Pages

Ads 468x60px

Thursday, June 11, 2009

Kompleks baru DUN Sarawak


Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang terletak di Petra Jaya, Kuching akan menjadi kenangan selepas 33 tahun berfungsi sebagai tempat persidangan oleh wakil-wakil rakyat di negeri ini. Persidangan DUN Sarawak yang bermula pada 11 hingga 20 Mei yang lalu merupakan pertemuan kali terakhir bagi 71 Ahli DUN (ADUN) bersidang membincangkan hal-hal pembangunan negeri.

Di sebalik kenangan-kenangan manis, para ADUN juga sudah pasti tersenyum bangga apabila Kompleks DUN Sarawak yang baru dan terletak tidak jauh dari bangunan yang lama, bakal digunakan pada persidangan hujung tahun ini. Kini kerja-kerja pembinaan bangunan berharga RM300 juta itu yang tersergam indah di tebing Sungai Sarawak difahamkan telah siap pada hujung Mei lepas.

Dibina atas tapak keluasan 172 ekar, Kompleks DUN Sarawak baru itu terletak berhampiran dengan Astana, tempat kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Sarawak. Tersergam indah di atas bukit yang menggabungkan reka bentuk moden dan kebudayaan tempatan, ia mampu menampung kehadiran seramai 108 ADUN.

Tambah istimewa, semua ADUN disediakan bilik pejabat masing-masing. Pasti ia memberikan keselesaan berbanding dengan kapasiti 48 ADUN di bangunan DUN lama yang mula digunakan pada 1976. Kompleks baru itu juga dibina dengan satu Dewan Santapan yang boleh menampung kehadiran 1,000 orang pada satu-satu masa.

Terletak berhadapan dan di seberang Tebingan Sungai Sarawak, bangunan yang simbolik terhadap sistem demokrasi berparlimen itu dibina dengan 315 ruang letak kereta. Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah Dewan perundangan yang tertua di Malaysia, demikian menurut kenyataan dalam laman web rasmi DUN Sarawak.

Ia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke, melalui mesyuarat yang diadakan di sebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu pada 8 September 1867. DUN Sarawak pada mulanya dikenali sebagai Majlis Umum dengan jumlah ahli dipilih seramai 21 orang.

DUN Sarawak telah menempuh tiga zaman yang penting. Zaman rajah putih keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia. Tiga orang anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak di bawah pemerintahan koloni Inggeris. Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, Dewan terus bergerak menempuh arus perubahan yang banyak seiring dengan kedudukan negeri ditadbirkan oleh pejabat tanah jajahan yang berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak. 

Sijil ISO untuk dapat projek

Kecewa dengan beberapa insiden runtuhan bangunan telah menyebabkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk mencadangkan perlunya pemilikan sijil ISO oleh kontraktor utama dijadikan syarat dalam pemberian kontrak projek pembinaan yang bertaraf tinggi seperti Kelas A, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, ketika membayangkan perkara itu berkata, cadangan itu yang akan dikemukakan kepada kabinet dalam masa terdekat, bertujuan menambah baik kualiti pembinaan di negara ini. 


"Kalau lepas ini untuk RMK-10, syarikat kontraktor itu kita minta adakan ISO tetapi mereka tidak mampu untuk adakan, maka kita cadangkan kepada kerajaan syarikat ini tidak layak untuk mendapat projek daripada kerajaan," katanya selepas merasmikan Seminar Integriti Industri Pembinaan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.

Langkah itu juga bagi memantapkan lagi industri pembinaan di negara ini agar insiden runtuhan bangunan seperti di bangunan Pasaraya Jaya di Petaling Jaya dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu tidak berulang. 

"Ia bukan saja menjadi perdebatan umum tetapi secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti kita, kerugian bukan saja kita alami dalam negara tetapi kerugian paling besar adalah kepercayaan negara, yang selama ini banyak syarikat kita dapat peluang pekerjaan," katanya. 

Shaziman berkata, kementerian itu sentiasa memastikan syarikat pembinaan yang ingin mendapatkan sesuatu projek akan dinilai terlebih dulu dari segi kepatuhan teknikal dan aspek kewangan.

Kementerian itu, katanya, sedang juga mengenal pasti syarikat pembinaan yang tidak aktif di dalam negara untuk dikeluarkan daripada senarai kontraktor. 

"Kita sudah maklumkan kepada CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) supaya duduk berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta persatuan kontraktor untuk kenal pasti syarikat macam manakah kita patut keluarkan daripada senarai kontraktor yang tidak aktif di dalam negara, kita tidak tahu berapa banyak (syarikat) yang boleh dikeluarkan, biar mereka bincang dulu," katanya. 

Selain itu, Shaziman berkata, dengan mengambil kira kepentingan sosial, satu Kod Etika Kontraktor sudah dibangunkan secara holistik, bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam industri pembinaan mempunyai integriti. 

Kod itu, katanya, boleh menjadi titik permulaan bagi membangunkan masyarakat kontraktor yang berintegriti tinggi dengan menggariskan enam prinsip utama seperti jujur melaksanakan tanggungjawab, kepentingan kualiti, kemahiran dan piawaian serta pematuhan kepada peraturan dan undang-undang.

Shaziman turut membayangkan kemungkinan industri pembinaan akan mengalami proses liberalisasi dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan asing di di negara ini. 

"Sudah tentu mungkin, kalau masa sekarang ini semua sudah mula bergerak ke arah liberalisasi, tiada satu pun industri yang kita boleh kawal semuanya dalam negara kita. 

"Dalam kes kita, banyak syarikat Malaysia sertai (kegiatan) di seberang laut, perkara ini walaupun secara rasminya tidak berlaku sepenuhnya, secara tidak langsung banyak projek besar ada pembabitan dari negara luar," katanya. - Bernama