Pages

Ads 468x60px

Friday, January 22, 2010

Penduduk diminta sokong projek pembangunan

SRI AMAN 21 Jan. - Penduduk di bahagian ini dinasihatkan tidak bersikap terlalu 'cerewet' sekiranya sebahagian kecil tanah mereka digunakan oleh kerajaan bagi menyokong projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, rakyat tidak seharusnya marah apabila sebahagian kecil tanah mereka digunakan oleh kerajaan sebaliknya bersyukur dengan faedah yang akan diterima hasil pembangunan.

Katanya, memang tidak dinafikan pembangunan akan menyebabkan sebilangan kecil tanaman rakyat perlu dikorbankan untuk menjayakan sesuatu pembangunan itu, namun manfaatnya begitu besar kepada taraf hidup rakyat selepas ini.

''Kita jangan terlalu cerewet tetapi harus bersyukur kerana pembangunan dilaksanakan di kawasan masing-masing meskipun terpaksa mengorbankan sebilangan kecil pokok tanaman.

''Pembangunan adalah untuk kebaikan rakyat yang pastinya akan meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog antara Shorefield dan Sesco bersama penduduk Rumah Lait, Tekalong Ili, Bangat Skrang, di daerah kecil Engkilili di sini semalam.

Rayong berkata, rakyat juga dinasihatkan supaya tidak terlalu mengutamakan hal tuntutan pampasan terhadap sebilangan kecil tanah yang digunakan untuk projek pembangunan.

Contohnya, kata beliau, pembinaan tiang elektrik di tepi jalan mungkin memerlukan kerajaan untuk meratakan sebilangan kecil kawasan tanah milik penduduk.

Sehubungan itu, katanya, jika perkara itu menyebabkan pemilik tanah mahu menuntut pampasan bermakna mereka tidak pernah menghargai dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

''Kerajaan sentiasa berusaha menaikkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai projek pembangunan, namun ia tidak dapat dicapai sekiranya rakyat terlalu berkira dan mengutamakan pampasan daripada manfaat yang diperoleh hasil pembangunan," katanya.

Terdahulu, kerajaan telah memulakan projek penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM2 juta terhadap 700 orang penduduk dari enam buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan DUN Engkilili.

Enam buah rumah panjang terbabit adalah Rumah Lait Tekalong Ili, Rumah Leonard Tekalong Ulu, Rumah Bulie Lidong Pandak, Rumah Maringar Lidong Belake, Rumah Giae Lidon, Rumah Gimang Lidong dan SK Nanga Lidong.

Jambatan Batang Strap bakal siap Februari 2011

SRI AMAN 21 Jan. - Pembinaan jambatan yang merintangi Sungai Batang Strap di sini dilihat sebagai parameter penting bagi melonjakkan pembangunan di kawasan Balai Ringin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata, bagi menjayakan pembinaan jambatan itu, pihaknya melantik syarikat perunding swasta untuk melakukan kajian terperinci.

"Hasilnya kerajaan bersetuju membina Jambatan Batang Strap sepanjang 182.4 meter ini dengan kos RM20.4 juta bermula sejak 9 November lalu.

"Jambatan itu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Februari tahun depan," katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Pembinaan Jambatan Batang Strap di Daerah Kecil Pantu, Sri Aman yang disempurnakan oleh Abdul Taib di sini kelmarin.

Menurutnya, Jambatan Batang Strap itu akan menghubungkan 4,000 penduduk dari kawasan seberang Sungai Batang Strap ke Pekan Pantu dan membantu memacu kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Sementara itu katanya, beliau akan mengambil pendekatan kreatif dan inovatif bagi menjamin kestabilan politik dan memajukan ekonomi kawasan berkenaan.

Katanya, dengan mempraktikkan strategi yang stabil sambil digabung dengan taktik yang fleksibel, beliau yakin dapat mengubah pembangunan fizikal serta sosial yang ketara dalam kawasan Balai Ringin pada masa depan.

Wakil Kementerian Pertahanan beri keterangan isu enjin jet F-5E: PAC

Media sebelum ini melaporkan kehilangan enjin jet bernilai RM303,570

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam memanggil wakil Kementerian Pertahanan untuk memberi penjelasan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).Antara yang dilihat hadir pada mesyuarat pertama PAC mengenai isu enjin jet itu bagi mewakili Kementerian Pertahanan ialah Ketua Setiausaha Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud.

“Hari ini (semalam) kita bermula dengan sesi penerangan mengenai prosedurprosedurnya sahaja,” kata Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang berlangsung di bangunan Parlimen, di sini.

Azmi berkata siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet itu dijangka selesai sebelum Mac ini bagi membolehkan laporan siasatan itu dibentangkan di Parlimen yang akan bersidang pada pertengahan Mac.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM yang bernilai RM303,570 berdasarkan kontrak jual beli pada 1972. Enjin berkenaan dikatakan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG- 29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu. Azmi berkata mesyuarat itu akan disambung 26 Jan ini.

Beliau menjelaskan mesyuarat hari ini terpaksa ditangguhkan selepas dua jam 15 minit berlangsung kerana anggota mesyuarat tidak selesa dengan bau bahan penanggal cat yang digunakan untuk kerja penyelenggaraan di Bangunan Parlimen yang terlalu kuat kerana telah meresap ke dalam pendingin hawa.

“Ini amat tidak sihat…sebab itu kita putuskan untuk tangguhkan mesyuarat ini pada 26 Jan,” katanya. — Bernama

Zaman kegelapan PKR berterusan - Muhyiddin

MIRI 21 Jan. - Senario yang membelenggu Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk semakin kehilangan sokongan berikutan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan pusat, dipercayai akan berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat senario itu sebagai petanda penyokong-penyokong PKR semakin sedar mereka telah berjuang di atas landasan yang salah dan mahu kembali ke pangkal jalan.

Katanya, itu juga satu lagi perkembangan yang menunjukkan semakin hari kepercayaan ahli-ahli PKR semakin merosot.

''Baru-baru ini kita dengar Setiausaha Agung PKR letak jawatan, kemudian ahli jawatankuasa dibubarkan di Kuala Selangor. Saya fikir ia trend yang (akan) berterusan.

''Sewaktu PKR ditubuhkan, pihak-pihak tertentu terpengaruh atau terpedaya dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sehingga mereka fikir PKR membela nasib mereka.

''Saya tahu dan dapat maklumat mereka berasa kecewa dengan kepimpinan Anwar dan kepimpinan (Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor),'' katanya.

Muhyiddin bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR Bahagian Kuala Selangor kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat-peringkat bermula November lalu hingga kelmarin.

Mereka bertindak demikian kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya dan optimis ahli-ahli PKR akan keluar beramai-ramai daripada parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

''Ahli-ahli PKR semakin sedar kepimpinan parti itu lebih banyak bermain politik tetapi tidak berupaya memajukan negara atau menunjukkan kesungguhan memajukan rakyat,'' katanya.

Menjawab soalan mengenai desakan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Muhyiddin berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada ia perlu diwujudkan semula atau sebaliknya.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika awal-awal memegang jawatan telah menerangkan sebab-sebab kementerian itu ditutup.

''Tetapi kita adalah kerajaan yang prihatin, mereka (usahawan) boleh kemukakan pada Perdana Menteri, terserah kepada pada budi bicara beliau,'' katanya.

Muhyiddin memberitahu, penubuhan kementerian adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan cadangan mewujudkan semula MECD perlu diketengahkan kepada Najib supaya boleh diteliti kewajarannya.

Baru-baru ini usahawan bumiputera mendesak kerajaan mewujudkan semula MECD atau badan khas bagi membela nasib mereka yang kian tertekan.

Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Hasan Hamzah berkata, usahawan bumiputera khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) kini dalam keadaan getir selepas kementerian itu dibubarkan sembilan bulan lalu.

Najib jamin bumiputera dibantu

NEW DELHI 21 Jan. - Pelbagai agensi yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) masih mampu memainkan peranan untuk membantu usahawan bumiputera walaupun agensi-agensi berkenaan tidak lagi berada di bawah satu bumbung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, contoh adalah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang masih diwujudkan dan diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui oleh salah seorang Naib Presiden UMNO.

"Saya percaya tanpa kewujudan kementerian (MECD) ini pun agenda melahirkan usahawan bumiputera masih boleh diteruskan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia supaya kerajaan mewujudkan semula MECD atau badan khas bagi membela nasib mereka yang kian tertekan.

Presidennya, Hasan Hamzah dilaporkan berkata, usahawan bumiputera khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) kini dalam keadaan getir selepas kementerian itu dibubarkan sembilan bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, di samping agensi-agensi yang berkaitan terus diwujudkan di pelbagai kementerian kerajaan juga menubuhkan instrumen baru yang dikenali sebagai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang ditugaskan untuk membangunkan usahawan dan syarikat bumiputera yang berpotensi.

"Kita tidak lupa agenda ini (membangunkan usahawan bumiputera) cuma ia disesuaikan dengan keadaan," katanya sambil mengharapkan struktur yang baru berfungsi lapan bulan itu berjalan seperti biasa.

Mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 orang yang didakwa terlibat menerima suapan lebih RM280,000 dalam kes penyeludupan pasir, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada SPRM.

"Ini tugas SPRM, kalau dia ada laporan ada sesuatu yang boleh disabitkan kesalahan undang-undang rasuah atau salah guna kuasa, terpulang kepada siasatan SPRM untuk menentukan sama ada ada kes atau tidak," katanya. - Utusan