Pages

Ads 468x60px

Friday, January 8, 2010

Ketua Pasukan Bertindak DAP Pulau Pinang keluar parti

PULAU PINANG 7 Jan. - Setelah menjadi ahli DAP lebih 22 tahun, Ketua Pasukan Bertindak parti itu di negeri ini, Tham Weng Fatt, 54, umum keluar parti dan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membuat keputusan itu kerana tidak sehaluan lagi dengan perjuangan DAP yang sejak akhir-akhir ini tidak lagi memperjuangkan kepentingan rakyat.

Malah, Weng Fatt yang merupakan antara pemimpin DAP yang sangat dikenali di negeri ini berkata, keputusan tersebut juga dibuat kerana DAP juga gagal menunaikan janji yang dibuat sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

''Saya tidak pernah kecewa kerana tidak diberikan pangkat dan kedudukan tinggi dalam parti, namun saya kecewa setelah melihat kepimpinan DAP negeri ini yang terus meminggirkan kepentingan rakyat sejak memimpin negeri ini.

''Ingin ditegaskan di sini bahawa keputusan dibuat itu adalah muktamad dan dibuat secara sukarela setelah memikirkannya selama dua bulan dan ia juga bukan dibuat di bawah tekanan mana-mana pihak," katanya disini hari ini.

Weng Fatt membuat pengumuman itu selepas dilihat pihak media semasa mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, surat perletakan jawatannya dalam parti akan diserahkan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menafikan berlakunya sebarang perselisihan faham di antaranya dan pemimpin DAP lain di negeri ini dan menegaskan ia dibuat kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan beberapa dasar parti.

''Saya mahu meneruskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tetapi bukan dengan sebuah sebuah parti yang tidak mempunyai prinsip yang sama dan telah dilihat lari dari perjuangannya," tegas beliau.

Dalam pada itu, Cheng Guan yang turut ditemui pemberita memberitahu akan menimbangkan untuk memberikan kedudukan tinggi dalam parti kepada Weng Fatt, selaras jasa dan pengalamannya dalam bidang politik yang lebih dua dekad.

''Keputusan Weng Fatt menyertai kami dianggap sangat tepat dan signifikan dalam usaha mengukuhkan lagi PCM memandangkan beliau merupakan pemimpin yang sangat prihatin kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow menegaskan beliau tidak tahu mengenai berita tersebut dan hanya mengetahuinya selepas pihak media mengajukan soalan mengenai perkara itu kepadanya.

Beliau bagaimanapun, akan merujuk dulu perkara tersebut terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut bagi mengelakkan sebarang salah faham namun mengucapkan selamat maju jaya kepada Weng Fatt jika pekara itu benar.

Nilai sebenar sebuah enjin F5-E ialah RM303,570 - Zahid

PUTRAJAYA 7 Jan. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan nilai sebenar sebuah enjin pesawat F5-E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk 'afterburner' ialah RM303,570.

Beliau berkata nilai itu adalah berdasarkan kontrak pembelian pada tahun 1972 dengan mengambil kira nilai tukaran matawang negara pada masa itu.

Bagi pesawat yang mempunyai dua enjin pula, nilai sebenar adalah antara RM3.895 juta hingga RM28.047 juta bergantung kepada kecanggihan peralatan pada ketika itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak pembelian kes Foreign Military Sales dalam siri MF-D-SAV telah dibuat pada tahun 1972. Harga sebuah enjin ketika itu termasuk 'afterburner' bernilai AS$121,428 dan kadar pertukaran mata wang Malaysia pada ketika itu ialah RM303,570," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai membetulkan laporan akhbar hari ini yang antara lain menyebut enjin tersebut bernilai antara RM8.5 juta sehingga RM28 juta.

Isu harga enjin itu timbul selepas ada laporan media sebelum ini yang menyebut nilai dua enjin pesawat F-5E milik TUDM yang dicuri itu adalah RM50 juta.

Beliau berkata, nilai RM50 juta itu mungkin anggaran pihak lain berasaskan harga enjin baru pada masa ini, memandangkan kementeriannya dan pihak yang membuat siasatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Namun, tempoh yang lama diambil (untuk menjelaskan nilai enjin sebenar) sehingga tindakan mahkamah dilakukan adalah kerana lazimnya mengikut prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Oleh kerana kes ini melibatkan barangan teknikal, maka suatu tempoh yang panjang diambil bagi memperoleh semua maklumat dan dokumen yang berkaitan," katanya. Semalam, dua orang iaitu seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat pembekalan dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terlibat dalam mencuri dan menjual enjin pesawat itu. - Bernama