri itu tersekat oleh masalah rangkaian pengangkutan dan perkhidmatan. selain persekolahan akibat kekurangan dana.

"Sehubungan itu, saya memperluaskan bantuan kewangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah dan Sarawak untuk projek prasarana penting, bekalan perkhidmatan dan penambahbaikan peluang pendidikan, terutama di kawasan luar bandar.

"Untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni dengan masa depan yang cemerlang, kita mesti membangunkan negara kita sebagai 1Malaysia. Pelaburan yang diperbaharui dan diperluas bagi masa hadapan Sabah dan Sarawak yang sudah saya cadangkan (sebelum ini) adalah langkah ke arah itu.

"Pada akhirnya nanti, sama ada kita tinggal di rumah panjang di pedalaman atau di bangunan tinggi di Kuala Lumpur, kita semua adalah rakyat Malaysia dan sebahagian daripada 1Malaysia yang kita cintai," katanya.

Wednesday, September 16, 2009

F1 1Malaysia

Teknologi anak tempatan sertai perlumbaan

PUTRAJAYA: Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu menggabungkan teknologi Proton dan Lotus, kepakaran Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan SIC, Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia.

"Ini pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini (atas) direka bentuk, dibuat dan diuji di SIC dan adalah kereta buatan Malaysia.

"Kumpulan mengendalikan pitstop juga rakyat Malaysia. Kita akan kenal pasti pelumba yang sesuai untuk kendalikan kereta ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dua pemandu pasukan itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon."Ini adalah satu perkembangan yang sangat bermakna dan pasti dapat menaikkan imej Malaysia dalam perlumbaan F1, khususnya dan persada antarabangsa amnya," katanya.


Najib yang juga Menteri Kewangan I, berkata pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad.

Pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata:

"Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka."

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata, projek itu bukan pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia, khususnya jenama Proton dan Lotus.

"Maknanya kalau kita hendak eksport Proton dan guna enjin Lotus, kita perlu menentukan jenama kita lebih mantap dan dikenali serta diterima di peringkat antarabangsa.

"Ada elemen pemasaran yang kuat di sebalik (projek) ini kerana ia bukan dilihat sebagai satu kegiatan sukan semata-mata, tetapi ada unsur pemasaran dan untuk Malaysia seluruhnya," katanya.

Malah, katanya, usaha berkenaan akan turut membawa faedah kepada pengukuhan jenama Air Asia dan Naza di peringkat antarabangsa.

Ditanya sama ada pasukan itu sempat membuat persediaan menjelang kejohanan tahun depan, Najib berkata:

"Tentunya kita tidak boleh berharap ia (kejayaan) berlaku serta merta, ia bersifat progresif tetapi saya harap suatu hari nanti kita boleh mendengar lagu kebangsaan negara dimainkan (ketika menang), itu impian kita."

Malaysia mula terbabit dalam perlumbaan F1 sejak 1999 menerusi pembukaan SIC yang berjaya memasuki kalendar perlumbaan F1 dunia menerusi Grand Prix Petronas (Petronas GP) yang mana tahun depan adalah siri ke-11.

Kenyataan akhbar pasukan itu memetik Najib sebagai berkata usaha mewujudkan pasukan F1 Malaysia sendiri bertujuan menarik lebih banyak pelaburan asing dan kepakaran teknikal terbaik yang boleh menjana pertumbuhan industri automotif negara.

Najib berharap lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan bagi menghasilkan kereta yang berkesan dari segi kos, lebih ringan dan lebih selamat.

Tuesday, September 15, 2009

Tarikh mengundi 11 Oktober

PUTRAJAYA 14 Sept. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 3 Oktober ini manakala 11 Oktober pula tarikh pengundian jika ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya akan menggunakan daftar pemilih yang telah dikemaskinikan sehingga 4 September lalu yang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar iaitu 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

''Tarikh mengundi bagi undi pos belum ditetapkan lagi tetapi seperti sebelum ini, ia akan dilaksanakan dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian sebenar.

''Kami akan memaklumkan tarikh mengundi bagi undi pos kepada parti-parti politik yang terlibat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ia dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kedudukan kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

Abdul Aziz memberitahu, SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

''Pusat mengundi pula adalah sebanyak lapan buah melibatkan lapan sekolah dan 18 saluran mengundi," katanya.

Katanya, SPR melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil itu.

''SPR turut menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang bertanggungjawab memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen," katanya.

Abdul Aziz mengingatkan parti politik yang bertanding supaya mematuhi subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan larangan berkempen pada hari mengundi.

''Sesiapa yang didapati melanggar subseksyen itu boleh disabitkan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau keduanya sekali," katanya.

Monday, September 14, 2009

Sabah&Sarawak: Si Kenyalang: Sambutan Aidilfitri sesuai semangat '1Malaysia' di Sarawak

TINGGAL seminggu saja lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri sebagai menandakan kemenangan selepas berperang dengan hawa nafsu selama sebulan dengan menunaikan ibadah puasa.

Berbeza dengan Semenanjung, sambutan Aidilfitri di Bumi Kenyalang lebih warna-warni dengan 30 suku etnik turut meraikan perayaan itu, dengan beramai-ramai mengunjungi rumah saudara mara dan sahabat handai beragama Islam.

Uniknya Sarawak, ada kalanya sesebuah keluarga itu meraikan hampir semua perayaan hasil ikatan perkahwinan campur yang banyak berlaku dalam masyarakatnya dan konsep perkahwinan campur itu sendiri diterima secara terbuka.

Penulis sendiri ada kenalan rapat empat beradik dalam satu keluarga Iban yang keempat-empatnya mengahwini kaum lain - Orang Ulu, Cina, Melayu dan India, namun hubungan kekeluargaan mereka tetap akrab, dengan sambutan semua perayaan berkaitan diraikan bersama-sama.

Tidak hairanlah sukar untuk membezakan kaum di Sarawak, terutama dalam keluarga yang berlaku perkahwinan campur, apa lagi bahasa Melayu Sarawak menjadi bahasa komunikasi yang boleh ditutur semua kaum, baik Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu, Melanau, Cina dan India, sedang pada masa sama bahasa ibunda masing-masing tetap teguh dipertahankan.

Di Sarawak juga kita boleh menyaksikan semua kaumnya mengamalkan budaya ikram, tanpa ada perasaan iri hati dan hasad dengki antara satu kaum dengan lain, berkat layanan sama rata kepada semua kaum yang diberikan kerajaan selama ini, yang sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kumpulan etnik.

Selayaknya kepemimpinan negara sendiri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Sarawak adalah lambang terbaik konsep '1Malaysia' dengan semangat `1Malaysia' terserlah bukan saja dalam kehidupan seharian, malah ketika perayaan seperti Aidilfitri yang menjelang tiba.

Adat kunjung mengunjung pada setiap perayaan termasuk Hari Raya Puasa, akan membabitkan semua kaum. Bahkan, pemimpin beragama Islam yang turut menyambut perayaan itu mengadakan rumah terbuka untuk semua lapisan masyarakat setiap kali Aidilfitri.

Begitu juga dengan perayaan lain, seperti Gawai Dayak - pemimpin berbangsa Dayak akan mengadakan rumah terbuka untuk semua kaum.

Di Sarawak, Aidilfitri disambut selama sebulan. Selepas solat sunat Aidilfitri pada pagi raya, umat Islam selalunya mengunjungi kedua-dua orang tua, sebelum mengadakan rumah terbuka pada sebelah tengah hari raya pertama bagi menyambut kedatangan rakan beragama lain.

Pada hari kedua dan ketiga raya juga selalunya digunakan bagi menyambut kedatangan sahabat handai termasuk dari agama lain.

Selalunya masyarakat Sarawak menjadikan hari keempat hingga ke-14 untuk mengunjungi sanak saudara lain. Ada juga sanak saudara tinggal jauh, khususnya di pedalaman negeri ini menjadikan minggu ketiga dan keempat masa untuk mengunjungi sanak-saudara di bandar.

Sekurang-kurangnya 10 hari pertama Syawal juga umat Islam di Sarawak menghiasi kawasan rumah dengan lampu warna-warni atau sekurang-kurangnya hiasan pelita yang dikenali sebagai adat `bertuntung' di kalangan masyarakat Sarawak.

Pertandingan 'bertuntung' antara kampung juga kerap diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada setiap tahun.

Lampu warna-warni dan pelita selalunya mula dipasang sembilan hari sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam `satu likur'. Lebih banyak lampu atau pelita akan dipasang pada malam `tujuh likur' iaitu tiga hari sebelum Aidilfitri dan ia akan terus menyala sehinggalah hari ke-10 Aidilfitri.

Di Sarawak juga amat jarang sekali kita dengar kes cedera terutama terputus jari akibat bermain mercun, biarpun ada juga kedengaran dentuman mercun ketika malam menjelang Aidilfitri dan pada malam-malam di bulan Syawal.

Seperkara lagi uniknya Aidilfitri di Sarawak ialah suasana sambutan tidak akan terasa tanpa hidangan pelbagai jenis air bergas atau lebih dikenali sebagai 'air lemenet' di kalangan penduduk tempatan.

Begitu juga dari segi hidangan, dengan Sarawak terkenal dengan kek lapis Sarawak, boleh dikatakan setiap rumah akan menghidangkan pelbagai jenis kek lapis, selain kek biasa, pelbagai jenis biskut dan pelbagai jenis kudapan.

Antara kek lapis popular di Sarawak ialah 'kek lapis pua kumbu'; 'kek lapis masam manis'; 'kek lapis intan terpilih'; 'kek lapis ketupat'; 'kek lapis strawbery coklat cadbury'; 'kek lapis Putra Jaya'; 'kek lapis coffe princes' dan 'kek lapis evergreen'.

Pastinya masakan lemang, ketupat, kari, rendang dan sate juga menjadi kegemaran, dan ia selalunya hanya dihidangkan kepada tetamu pada hari pertama dan kedua raya saja, sedangkan hari ketiga dan seterusnya, pelbagai jenis kuih- muih akan terus menjadi hidangan.

Bagi bukan rakyat Sarawak, jangan terkejut jika melihat baju Melayu masih digayakan sehingga minggu kedua Aidilfitri untuk adat kunjung mengunjung.

Selain baju kurung, bagi lelaki di Sarawak kebiasaannya akan menempah sekurang-kurangnya dua pasang baju Melayu untuk dipakai bagi mengunjungi saudara mara dan sahabat handai sepanjang sambutan Aidilfitri.

Pendek kata semangat raya benar-benar hidup di Bumi Kenyalang, begitu juga bagi perayaan penganut agama lain, kerana penduduknya yang berjumlah kira-kira 2.4 juta dari lebih 30 suku etnik, saling menghormati adat istiadat, budaya dan agama masing-masing.

*Petikan dari Berita Harian

BN mampu menang di Bagan Pinang

JELEBU 13 Sept. - Barisan Nasional (BN) mampu mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Bagan Pinang akan datang walaupun menerima kritikan dari pelbagai pihak.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, aspek pembangunan masih lagi menjadi agenda utama BN dan ia masih diteruskan serta diberi keutamaan.

"Mungkin ada kritikan tetapi bumi mana yang tidak kena hujan, bumi mana yang tidak retak, tinggal lagi kita harus berkebolehan untuk menangkis dan menghalakan pandangan penyokong kepada yang positif," kata Rais.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di Masjid Simpang Pertang di sini malam tadi.

Menurut Rais, proses kemajuan serta keprihatinan para pemimpin BN di kawasan itu menyebabkan BN berjaya memenangi kerusi Bagan Pinang pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Katanya, BN juga mampu bertahan di kawasan tersebut berdasarkan rekod cemerlang, Allahyarham Azman Mohd. Noor.

"Selain itu penduduk di situ masih lagi mempunyai perasaan segan dengan kepimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai tokoh besar dalam kepimpinan negeri.

Ditanya mengenai pencalonan Ketua Bahagian Telok Kemang itu sebagai calon BN, Rais berkata, Mohd. Isa boleh diberi peluang sedemikian.

"Beliau boleh diberi percubaan tetapi apa yang penting adalah apabila calon sudah diputuskan jangan ada perbalahan, seperti yang berlaku di Permatang Pasir.

"Kita tidak mahu separuh masanya habis mendebatkan tentang calon, ini seharusnya tidak timbul di Bagan Pinang," katanya.

Bisi siti da agi nengeri baru di Kuching

ya deka digaga ba tanah 5,000 ikar belabuh ari Rambungan mansa Jalai Sultan Tengah

KUCHING: Siti agi sitak nengeri baru deka digaga ba Petra Jaya maya tanah pemesai 5,000 ikar ke ulih alai ngaga 45,000 unit rumah sepemanjai jalai ari Rambungan, Telaga Air mansa Jalai Sultan Tengah ditu, dipeda bisi awak dikemansangka.

Menteri Pengawa Berumah Datuk Amar Abang Johari Tun Openg madah, iya ngarapka sitak alai orang mayuh diau deka dikemansang sepemanjai sitak jalai nya ila.

“Tanah ke bulih 5,000 ikar sepemanjai jalai nya ulih alai ngaga 45,000 unit rumah, lalu kelimpah ari nya, HDC sedia deka bekerejasama enggau kontraktor ngaga rumah ke bukai deka ngemansangka sitak nya nyadi siti nengeri baru di Petra Jaya.

“Enti pasal rega rumah ke digaga ba sitak nya, iya nitihka peminta pasar.

“Bisi sekeda sigi digaga kena orang ke begaji umbas iya, bisi sekeda rumah iya digaga enggau rega ke tinggi mimit (high end market),” ku iya madah maya ditemu ba atur pengawa nyerah kunchi rumah projek Taman Daya Riang ba Semariang ditu, kemari.

Projek rumah nya ke dipejalaika Syarikat Daya Perumahan Sdn Bhd (DPSB) ke becherminka Kaban Kunsil Nengeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi nya mantaika konsep rumah moden tauka ‘kontemporari’.

Taman Daya Riang bisi 18 unit rumah ke besapak dua ringkat dijual RM320,000 ngagai RM460,000 seunit. Ari 18 unit nya, semina bisi siti unit ke bedau dijual.

Lebuh bejaku pasal design rumah nya ke nunda chara pendiau ke muden, Johari madah pemerani DPSB ngaga rumah ngena konsep kontemporari patut dipuji awakka sida iya deka sama besemekih enggau kompeni bukai ba industri tu.

“Enti suba DPSB sebedau tu di temu kitai ngemansangka projek rumah kos ke mit enggau umbas iya dipeda ulih ngemansangka projek rumah ke ‘elit’ sereta bekualiti,” ku iya lalu madah, kualiti rumah pekara ke patut di kemeratka awakka orang ke meli pan bepuas hati.

Kelimpah ari nya, Dr Rahman madah DPSB diatu pan benung ngemansangka 865 unit Rumah Mampu Milik (RMM) enggau 1,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) ke berega RM200 juta ba baruh ungkup pakej stimulus ke kala dipadahka Perdana Menteri (PM) bedau lama tu tadi.

Maklumat dan data golongan perlu bantuan perlu direkod

KUCHING: Maklumat dan data mengenai jumlah keseluruhan golongan yang memerlukan bantuan terutamanya orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yatim di sesuatu kawasan hampir tidak diketahui kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu, pemanca dan ketua ma-syarakat di sesuatu kawasan mengumpul semua maklumat mengenai jumlah golongan tidak bernasib baik tersebut.

“Ini bagi membolehkan pihak kerajaan membantu mencari mekanisme dan ikhtiar yang dapat membantu mencorak masa depan terutamanya anak-anak yatim dan OKU agar mereka berjaya dan senang dalam hidup,” kata Wan Junaidi ketika Majlis Penyampaian Bantuan dan Berbuka Puasa Bersama Orang Kurang Upaya dan Anak Yatim Kawasan Parlimen Santubong di sini, semalam.

Menurutnya, para pemimpin masyarakat hendaklah memainkan peranan proaktif dan mendaftarkan mereka untuk direkodkan.

Beliau turut menyeru para pemimpin masyarakat agar kerap lagi melakukan aktiviti sosial bagi mengenali anak-anak yang tidak bernasib baik itu supaya dapat membentuk mereka dan seterusnya tidak menjadi beban negara pada masa hadapan.

Seramai 90 anak-anak yatim dan 60 OKU menghadiri majlis berkenaan dan menerima sumbangan berbentuk kewangan.