Pages

Ads 468x60px

Wednesday, December 23, 2009

Skim persaraan 1Malaysia diperkenal

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memperkenalkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bagi menangani ketidakcukupan simpanan semasa bersara bagi golongan yang bekerja sendiri.

Cadangan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lalu, sebagai satu tanggungjawab sosial untuk mengambil berat kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri iaitu kategori individu yang tidak mempunyai skim simpanan persaraan secara formal.

Skim itu yang mula ditawarkan 3 Januari ini, bertujuan memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua.

Menurut Jabatan Perangkaan, bilangan rakyat Malaysia yang berkerja sendiri adalah seramai kira-kira 2.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan sewaktu persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap bulanan.

“Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menawarkan golongan terpilih berkenaan fleksibiliti dalam menentukan berapa jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, jumlah yang dicarumkan ke dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bergantung kepada tahap kemampuan pencarum.

Beliau menjelaskan, ahli boleh memilih untuk mencarum jumlah minimum antara RM50 dan RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka.

“Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka.

“Bagaimanapun, ahli digalakkan untuk mencarum sejumlah wang secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya ke dalam skim persaraan ini kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan,” ujarnya.

Simpanan di bawah skim itu akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP sebagai tambahan kepada sumbangan kerajaan sebanyak lima peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama lima tahun bermula dari tahun depan hingga 2014.

Skim itu terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, deejay, pengajar di pusat kesihatan dan kecergasan, penyanyi dan pelakon, serta pemilik perniagaan dalam talian.

Individu yang berminat menyertai skim itu perlu mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperoleh di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat turun borang itu menerusi laman web myEPF di www.kwsp.gov.my mulai 3 Januari tahun depan dan mengembalikannya ke cawangan KWSP yang berhampiran atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat tetapi bukan ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya sebelum memohon untuk menyertai skim itu.

Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di kaunter bayaran KWSP seluruh negara.

Ahli KWSP sedia ada yang bekerja sendiri juga layak menyertai skim baru tersebut.

PM: Model ekonomi baru diumum Februari depan

PUTRAJAYA 22 Dis. - Kerajaan akan mengumumkan satu model ekonomi baru yang komprehensif merangkumi peranan keseluruhan sebuah negara pada Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai kerangka model itu hari ini yang dijangka siap akhir bulan ini.

Menurutnya, model ekonomi baru itu akan menjadi landasan serta pergerakan baru yang akan memacu ekonomi negara.

''Kerangka ekonomi baru itu telah dihuraikan kepada saya hari ini oleh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Tan Sri Amirsham A. Aziz dan beberapa anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

''Saya telah memberi persetujuan secara prinsipnya kepada kerangka itu dan bentuk pengarahannya yang baru. Huraian dan naratifnya akan disiapkan dalam tempoh sebulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan.

''Ia model komprehensif yang tidak hanya menyentuh soal ekonomi tetapi terangkum kepada peranan keseluruhan sebagai sebuah negara," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan menyatakan demikian pada Majlis Malam Media Kementerian Kewangan 2009 di sini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan para editor kanan media elektronik dan media cetak.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak bercadang mengulas lanjut ciri-ciri model ekonomi baru itu malam ini tetapi mengakui ia merupakan tiga bidang utama yang akan menentukan agenda masa depan negara yang lebih baik, hebat dan terjamin.

Secara ringkas, beliau memberitahu, antara tiga bidang utama berkenaan adalah kerajaan mesti menentukan dasar kewangan negara sama ada dasar fiskal atau kewangan yang terangkum dalam Bajet 2010 dapat berjalan lancar.

''Segala peruntukan sama ada kewangan atau program yang diluluskan dapat merangsang ekonomi negara serta dilaksanakan secara sempurna.

''Ini supaya pada tahun depan, pembangunan ekonomi pada pertumbuhan menguncup sekarang dapat ditingkatkan kepada kadar memberangsangkan," katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan akan memastikan apa yang dibentangkan membabitkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) dapat dilaksanakan mengikut sasaran yang ditentukan sama ada pada 2010 atau jangkauan 2012," katanya.

Najib berkata, transformasi kerajaan melalui metodologi NKRA dan NKPI akan menjadi punca bukan sahaja dalam memacu pertumbuhan negara tetapi dapat memenuhi aspirasi rakyat yang tinggi.