Pages

Ads 468x60px

Friday, October 23, 2009

Bajet makmurkan rakyat

Tingkat kecekapan ekonomi, kesejahteraan semua kaum

KUALA LUMPUR: Bajet sulung Datuk Seri Najib Razak yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum selaras konsep 1Malaysia.

Bajet 2010 itu dikatakan akan terus memberi keutamaan terhadap usaha memperkasa agenda sosial, termasuk program perumahan, membasmi kemiskinan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan kemudahan awam di luar bandar, pembangunan wanita, pengurangan kadar jenayah dan rasuah serta peningkatan kecekapan pengangkutan awam.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang diperincikan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu.


Walaupun bajet kali ini dijangka membabitkan pengurangan peruntukan perbelanjaan awam, ia akan diimbangi langkah strategik bagi memastikan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Bajet 2010 dijangka lebih bertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasi sektor awam dan pengurusan perbelanjaan pembangunan yang lebih berhemat.

Sumber memberitahu Berita Harian, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan terbitan bon Islam dalam kategori Sukuk Simpanan Rakyat bagi membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum menabung dan meraih pulangan yang berdaya saing.

Bon yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu, dikatakan mampu menawarkan kadar pulangan yang kompetitif dengan purata yang lebih tinggi berbanding yang diraih menerusi simpanan tetap ketika ini.

Dari segi pembangunan, Bajet 2010 dijangka terus bersifat mengembang bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM230 bilion yang akan berakhir tahun depan.

Sebagai bajet yang menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembentukan kerangka Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri dijangka mengumumkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi usaha memperkukuh sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

Seorang ahli ekonomi di sebuah firma penyelidikan, berkata sebahagian masyarakat global kini ingin melihat kebijaksanaan kerajaan dalam mengurangkan defisit setelah melaksanakan pelbagai suntikan fiskal untuk pembangunan.

Katanya, pelaksanaan pakej dua suntikan kecemasan berjumlah RM67 bilion untuk meminimumkan kesan kegawatan global kepada rakyat negara ini, telah melonjakkan kadar defisit kepada 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Langkah itu ternyata menampakkan kejayaan, kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan negara ini tidak terjejas teruk ekoran kegawatan seperti yang dialami beberapa negara lain.

"Kini, komuniti global ingin melihat keupayaan Malaysia mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Sebahagian besar pelabur kini menjangka kadar defisit pada tahun depan adalah sekitar 7.0-7.5 peratus.

"Jika mampu diturunkan lebih rendah daripada itu, maka ia menggambarkan komitmen kerajaan yang mengambil serius perkara itu di sebalik jangkaan penguncupan hasil cukai lebih tujuh peratus," katanya.

Katanya, kadar defisit yang tinggi akan menggugat penarafan kewangan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejas nilai mata wang, perdagangan dan taraf pendapatan rakyat hingga boleh mengekang usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Seorang ahli ekonomi lain pula menjangka cukai korporat secara keseluruhannya tidak turunkan, sebaliknya kerajaan akan memberi insentif pengecualian cukai khusus kepada industri dan pelaburan berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cukai pendapatan juga dijangka tidak dikurangkan, tetapi mungkin terdapat insentif cukai bagi golongan berpendapatan sederhana yang memiliki anak ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan menaikkan cukai rokok dan perjudian dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat.

Mengenai unjuran ekonomi, beliau, berkata, kerajaan mungkin menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan KDNK tahun ini susulan prestasi pemulihan ekonomi negara yang di luar jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

"Unjuran rasmi awal adalah antara -4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2009. Bagaimanapun, kerajaan mungkin menyemak semula kepada penguncupan yang lebih rendah. Pada tahun depan, kami menjangka ekonomi berupaya untuk kembali mencatat pertumbuhan positif iaitu lebih 1.5 peratus," katanya.

Tian Chua kena enam bulan, denda RM3,000

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu berikutan keputusan Mahkamah Majistret di sini mengenakan hukuman penjara enam bulan serta denda RM3,000 ke atasnya, semalam.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, yang didapati bersalah atas tuduhan mencederakan konstabel polis pada perhimpunan haram di perkarangan Parlimen, dua tahun lalu, mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jawatan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen akan terlucut sekiranya mahkamah menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.

Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000 boleh dilucutkan jawatannya.

Wan Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian sehingga rayuan Tian Chua selesai.

"SPR akan menunggu proses rayuan selesai dulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Terdahulu, Majistret Mohd Faizi Che Abu dalam penghakimannya memerintahkan hukuman penjara enam bulan yang dikenakan ke atas Tian Chua, 46, berkuat kuasa semalam.

Mohd Faizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan yang diwakili peguam Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Tian Chua.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu bagi membolehkan Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan permohonan itu difailkan dalam tempoh 14 hari.

Tian Chua sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Rosyaidi Anuar, 22, ketika bertugas di perkarangan Parlimen pada jam 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Faizi berkata, tiada sebarang keistimewaan diberikan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Tian Chua, walaupun tertuduh seorang Ahli Parlimen.

Katanya, hukuman yang dikenakan lebih menjurus kepada kepentingan awam yang mana seseorang yang melanggar undang-undang bakal menerima hukuman sewajarnya.

"Jelas di sini bahawa tertuduh tidak mengikuti arahan polis seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang disediakan pihak pembelaan, menunjukkan lebih sepuluh saat pihak polis meminta tertuduh mengeluarkan kad pengenalan tetapi dia tidak mengendahkannya.

"Lagipun jelas dipaparkan bahawa pihak polis menjalankan tugasnya dengan menurut perintah yang dikeluarkan mahkamah tetapi bagaimana cara mereka menjalankan tugas itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah," katanya.

Beliau berkata, keterangan tertuduh di dalam mahkamah juga tidak konsisten dan hanya berbentuk penafian semata-mata, manakala keterangannya yang mendakwa pihak polis menahannya secara salah tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Tian Chua dalam rayuan yang dikemukakan Amer Hamzah, memohon mahkamah mempertimbangkan perkara berhubung Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dengan meringankan hukuman itu kepada penjara sehari atau didenda kurang RM2,000.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria bagaimanapun memohon supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan berikutan tertuduh melanggar undang-undang dan ia bukan sekadar kesalahan menggigit saja.

"Apa yang dilakukan oleh tertuduh seperti mengajar orang awam supaya tidak menghormati undang-undang. Tertuduh harus tanggung akibat daripada perbuatannya dan jika dia tidak melakukan kesalahan, dia tidak akan didakwa," katanya.

Tian Chua yang kelihatan tenang ketika ditemui sejurus prosiding selesai mendakwa, dia masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan sedih dengan keputusan mahkamah.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pula, Ahli Parlimen Batu itu berkata, beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dan akan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Hukuman itu tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan yang ingin saya lakukan sepanjang menjadi wakil rakyat," katanya.

Tee Keat, Soi Lek berdamai

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengetepikan pergeseran antara mereka dalam pelan perpaduan utama yang dirangka oleh para pemimpin parti itu.

Pelan perpaduan itu telah mendapat restu dan sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Tee Keat dalam sidang akhbar bersama Soi Lek, Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng memberitahu, beliau dan bekas timbalannya itu bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menyatu serta memperkukuhkan semula MCA.

Menurutnya, Soi Lek telah bersetuju untuk bekerja dengan Presiden MCA tanpa sebarang syarat bagi memperkukuh dan menyatukan parti.

''Saya juga telah menerima cadangan daripada Tiong Lai untuk bekerja bersama dengan lebih rapat bagi kebaikan parti.

''Ini adalah masanya untuk bermaaf-maafan dan melihat persekitaran lebih luas mengenai apa yang baik untuk parti dan bukannya untuk individu,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Naib Presiden MCA, Datuk Kong Cho Ha dan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen serta dua ahli Jawatankuasa Pusat (CC) iaitu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.

Menurut Tee Keat, beliau akan berbincang dengan Foon Meng untuk meneliti semula keputusan mengadakan satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Beliau juga berjanji menemui semua pemimpin parti dalam usaha menjadikan MCA sebuah parti yang inklusif serta menyediakan ruang kepada semua pihak bertelagah bekerjasama sebagai satu pasukan.

Tambah Tee Keat, MCA yang bersatu akan membolehkan pemimpin-pemimpin memfokuskan perhatian kepada usaha mengukuhkan parti bagi mendapat keyakinan serta kepercayaan daripada masyarakat Cina dan Malaysia secara amnya.

Mengenai peranan yang akan dimainkan oleh Soi Lek selepas ini jelasnya, perkara itu masih terlalu awal untuk dinyatakan.

Katanya, tiada apa-apa perubahan dalam parti dengan Tiong Lai kekal sebagai Timbalan Presiden kerana CC MCA telah memilihnya untuk jawatan itu.

Tiong Lai ketika ditemui selepas sidang akhbar itu pula memberitahu, beliau menerima formula itu demi perpaduan parti.

Krisis kepimpinan MCA bermula apabila Soi Lek dipecat serta-merta daripada jawatannya pada 26 Ogos lalu berikutan skandal seks beliau yang dirakamkan dalam cakera padat digital (DVD) awal tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan Majlis Presiden itu diubah apabila CC MCA memutuskan untuk menggantung keahlian Soi Lek selama empat tahun berkuat kuasa serta-merta walaupun bekas Menteri Kesihatan itu tidak mengemukakan rayuan.

EGM MCA yang diadakan pada 10 Oktober lalu pula menyaksikan perwakilan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat dan membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek.

Perwakilan ke EGM itu bagaimanapun mengundi untuk tidak mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Soi Lek.

Pada mesyuarat CC MCA pada 15 Oktober lalu bagi membincangkan keputusan EGM itu, Tee Keat tidak meletakkan jawatannya walaupun menerima banyak desakan manakala Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Wednesday, October 21, 2009

Berita gembira untuk rakyat

Pemimpin S’wak sambut baik 16 September diisytihar cuti umum

KUCHING: Pengisytiharan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam disambut baik dan disifatkan sebagai berita terbaik tahun ini oleh pemimpin-pemimpin negeri ini.Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing berkata 16 September perlu diberi penekanan dan diisytiharkan cuti umum kerana tarikh itu sangat signifikan kepada negara.

“16 September seharusnya diisytihar sebagai Hari Malaysia, kerana ia adalah tarikh pembentukan Malaysia.

“Cuti Umum atau tidak itu tidak penting, tetapi ia harus diutamakan bagi mengingati sejarah yang berlaku 46 tahun lalu kerana pada hari itu lahirnya Malaysia,” katanya apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Najib semalam.

Masing berkata Najib sedar kepentingan tarikh tersebut dan mahu rakyat menghormati Hari Malaysia seperti dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di Kuching baru-baru ini.

“Perdana Menteri dalam ucapannya berkata tiga wilayah Malaya, Sabah dan Sarawak disatukan bagi membentuk Malaysia… kita tidak mengambil kira negeri tetapi wilayah.

“Sebab itu saya sangat berterima kasih apabila beliau mengatakan tiga wilayah telah menjadi satu. Bukan tiga negeri,” ujarnya.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan juga senada dengan Masing.

Mawan berkata dengan pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum ia dapat mengukuhkan lagi makna Hari Malaysia dan pentingnya tarikh itu kepada sejarah Malaysia.

“Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak harus bersyukur dan berterima kasih dengan pengumuman perdana menteri itu… dengan mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia ia membolehkan generasi muda mengingati peristiwa bersejarah ini,” kata Mawan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi berkata, Najib membuat pengumuman itu tepat pada masanya kerana beliau mengakui dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di Kuching baru-baru ini bahawa tidak ramai rakyat Malaysia tahu betapa bermaknanya tarikh 16 September itu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah pula berkata dengan menjadikan 16 September cuti umum, rakyat sudah tentu akan mengingati tarikh keramat itu sama seperti 31 Ogos (Hari Kebangsaan).

“Jadi apabila beliau (Najib) menetapkan 16 September cuti umum, ia salah satu cara untuk mengingati rentetan peristiwa penubuhan Malaysia dan tarikh-tarikh penting…jadi keputusan itu amat dialu-alukan,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Fadillah Yusof pengumuman Najib itu merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan rakyat Sarawak dan Sabah yang merasakan sejarah penubuhan negara Malaysia dengan penggabungan tiga wilayah diingati dengan mengisytiharkan 16 September cuti umum.

“Sambutan Hari Malaysia berserta cuti umum juga mampu mengukuhkan lagi perpaduan tiga wilayah, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Ini juga membuktikan Najib mengkotakan janjinya,” ujar Fadilah. Sementara itu, Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak, Dato’ Peter Minos menyifatkan pengumuman Perdana Manteri sebagai ‘sangat bagus’ dan pastinya menggembirakan rakyat negeri Sarawak dan Sabah.

“Sejak tahun 1963 kita sudah mahu 16 September diisytiharkan Hari Malaysia dan cuti umum. Akhirnya ia menjadi kenyataan. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau (Perdana Menteri) ternyata dapat menerima sejarah sebagai realiti. Harapan saya ia (cuti umum) tidak akan dimansuhkan di masa akan datang. Apa yang diumumkan Perdana Menteri merupakan berita yang paling manis tahun ini,” kata Minos.

1,371 layak terima kupon beras e-kasih

JKM Miri akan kemas kini senarai untuk pastikan tiada nama yang tercicir

MIRI: Seramai 1,371 penduduk miskin tegar di kawasan Miri dan Baram layak menerima kupon beras e-kasih selepas nama mereka disenaraikan dalam rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.Jurucakap JKM ketika dihubungi semalam memberitahu, jumlah yang layak masing-masing terdiri daripada balu, Orang Kurang Upaya (OKU), warga tua, elaun pekerja cacat dan bantuan kanak-kanak.

“Turut layak ialah mereka yang terdiri daripada OKU tidak bekerja dan pesakit kronik. Senarai ini nanti akan dihantar ke ibu pejabat JKM untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Jurucakap itu memberitahu, jumlah berkenaan juga dijangka akan bertambah memandangkan pihaknya setiap hari menerima pendaftaran baru bagi penduduk miskin tegar.

“Kami akan sentiasa mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan mereka yang layak menerima bantuan kupon beras e-kasih serta mengelakkan daripada penipuan,” katanya.

Jurucakap itu kemudiannya memberitahu, JKM juga akan terus menyenaraikan nama penduduk miskin tegar bagi kawasan Miri dan Baram supaya tiada penduduk miskin yang tercicir menerima bantuan berkenaan.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim menggesa setiap Ahli Parlimen di negeri ini mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan kupon beras e-kasih diedarkan untuk mereka yang layak.

Katanya, setiap penerima akan diberi tiga kupon sebulan dengan setiap kupon bernilai RM24 dan ditukarkan dengan beras 10 kilogram.

Ahli Parlimen, katanya harus mengemas kini senarai penduduk miskin tegar bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak menerima kupon beras berkenaan.

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri sudah mempunyai senarai nama penerima daripada Ahli-ahli Parlimen namun ia harus dikemas kini bagi mengelakkan penipuan.

Jelasnya, penggunaan kupon beras tersebut adalah bagi menggantikan beras subsidi ST15 yang terdapat di pasaran sekarang.

Kementeriannya juga akan melantik sebanyak 54,000 peruncit daripada 1,000 pemborong
di seluruh negara bagi melaksanakan penukaran kupon kepada beras.

Tuesday, October 20, 2009

16 September diisytihar cuti umum

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengisytiharkan Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September sempena penubuhan Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 1963, sebagai cuti umum di seluruh negara mulai tahun depan.

Dengan pengisytiharan itu yang diputuskan Jemaah Menteri, baru-baru ini, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.

Perdana Menteri berkata, Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan rakyat mengenai perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan yang dirayakan dengan pelbagai acara rasmi, seperti perarakan untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang meminta penjelasan sejauh mana penerimaan rakyat ke atas seruan 'Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia' dan jenis program yang difikirkan berkesan bagi mencapai hasrat itu.

Perdana Menteri berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat adalah satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung.

Menjawab soalan tambahan Marcus mengenai identiti rakyat Malaysia, Najib berkata, negara sejak dulu lagi memilih kaedah integrasi, bukan asimilasi seperti negara jiran, Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Pemimpin kita dari dulu lagi bersikap terbuka dan inklusif kerana itulah jalan terbaik apabila dapat tampilkan satu kekuatan, `unity in diversity' dan tidak ada negara lain yang seunik Malaysia," katanya.

Monday, October 19, 2009

Kerajaan BN sentiasa bersikap adil terhadap rakyat berbilang kaum

SRI AMAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap adil terhadap rakyat berbilang kaum di negeri ini dalam melaksanakan dasar dan pelan pembangunan yang menguntungkan semua pihak.Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Francis HardenHollis berkata, projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan salah satu contoh projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada semua rakyat berbilang kaum di kawasan wilayah tengah Sarawak.

“BN tidak melaksanakan pelan pembangunan yang hanya menguntungkan sesuatu kaum kerana kita merupakan sebuah kerajaan yang dibentuk berasaskan rakyat berbilang kaum.

“Jadi segala perancangan pembangunan harus mengambil kira kepentingan semua kaum kerana BN adalah kerajaan rakyat untuk rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Ringgit Bayang, Kampung Ibol, Sri Aman dekat sini, Jumaat lepas.

Selain itu, menurut beliau rakyat berbilang kaum juga hendaklah memanfaatkan segala peluang pembangunan yang disediakan kerajaan di kawasan masing-masing untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Turut hadir Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Jurutera Bahagian Bekalan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman Oliver Ngabong Jimmy dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Synnier Jean Sherit.

Pembangkang jangan buat kecoh - PM

IPOH 18 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pakatan pembangkang di Perak supaya tidak melakukan sebarang gangguan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Oktober ini.

Tegas Perdana Menteri, keseluruhan persidangan DUN itu nanti sudah semestinya akan dijalankan mengikut segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

Tambahan pula, kata beliau, kerajaan negeri sedia ada yang dikuasai Barisan Nasional (BN) sudah sah ditentukan mengikut saluran undang-undang.

''Walaupun masih ada lagi proses undang-undang yang belum selesai tetapi kita mesti menghormati keluhuran perlembagaan.

''Perkara ini sudah ditentukan, jadi tidak ada sebab (pembangkang) boleh melakukan sebarang gangguan atau perbuatan yang boleh menimbulkan keadaan tidak begitu baik dari segi pandangan umum terhadap politik di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan UMNO Perak di sini hari ini.

Sidang akan datang dijangka kecoh setelah 28 wakil rakyat pembangkang mengesahkan untuk hadir atas notis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar dan bukannya notis oleh Speaker, Datuk R. Ganesan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, segala tindakan ke atas wakil rakyat yang membuat kekecohan pada sidang itu juga akan dibuat berdasarkan undang-undang.

Beliau turut berharap agar rakyat negeri ini dapat menerima segala proses undang-undang yang telah dan sedang berjalan ekoran situasi politik di Perak.

''Ini termasuklah perkara yang melibatkan proses pembentukan kerajaan negeri dan proses mahkamah secara keseluruhannya.

''Jangan lupa, titik permulaan ke atas segala perkara ini adalah apabila mereka (pembangkang) mencuri salah seorang ADUN kita (BN). Mereka yang mulakan dahulu, bukan kita," katanya.

Mengenai perjumpaan dengan UMNO Perak, beliau berkata, antara perkara yang ditegaskan ialah betapa pentingnya pemimpin UMNO di peringkat negeri, bahagian dan cawangan menterjemahkan perubahan sebagaimana yang dilakukan pucuk pimpinan parti.

Katanya lagi, pada majlis itu, beliau turut melancarkan lagu UMNO Perak yang disifatkannya sebagai sangat menarik serta mampu menyuntik semangat ahli-ahli.

Perubahan dibawa pembangkang menghancurkan

KOTA SAMARAHAN:Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membidas pihak pembangkang yang cuba menunjukkan keupayaan melakukan perubahan terhadap pembangunan rakyat, sebaliknya gagal melakukannya malah membawa kepada kehancuran.Taib berkata, parti-parti pembangkang sememangnya berhasrat tinggi untuk mengubah nasib rakyat, namun mereka tidak mampu mengubah fahaman politik mereka yang tidak ketentuan.
Beliau menegaskan bahawa fahaman politik yang dimainkan pihak pembangkang adalah hanya untuk memecahbelahkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat, sebaliknya rakyat akan menderita kerana nasib mereka tidak mampu dibela.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan parti-parti pembangkang yang sengaja memesongkan pemikiran rakyat untuk tidak menerima perubahan dan pembangunan kerajaan sebaliknya membawa kepada perpecahan di antara pemimpin dan rakyat.

“Fahaman politik sebegitu bukan amalan dan perjuangan kita (PBB), kerana kita akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini untuk menikmati pelbagai pembangunan.

“Kita lihatlah negeri-negeri yang telah ditakluki pembangkang di Semenanjung Malaysia pada masa ini, semuanya gagal membangun dengan baik malah berlaku perebutan kuasa, perpecahan rakyat dan rakyat menanggung kerugian kerana tidak menikmati pembangunan.

“Saya harap perkara itu tidak berlaku di negeri kita, sebab kita akui perjuangan pemimpin-pemimpin kita adalah untuk rakyat dan bukannya kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan perasmian Mesyuarat PerwakilanCawangan-cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini semalam.

Majlis itu dihadiri oleh kirakira 2,000 penduduk termasuk perwakilan daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Zon Samarahan iaitu Muara Tuang, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau.

Hadir sama Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Perancangan dan Pengurusan Sumber) Mohd Naroden Majais, Speaker DUN Sarawak Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sadong Jaya Datuk Wan Abdul Wahab Sanusi, ADUN Sebuyau Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

Taib juga mendedahkan tindakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika sebagai Menteri Kewangan telah memindahkan peruntukan kerajaan untuk membina universiti di negeri ini.

“Inikah perjuangan seorang pemimpin yang mahu membela rakyat. Malah, kini parti yang dipimpinnya juga bercelaru dan tidak tentu arah tujuan,” katanya.

Beliau berharap rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam meneruskan kesinambungan perjuangan politik ke arah kesejahteraan semua kaum.

Bumiputera Sabah, S’wak diberi lebih perhatian

PAPAR: Kabinet Persekutuan telah bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) mengumumkan perkara itu semasa merasmikan Konvensyen Upko Bahagian Kimanis, dekat sini semalam.

Menurut Dompok, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersetuju untuk mempengerusikan jawatankuasa kabinet itu yang dianggotai oleh menteri dari Sabah dan Sarawak termasuk beliau sendiri, Datuk Dr Maximus Ongkili, Datuk Douglas Uggah, Datuk Seri Idris Jala dan beberapa menteri kabinet lain.

Katanya, jawatankuasa kabinet itu, antara lain, bertujuan membincangkan pelaksanaan dasar dan prestasi pembangunan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak serta membuat keputusan mengenai polisi-polisi baru berkaitan masyarakat itu.

“Sebelum ini, satu unit khas di bawah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) telah ditubuhkan. Bagaimanapun, prestasi yang ditunjukkan unit ini tidak mencapai aspirasi penubuhannya.

“Kami mengajukan kepada Perdana Menteri supaya unit khas ini dinaik taraf menjadi sebuah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri supaya isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat ini dapat ditangani di peringkat kepimpinan tertinggi pusat,” katanya.

Dompok berkata satu jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya juga ditubuhkan untuk membuat persiapan ke atas perkara yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet serta mempercepatkan pelaksanaan keputusan jawatankuasa itu.

“Keputusan kabinet ini menjadi satu lagi lonjakan kepada falsafah kepimpinan beliau ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Penubuhan jawatankuasa ini boleh menyelesaikan banyak isu di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tertunggak selama ini,” katanya.

Mengenai resolusi Konvensyen Upko Bahagian Kimanis, Dompok berkata 10 resolusi yang diluluskan oleh perwakilan itu mencakupi isu yang menyentuh tentang perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional, peningkatan ekonomi di kalangan masyarakat anak negeri Sabah, status Bumiputera bagi masyarakat berketurunan Sino, pendidikan dan penukaran nama parti Upko. — Bernama