Pages

Ads 468x60px

Friday, November 6, 2009

Manfaatkan geran MRP - Francis Hollis

KUCHING 5 Nov. - Penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) harus memanfaatkan geran tersebut sebaik mungkin dan bukan disalahgunakan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan MRP merupakan bantuan penting daripada kerajaan untuk menaik taraf kehidupan rakyat khasnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, rakyat perlu memanfaatkan peruntukan tersebut bagi tujuan untuk meningkatkan kemajuan dari segi ekonomi dan sosial masyarakat tempatan.

''Peruntukan MRP disalurkan kepada rakyat adalah bertujuan untuk menambah baik kehidupan menerusi aktiviti yang bermanfaat dengan menggunakan geran berkenaan.

''Ia jangan disalahgunakan untuk tujuan yang tidak mendatangkan faedah kerana MRP merupakan bantuan penting yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek MRP di Pejabat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang di sini hari ini.

Hadir sama Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji serta para wakil persatuan dan ahli jawatankuasa SUPP Simanggang.

Pada majlis tersebut, Harden menyampaikan cek MRP bagi tahun 2009 dengan nilai keseluruhan RM110,000 kepada 16 penerima dari sekitar bandar Sri Aman.

Kesemua 16 penerima itu terdiri daripada tiga persatuan dan 13 buah rumah panjang dari sekitar Sri Aman.

Jawatankuasa Sambutan Perayaan Bahagian Sri Aman (Pejabat Residen Sri Aman) telah menerima cek MRP tertinggi iaitu sebanyak RM60,000.

Persatuan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Putat dan Soon Heng Benevolent Society Lingga masing-masing menerima sebanyak RM3,000 dan RM2,000 pada majlis berkenaan.

Baki peruntukan MRP berjumlah RM45,000 pula telah diagihkan kepada 13 buah rumah panjang yang tersenarai.

Thursday, November 5, 2009

PM tentu status Bumiputera

KUCHING: Keputusan menentukan status anak hasil perkahwinan campur pasangan Bumiputera dan bukan Bumiputera kini di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.Bercakap kepada media semalam, Jabu memberitahu beliau telah mengemukakan penjelasan bertulis kepada Najib dua hari lepas mengenai perkara itu dengan harapan Perdana Menteri dapat menyelesaikan isu tersebut yang kini menjadi tumpuan umum.
Bagaimanapun, menurutnya, Najib masih belum menjawab suratnya itu yang dihantar dua hari lepas. “Saya meminta Perdana Menteri mempertimbang untuk melihat serta menyelesaikan beberapa perkara yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Saya percaya beliau dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik demi kepentingan konsep 1Malaysia,” katanya.

Jabu juga yakin Najib dapat memahami dengan lebih mendalam isu tersebut dan memperkenalkan penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan kedudukan rakyat negeri ini sebagai rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas masalah Marina Undau, yang gagal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi atas alasan dia bukan Bumiputera berdasarkan Artikel 161a Perlembangaan Persekutuan.

Marina anak kepada pasangan Iban (ayah) dan Cina (ibu) mendapat keputusan cemerlang, 9A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Bagaimanapun, permohonannya mengikuti program matrikulasi ditolak atas alas an dia bukan Bumiputera.

Jabu yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata Najib telah banyak berusaha bagi mencapai konsep 1Malaysia dan sudah tentu beliau tidak mahu masalah dihadapi Marina turut dialami rakyat Malaysia yang lain.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan meminta Artikel 161a dipinda, Jabu berkata beliau bukan orang yang layak untuk mengulas mengenai perkara itu.

“Pendirian kerajaan negeri amat jelas, lebih-lebih lagi dari segi pemahaman dan tafsiran perlembagaan negeri dan persekutuan, ia tidak sama.

“Kita akan menjelaskan perkara ini kepada Perdana Menteri agar beliau lebih faham mengenai kedudukan serta masalah kita,” katanya.

Secara peribadi, katanya, ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah tersebut sama ada menerusi peraturan pentadbiran atau pindaan perlembagaan.

“Tidak kira apa pun kaedahnya, perkara paling penting ialah mencapai matlamat yang kita inginkan dan saya mengalu-alukan mana-mana cara asal mencapai tujuan yang diinginkan,” katanya.

Beliau juga memberitahu akan mengambil tindakan susulan jika perlu demi kepentingan 1Malaysia dan rakyat Sarawak.

Hubungan ketua masyarakat, kerajaan perlu kukuh

SRI AMAN 4 Nov. - Setiap ketua masyarakat di bahagian ini perlu mengukuhkan hubungan mereka dengan kerajaan bagi mempermudahkan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berkata, jalinan kerjasama itu amat penting berikutan ketua masyarakat atau ketua kaum itu merupakan orang tengah kepada kerajaan dan rakyat.

Menurutnya, ketua kaum dan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga merupakan pemain utama dalam menerangkan setiap pelan pembangunan kerajaan kepada penduduk di bawah jagaan mereka.

''Sehubungan itu, setiap ketua kaum itu perlu menyedari bahawa sekiranya mereka gagal meyakinkan penduduk mengenai dasar kerajaan, maka adalah sukar untuk kita (kerajaan) melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam JKKK Dan Biro Wanita Rumah Panjang Micheal John Sanggop, Kampung Entebar bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Doris Brodie.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu, beliau mahu setiap ketua masyarakat di sesuatu kawasan itu supaya lebih bertanggungjawab dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap amanah yang diletakkan di bahu mereka.

Katanya, perkara itu penting kerana setiap masalah yang membabitkan pembangunan penduduk perlu diajukan kepada kerajaan untuk diselesaikan.

''Justeru, setiap ketua kaum itu perlu lebih kerap berkomunikasi dengan setiap ketua jabatan kerajaan demi memudahkan urusan yang berkaitan dengan program pembangunan penduduk di kawasan masing-masing," jelas beliau.

Sementara itu, Harden pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada JKKK Micheal John dan RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Tuesday, November 3, 2009

Sistem ganjaran lebih berkesan

PUTRAJAYA 2 Nov. – Sistem ganjaran yang lebih berkesan akan diperkenalkan bagi memperkasakan budaya prestasi cemerlang di kalangan penjawat awam dan pentadbiran kerajaan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, dengan adanya sistem sedemikian, ia dapat memberi motivasi kepada penjawat awam untuk sentiasa menghasilkan kerja berkualiti tinggi yang seterusnya memberi faedah kepada rakyat.

“Perlu ada sistem ganjaran yang menunjukkan kita tidak bertoleransi dengan penyalahgunaan kuasa dan kesederhanaan (mediocrity) dalam kerja.

“Kita nak gubal sistem ganjaran yang lebih bermakna, bukan seperti sistem terdahulu yang menegak dan melintang, ia tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Kata Perdana Menteri, penyalahgunaan kuasa seperti yang dilaporkan pada setiap kali dalam Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan menunjukkan tiada penambahbaikan dalam prestasi kerja penjawat awam.

“Kita perlu buat sesuatu supaya perkara-perkara yang dilaporkan seperti ini tidak berulang sehingga rakyat mencemuh kita dan kata tiada apa-apa tindakan dibuat,” ujarnya.

Perdana Menteri menjelaskan, sistem ganjaran yang bakal diperkenalkan nanti tidak bermakna hanya mereka yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai akan diberikan ganjaran, sebaliknya melibatkan semua jabatan.

“Misalnya jabatan yang menunjukkan peningkatan dalam hasil kutipan cukai, kita mungkin memberi ganjaran kepada jabatan yang berjaya dalam setiap pendakwaan yang dibuat atau kita boleh beri kepada jabatan yang menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) luar biasa,” ujarnya.

Najib memberitahu, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jemaah Menteri sedang mengusahakan kaedah terbaik untuk melaksanakan sistem berkenaan.

Beliau menambah, Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan merupakan antara inisiatif ke arah budaya prestasi cemerlang, di mana setiap kerja yang dilakukan akan diukur serta dinilai secara objektif.

Katanya, amalan budaya cemerlang di kalangan penjawat awam amat penting supaya Malaysia tidak terus berada pada tahap sebuah negara berpendapatan sederhana.

“Kalau kita tidak buat sesuatu, negara akan terus terperangkap dalam ancaman pendapatan sederhana, maknanya kita tidak miskin, juga tidak kaya.

“Ini cabaran besar bagi Malaysia iaitu macam mana nak beri motivasi supaya kita tidak terus melekat pada tahap sekarang tapi menjadi negara yang berjaya mengikut definisi kita,” katanya.