Pages

Ads 468x60px

Thursday, November 19, 2009

‘Malam Mesra 1Malaysia Bersama Pemimpin Barisan Nasional’ 22 November

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balai Ringin akan mengadakan ‘Malam Mesra 1Malaysia Bersama Pemimpin Barisan Nasional’ pada 22 November ini di Dewan Suarah Negeri di sini.Pengerusi PBB Balai Ringin merangkap penasihat jawatankuasa penganjur majlis, Senator Dato Sri Empiang Jabu berkata objektif utama majlis makan malam yang julung kali dianjurkan PBB Balai Ringin itu ialah mempertemukan pemimpinpemimpin Barisan Nasional (BN) dengan rakyat akar umbi khasnya dari kawasan tersebut.

Bercakap dalam sidang media di sini semalam Empiang memberitahu semua pemimpin dan ahli parti komponen BN Negeri dijemput menyertai majlis makan malam itu sejajar dengan konsep 1Malaysia.

“Ini adalah perjumpaan di antara pemimpin BN dan rakyat dianjur oleh kita di luar kawasan Balai Ringin buat pertama kalinya.

“Ia menyediakan satu lokasi atau landasan kepada ahli PBB terutamanya dari enam ranting PBB Balai Ringin bertemu dan berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin PBB serta pemimpin parti komponen BN lain seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP),” jelasnya.

Empiang menambah dengan penganjuran majlis tersebut, diharap semangat 1Malaysia akan terus diperkukuhkan lagi.

Penganjuran malam mesra itu juga katanya membuktikan PBB sentiasa mahu bekerja sama dengan parti-parti komponen BN yang lain ke arah kecemerlangan bersama.

Sebanyak 60 meja disediakan yang dibahagikan kepada kategori emas, perak dan gangsa dijual pada harga RM2,000, RM1,500 dan RM800 masing-masing.

“Kita berasa gembira kerana sehingga hari ini (semalam) 50 meja telah dijual dan jualan masih lagi dibuka.

“Mereka yang mahu menyertai malam mesra ini boleh menghubungi pengerusi penganjur selaku timbalan pengerusi PBB Balai Ringin Kaunselor Harrison Lunsa (013-8101010) atau Ignatius Melaka (019-8166608),” katanya.

Empiang yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB memberithu majlis yang akan bermula jam 7.00 malam itu akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Beberapa pemimpin BN dijangka menghadiri malam mesra itu, antaranya Presiden SPDP Dato Sri William Mawan, Ketua Pemuda PBB Fadillah Yusof, Setiausaha Agung BN Negeri Dr Stephen Rundi, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan serta beberapa lagi wakil rakyat daripada parti komponen BN Negeri.

70,000 nikmati elektrik percuma

Setiap isi rumah mempunyai bil kurang RM20 tidak perlu bayar bil sebaliknya dibayar oleh kerajaan persekutuan, kata Awg Tengah

KUCHING: Lebih kurang 70,000 isi rumah di negeri ini dapat menikmati bekalan elekrtik percuma selepas kerajaan memperkenalkan dasar bagi mengurangkan bebanan rakyat yang kurang berkemampuan setahun lalu.Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dasar terbabit adalah memperuntukkan bahawa setiap isi rumah yang mempunyai bil kurang daripada RM20 tidak perlu membayar bil sebaliknya dibayar oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan sekurang-kurangnya telah menyerap sebanyak RM1.4 juta sebulan bagi bil elektrik daripada 70,000 isi rumah untuk menikmati bekalan elektrik percuma di negeri ini,” katanya dalam sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Ia kerana 70,000 isi rumah terbabit adalah mereka yang mempunyai bil elektrik RM20 ke bawah.

Menurut beliau, kerajaan persekutuan akan membayar balik bil berkenaan kepada Syarikat SESCo Bhd sebanyak RM1.4 juta sebulan bagi tujuan itu.

“Di Sarawak kira-kira 70,000 isi rumah yang mendapat manfaat bekalan elektrik secara percuma dan kadangkala ia tidak menentu sehingga dapat mencapai 80,000 isi rumah,” katanya.

Beliau memberitahu subsidi bantuan berkenaan adalah mensasarkan golongan kurang berkemampuan serta mempunyai pendapatan tidak tetap.

Sementara itu memberitahu mengenai tarif elektrik yang dibangkitkan oleh Ting Tze Fui (DAP-Meradong) Isnin lepas, beliau berkata, Sarawak masih dapat menikmati tariff elektrik yang lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia.

“Menurut kajian yang dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai 10 syarikat utiliti, dari segi purata di Semenanjung Malaysia purata tarif elektrik adalah 32 sen per kilowatt sejam berbanding di Sarawak 29 sen per kilowatt sejam,” katanya.

Awang Tengah berkata ia bermakna tarif elektrik di negeri ini lebih rendah berbanding dengan negeri lain secara puratanya.

PM hargai sumbangan OKU kepada negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyatakan penghargaan terhadap pengorbanan dan sumbangan golongan kurang upaya kepada negara dan mengulangi sokongan kerajaan terhadap pembangunan paralimpik.

Menggariskan komitmen Malaysia, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah meluluskan sebidang tanah untuk ibu pejabat Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) dan pembinaan kompleks sukan khusus untuk atlet kurang upaya.

"Ini adalah bukti komitmen Malaysia dalam menyediakan peluang sama rata kepada atlet untuk cemerlang dalam sukan masing-masing," katanya semasa merasmikan perhimpunan agung dan persidangan ke-14 Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di sini.

Persidangan empat hari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 22 November.

Beliau berkata, di bawah gagasan 1Malaysia, keadilan dan kesaksamaan terpakai bukan hanya kepada mereka yang sempurna sifat dan berkemampuan sahaja.

"Gagasan 1Malaysia juga termasuk pengorbanan dan kerjasama padu daripada setiap bahagian masyarakat termasuk golongan kurang bernasib baik dan kurang upaya yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara," katanya.

Perdana Menteri yakin rakyat, tanpa mengira bentuk sifat atau keadaan diri mereka, perlu dilindungi dan ditawarkan peluang sama rata untuk menyumbang kepada proses pembinaan negara.

"Hakikat kejayaan Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) menganjurkan pelbagai pertandingan sukan pelbagai, kejohanan untuk golongan kurang upaya, seminar dan kongres adalah bukti ikrar kerajaan Malaysia terhadap pembangunan sukan dan pergerakan paralimpik," katanya.

Beliau menggesa semua pihak termasuk organisasi sukarela, sektor korporat dan atlet sendiri untuk saling bekerjasama dalam mempromosikan pergerakan paralimpik.

Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian MPC pimpinan Presidennya, Datuk Zainal Abu Zarin, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan sebidang tanah untuk diberikan kepada MPC untuk membina bangunan ibu pejabat bagi memperkukuhkan pentadbirannya.

Selain itu, Najib turut mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk membina kompleks sukan khusus untuk atlet kurang upaya dikenali sebagai Kompleks Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini.

Zainal berkata atlet kurang upaya negara telah berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang hasil sokongan padu kerajaan.

"Hari ini, atlet paralimpik Malaysia berdiri megah kerana mereka diiktiraf sebagai sama rata dengan rakan mereka yang sempurna sifat oleh kerajaan," katanya yang juga Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia dan Asean.

Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah pers