Pages

Ads 468x60px

Friday, October 30, 2009

Badrul Hisham keluar PKR

KUALA LUMPUR - Selepas Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pula mengisytiharkan dirinya keluar daripada parti itu semalam.

Pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini, Badrul Hisham, 49, berkata, beliau akan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, keputusannya keluar dari PKR itu disebabkan beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.

"Keputusan ini saya buat dengan penuh kerelaan tanpa sebarang paksaan, ugutan ataupun apa-apa faedah kepada diri malah keputusan ini berasaskan kepada prinsip agama dan moral saya sebagai seorang Islam," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri isterinya, Ramiza Mazlan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini meminta Badrul Hisham melepaskan jawatan kerana mendakwa beliau gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan sesekali melepaskan jawatannya sebagai ADUN Pelabuhan Klang kerana beliau dipilih oleh rakyat dan bukannya oleh Menteri Besar Selangor.


Thursday, October 29, 2009

JKKK rumah panjang diminta tubuh tabung

SRI AMAN 28 Okt. – Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini dinasihatkan supaya mewujudkan tabung pendidikan khas untuk anak-anak di kampung masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang berkata, penubuhan tabung pendidikan itu amat berguna sekiranya terdapat anak-anak dari rumah panjang berkenaan yang berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, penubuhan tabung itu juga dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang mungkin bukan berasal dari golongan berkemampuan.

‘‘Mereka yang berjaya dalam bidang pengajian masing-masing hasil bantuan tabung pendidikan itu nanti sudah semestinya akan membawa perubahan dalam meningkatkan taraf hidup penduduk rumah panjang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2009 anjuran JKKK Rumah Panjang Musa Lutang, Kampung Sutong bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Mong bagaimanapun mengingatkan, setiap ahli JKKK seharusnya berfikiran positif dengan tidak menganggap penubuhan tabung itu hanya memberi kesenangan kepada anak-anak ahli yang hanya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ujarnya, setiap ibu bapa akan mendapat manfaat daripada penubuhan tabung berkenaan dan tidak ada yang terkecuali.

Tuesday, October 27, 2009

Projek Gedong-Simunjan

KUCHING 26 Okt. - Pengumuman pembinaan jalan raya yang menghubungkan Jalan Gedong-Simunjan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk di kawasan Simunjan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Mohd. Naroden Majais berkata, ia merupakan berita gembira kepada lebih 30,000 penduduk yang telah lama menanti supaya dapat dibina sebuah jalan berturap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek bernilai RM120 juta dan sepanjang 20 kilometer itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pakej pertamanya membabitkan peruntukan sebanyak RM45 juta.

''Dengan kemudahan jalan berturap itu, saya percaya, aktiviti ekonomi bagi penduduk Simunjan akan bertambah rancak dan ia merupakan berita gembira bagi lebih 30,000 penduduk di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2010 yang diumumkan Najib Jumaat lalu.

Mohd. Naroden yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) memberitahu, Bajet 2010 juga memberi banyak peluang kepada usahawan bumiputera di negeri ini untuk meningkatkan perniagaan mereka.

Ujarnya, faktor seperti pengurangan cukai pendapatan serta bantuan pinjaman yang disediakan kerajaan dapat membantu para usahawan memajukan perniagaan masing-masing.

''Kita juga turut berpuas hati kerana setakat ini penglibatan usahawan bumiputera semakin hari menunjukkan peningkatan yang menggalakkan," tambah beliau.

Bukan pelik PKR parti 'bateri 3A'

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Datuk S. Nallakarupan menegaskan beliau tidak pelik dengan gelaran parti 'bateri 3A' yang diberi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, kata beliau, parti itu memang berkisar kepada tiga individu iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Bekas rakan karib Anwar itu berkata, ketiga-tiga mereka akan menentukan apa sahaja perkara dalam PKR sehingga beliau sendiri yang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun sanggup diketepikan.

''Sebab itu banyak pemimpin terdahulu yang bertindak meninggalkan PKR kerana melihat parti itu hanya berkisar kepada tiga orang itu sahaja. Itulah hakikatnya.

''PKR hanya parti tiga orang A ini saja. Lihatlah saya sendiri, 30 tahun saya dengan Anwar, malah pernah masuk penjara kerana dia, tapi akhirnya dia tak pedulikan pun semua itu sampailah saya keluar PKR.

''Jadi kalau saya yang 30 tahun bersama Anwar boleh diperlakukan seperti ini, bayangkanlah pemimpin PKR lain. Bila-bila masa boleh dilupakan macam itu saja,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini menyifatkan PKR parti 'bateri bersaiz 3A' kerana kekuatannya hanya ditentukan oleh Anwar, Azizah dan Azmin.

Diminta mengulas pelantikan Azmin selaku Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang baru, Nallakarupan berkata, ia menunjukkan Azmin mempunyai kedudukan istimewa di mata Anwar.

Kata beliau, ia merupakan satu keputusan besar kerana pelantikan Azmin adalah untuk menggantikan seorang lagi pemimpin kanan PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pelantikan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu bermakna Azmin menggantikan kedudukan Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak selain Menteri Besar Selangor.

''Azmin bukan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Abdul Khalid dan ini memperlihatkan siapa yang lebih penting di antara dua pemimpin itu kepada Anwar.

''Ini memang sudah dijangkakan. Walaupun atas sebab tertentu terpaksa digugurkan menerajui PKR Sabah, Anwar tidak mungkin tinggalkan Azmin yang tahu banyak mengenai Anwar.

''Bagi Azmin, ini satu cara penting untuk beliau mengukuhkan kedudukan politiknya terutama dalam PKR walaupun ia menyentuh jawatan Abdul Khalid,'' jelasnya.

Nallakarupan juga tidak hairan atas apa yang berlaku pada Abdul Khalid kerana beliau sendiri pernah diperlakukan sedemikian rupa bagi mengukuhkan kedudukan Azmin.

Dakwanya, ia berlaku pada pemilihan PKR suatu masa dahulu apabila beliau diminta oleh Anwar untuk menarik diri bertanding jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua tertinggi demi mengukuhkan kedudukan Azmin.

''Saya tak bercakap bohong, saya berani ke kuil untuk ulangi apa yang saya cakap ini. Anwar sendiri pada waktu itu minta saya tarik diri sebab Azmin mahu bertanding.

''Namun apabila saya tanya kepada Wan Azizah, beliau tidak pula tahu perkara tersebut,'' jelasnya.

Monday, October 26, 2009

Jangan beli makanan tin sudah luput tarikh

SRI AMAN 25 Okt. - Penduduk di luar bandar diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika membeli makanan dalam tin dengan memastikan terlebih dahulu tarikh luput yang tertera pada bekas makanan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Ngerei (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang berkata, beliau berasa bimbang penduduk luar bandar akan menjadi sasaran dan dimanipulasikan oleh para peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual makanan dalam tin yang sudah luput tarikhnya.

Katanya, beliau terpaksa meluahkan kegusaran itu memandangkan ramai penduduk di kawasan luar bandar masih buta huruf dan kurang berpengetahuan tentang makanan dalam tin sama ada ia boleh dimakan atau sebaliknya.

''Kita berasa bimbang sekiranya terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan menjual barang makanan sudah luput tarikh kepada penduduk di kawasan luar bandar di sekitar Sri Aman ini.

''Saya nasihatkan penduduk luar bandar yang menyedari perkara itu (makanan tin yang luput tarikh) supaya bertindak melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kepentingan anjuran KPDNKK bersama Koperasi SK Melugu bertempat di dewan sekolah terbabit di sini semalam

Dagang berkata, makanan yang sudah melebihi tarikh luput akan menjadi beracun dan dikhuatiri boleh memberikan ancaman kesihatan terhadap penduduk yang memakannya.

Katanya, makanan di dalam tin yang sudah remuk juga berbahaya sekiranya dimakan dan beliau meminta rakyat jangan mudah diperdaya dengan jualan harga murah terhadap barangan makanan yang sudah luput tarikh guna kerana kesihatan adalah perkara no.1 dan bukannya keuntungan peribadi.

Pada masa yang sama, beliau juga mahu penduduk bertindak segera melaporkan kepada pihak KPDNKK sekiranya terdapat peniaga runcit di kawasan luar bandar yang menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum siling seperti tersenarai dalam Skim Kawalan Harga sebelum ini.