Pages

Ads 468x60px

Friday, October 19, 2012

NAJIB LANCAR GAGASAN NAJ1B


LUMUT 18 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan gagasan Negeri Aman Jaya 1Malaysia Bersatu (NAJ1B) sebagai kesinambungan kepada gagasan Perak Aman Jaya yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak.
Majlis pelancaran tersebut diadakan sempena program Jamuan Janji Ditepati di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini, yang dihadiri lebih 10,000 rakyat berbilang kaum.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M. Kayveas.

Gagasan NAJ1B yang diilhamkan Zambry mendukung slogan 'Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir' dalam memastikan semua rakyat mendapat nikmat daripada limpahan kemakmuran hasil program dan dasar kerajaan BN.

Menurut Zambry, pendekatan itu memberikan penekanan dalam aspek pembangunan ekonomi, politik, sosial, kesihatan dan pendidikan.
"NAJ1B juga merupakan terjemahan daripada pendekatan 3P iaitu Padang, Perasaan dan Penyelesaian yang dilaksanakan kerajaan negeri.
"Negeri yang aman dan berjaya akan menyumbang kepada negara Malaysia yang bersatu," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Terdahulu, Najib memulakan lawatannya ke selatan Perak hari ini dengan menghadiri program 'Sepagi Bersama Perdana Menteri' di Arena Square Teluk Intan dekat sini, yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Najib kemudiannya menaiki helikopter ke bandar ini untuk menghadiri program Mesra Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bersama Perdana Menteri di Pangkalan TLDM Lumut.


PECAT ANWAR BUKAN PUNCA MELAYU BERPECAH



Kuala Terengganu: Tun Dr Mahathir Mohamed menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 sebagai pencetus kepada perpecahan orang Melayu.Bekas Perdana Menteri itu berkata, setiap orang boleh mempunyai pendapat sendiri, tetapi hakikatnya perpecahan Melayu berlaku sejak awal negara mencapai kemerdekaan. 





Kita bermusuh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu dengan alasan memperjuangkan Islam tanpa memikirkan kesan daripada permusuhan itu. Malah, kita sanggup berpecah tanpa memikirkan sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan kepada kita," Dr Mahathir Mohamed, Bekas Perdana Menteri
“Apabila cadangannya tidak diterima, beliau keluar lalu menubuhkan Parti Negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Bicara Negarawan sempena Seminar Peningkatan Kemajuan Kerjaya Pegawai-Pegawai Tadbir Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, perpecahan kedua berlaku apabila kumpulan ulama dalam UMNO keluar parti untuk menubuhkan PAS selepas permintaan memegang 10 kerusi ditolak.

Perpecahan berikutnya berlaku apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 selepas tewas dalam perebutan kerusi Presiden UMNO.

Risiko jadi minoriti 
Sehubungan itu, katanya, pemecatan Anwar tidak boleh dianggap sebagai titik permulaan perpecahan orang Melayu.

“Keputusan memecat Anwar juga bukan dibuat oleh saya secara bersendirian, sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bersetuju beliau tidak boleh dibenarkan memimpin negara menggantikan saya.

“Kita tidak boleh menerima orang yang begitu rendah nilai moralnya menjadi Perdana Menteri. Kita akan malu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Anwar yang bijak berpidato dapat memesongkan fikiran rakyat dan menyalahkan orang yang memecatnya tetapi tidak mempertikaikan nilai moralnya.

Dr Mahathir turut mengingatkan bangsa Melayu akan hilang dari muka bumi jika perpecahan yang berlaku sekarang tidak dibendung.

Beliau berkata, kemungkinan bangsa Melayu hilang adalah sesuatu yang serius seperti berlaku pada keturunan Melayu di Selatan Thailand dan Singapura yang sudah hilang identiti kerana tidak lagi boleh berbahasa Melayu.

Katanya, walaupun orang Melayu masih majoriti, ia akan menjadi minoriti jika ia terus berpecah kepada beberapa puak atau kumpulan.

“Kita tidak perlu fikir dengan mendalam (mengenai perkara ini) kerana ia sudah jelas, jika kita tidak lagi majoriti di negara ini, ia akan membawa kesan yang amat buruk.

Taksub pemimpin

“Kita bermusuh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu dengan alasan memperjuangkan Islam tanpa memikirkan kesan daripada permusuhan itu. Malah, kita sanggup berpecah tanpa memikirkan sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan kepada kita,” katanya.

Mengulas mengenai perjanjian damai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Dr Mahathir bersyukur kerana akhirnya kedua-dua pihak dapat menyelesaikan pertikaian secara rundingan.

“Ini cara terbaik dan memang berperang itu mungkin cara yang tidak dapat dielakkan tetapi jika kita boleh selesaikan secara rundingan adalah lebih baik kerana ia tidak membabitkan pembunuhan dan kemusnahan harta benda,” katanya.

KERAJAAN TELITI PINDA HUKUMAN ROGOL GADIS BAWAH UMUR


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak perlu terburu-buru meminda Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan perogol gadis bawah umur atau statutori dihukum penjara mandatori. 

Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang mewakili tujuh badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita memandang serius cadangan kerajaan merangka rang undang-undang yang tidak membenarkan hakim mengenakan hukuman bon jaminan berkelakuan baik bagi kes rogol.

JAG dianggotai Persatuan Wanita untuk Wanita Perak (PWW), Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Sisters In Islam (SIS), Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO). 

“Langkah terburu-buru tanpa kajian dan perundingan terperinci bukan caranya mengendalikan isu ini pada masa depan. 

“Sehubungan itu, kerajaan tidak harus membentangkan rang undang-undang sehingga rundingan lengkap dan terperinci dijalankan dengan mengambil kira pandangan pihak berwajib, Majlis Peguam dan NGO. Ia bagi mengumpul input secara komprehensif untuk lebih memahami dan mengemukakan saranan berkaitan kesalahan jenayah seksual,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Keputusan kerajaan 

Keputusan kerajaan meminda peruntukan yang sebelum ini memberi hakim budi bicara menjatuhkan hukuman, termasuk perintah berkelakuan baik itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 
Pindaan dibuat berikutan bantahan awam apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka memerintahkan pemain bowling kebangsaan, Nor Afizal Azizan, dikenakan bon jaminan RM25,000 berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol gadis bawah umur. 

Mengulas perkara sama, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mahu hukuman bagi kesalahan merogol gadis bawah 16 tahun kekal dalam bidang kuasa mahkamah kerana ada faktor yang perlu dipertimbangkan seperti fakta kes sebelum pesalah dikenakan hukuman berat atau ringan. 

Sebelum ini, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berpendapat sebarang pindaan undang-undang perlu dilakukan secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan. 

JAG menegaskan bantahan dibuat bukan kerana kuasa mahkamah mengenakan hukuman, sebaliknya bagaimana mahkamah menggunakan budi bicara membuat pertimbangan yang dianggap kurang daripada segi alasan, keadilan dan ekuiti. 

“Oleh itu, apa yang perlu bukan mengetepikan keseluruhan kuasa budi bicara mahkamah kerana kejadian merogol gadis bawah umur adakah kesalahan kompleks yang memerlukan pertimbangan pelbagai aspek dan faktor berbeza,” katanya.

KONSEP BINA JUAL RUMAH WAJIB 2015

Kuala Lumpur: Mulai 2015, kerajaan mewajibkan semua pemaju perumahan melaksanakan konsep bina kemudian jual kepada pembeli bagi mengelak projek terbengkalai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan. 


“Kita akan ubah kaedah beli dan bina yang wujud sejak sekian lama. Sebenarnya konsep beli dan bina adalah salah satu model yang diamalkan di negara maju manakala sesetengah negara mengamalkan kedua-dua konsep. 


Menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina," - Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Kaedah beli dan bina

“Kita sudah lakukan kajian menyeluruh dan dasar ini kita akan ubah pada 2015,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat disini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang bangun mencelah meminta penjelasan mengenai perkembangan pelaksanaan konsep bina kemudian jual seperti diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Mengulas lanjut, Chee Heung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, setakat ini ada empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi jaminan untuk melaksanakan konsep berkenaan mulai tahun depan. 
Beliau berkata, menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina.

Chee Heung berkata, sehingga kini kerajaan menyuntik dana RM117 juta untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai dan menerusi Bajet 2013, kementerian menerima peruntukan RM100 juta bagi meneruskan agenda itu.

Beliau berkata, sepanjang 2009 hingga 2012, sebanyak 178 projek perumahan diisytiharkan terbengkalai dan daripada jumlah itu, 112 projek berjaya dipulihkan, 67 projek dalam proses pemulihan dan baki sembilan projek dalam perancangan untuk dipulihkan. 

Bagi Selangor contohnya, bilangan projek perumahan terbengkalai bagi tempoh berkenaan adalah 48 projek membabitkan 16,073 pembeli.

"Bagaimanapun hasil usaha gigih kerajaan, 25 projek berjaya disiapkan manakala 22 projek lagi dalam proses pemulihan," katanya.

Biaya kos 10 peratus

Bagi mengatasi masalah projek terbengkalai, beliau berkata, kerajaan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah dan syarikat pemaju perumahan yang gagal melaksana projek selain tidak mempertimbangkan permohonan lesen dan permit baru mereka.

Melalui pindaan Akta 118 lalu, tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap pemaju perumahan yang mengabaikan suatu projek perumahan atau menyebabkan suatu projek itu terbengkalai.

Kerajaan juga katanya akan menggunakan kuasa mengikut akta itu untuk memastikan tindakan menyuntik dana dalam memulihkan projek perumahan swasta tidak diambil kesempatan pemaju perumahan yang sengaja tidak menyiapkan projek mereka.

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Chee Heung berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membiayai kos infrastruktur rumah sebanyak 10 peratus jika projek pembinaan rumah dilaksanakan menerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Thursday, October 18, 2012

GAGAL MANFAAT DANA AMANAH RM33.36 JUTA

Kepala Batas: Kegagalan Kerajaan DAP Pulau Pinang memanfaatkan RM33.36 juta dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera, disifatkan satu penganiayaan terhadap orang Melayu di negeri ini. 

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim, berkata dana itu sepatutnya dibelanjakan terutama untuk pembinaan rumah mampu milik dan kos sederhana, tetapi kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak mempedulikan nasib Bumiputera, khususnya golongan miskin tidak berumah. 

“Apa yang jadi persoalan mengapa wang itu diperam tanpa digunakan untuk tujuan sepatutnya, membina rumah mampu milik dan kos rendah kepada Bumiputera. Saya kesal dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri yang mengabai dan tidak mempedulikan nasib orang Melayu di negeri ini,” katanya. 


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), di sini semalam.

PERODUA TAWAR KERETA MURAH KEPADA PELAJAR IPT


Kuala Lumpur: Tawaran program pemilikan kereta terbaru Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kepada pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan.

Pakej promosi istimewa ‘What’s Up Graduates’ itu memberikan peluang kepada kumpulan pelajar tahun akhir untuk memiliki kereta PERODUA dengan bayaran serendah RM299 sebulan, bergantung kepada pinjaman bank yang ditawarkan institusi kewangan. 
 
Pengarah Jualan dan Pemasaran PERODUA, Zahari Husin, berkata pakej itu turut termasuk tajaan kelas belajar memandu bernilai RM1,000, perlindungan insurans kemalangan bernilai RM20,000 dan diskaun 50 peratus bagi servis asas selama dua tahun di 170 pusat servis PERODUA di seluruh negara. 

“Tawaran ini terbuka untuk pembelian semua kereta model PERODUA, tetapi ia tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menerusi tawaran bermula 10 Oktober lalu dan akan berakhir 31 Mac 2013, pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar serta membawa seorang penjamin bagi memohon tawaran berkenaan ketika melaksanakan urusan jual beli kenderaan di semua cawangan PERODUA. 

Bayaran serendah RM299 sebulan itu hanya ditawarkan untuk bayaran bulanan bagi tahun pertama saja dan bayaran bagi tempoh seterusnya akan beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun sehingga habis tempoh pinjaman, sejajar dengan kenaikan gaji.

HARGA RUMAH LEBIH MURAH

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sudah meminta Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik. 

Kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan," - Datuk Seri Najib Razak

“Kita boleh mengadakan perjanjian sedemikian. Kita (kerajaan) akan menyediakan jumlah tertentu bagi kos infrastruktur, dengan syarat pemaju swasta membina rumah yang lebih rendah harganya berbanding harga pasaran,” katanya.

REHDA sambut baik Najib menjawab soalan penyampai radio, Chui Ling dan Jentzen mengenai isu harga rumah, yang dikatakan mahal di Lembah Klang dalam temubual selama sejam program pagi radio ‘Morning Boss’, Melody FM di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam yang dihubungi BH mengenai perkara itu berkata, jika kerajaan boleh menampung kos keseluruhan pembinaan infrastruktur, harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus.
Beliau yang menyambut baik hasrat itu, berkata dalam kos pembinaan perumahan, 10 peratus adalah untuk pembinaan infrastruktur.

“Tapi jika sebahagian saja kos berkenaan ditanggung kerajaan, harga rumah mungkin dapat diturunkan sekitar lima hingga 10 peratus. Selain itu, lokasi sesebuah projek perumahan juga memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.

Buka pendaftaran

Perdana Menteri dalam program itu juga menjelaskan kerajaan akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 80,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kerajaan akan membuka pendaftaran bagi rumah PR1MA sebaik kawasan untuk membina rumah mampu milik dikenal pasti.

“Tetapi kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan.

“Kami akan menyediakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kos infrastruktur dan mereka boleh menjual rumah itu pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

“Jadi saya harap pemaju perumahan mendengar siaran stesen radio ini pagi ini. Datang dan berbincanglah dengan kami sama ada anda boleh menyertai dalam model kedua ini supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk orang ramai,” katanya.

Iktiraf pendidikan Cina

Dalam isu lain, Najib berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

“Kita telah mengiktiraf pendidikan Cina di Malaysia, dan saya fikir ia adalah besar, mempunyai kepentingan yang besar.

“Sila lihat dalam konteks itu, dalam perspektif bahawa kita telah mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem (pendidikan) kebangsaan,” katanya.