Pages

Ads 468x60px

Tuesday, June 23, 2009

MEASAT-3a berjaya dilancarkan

MOSCOW 22 Jun – Selepas enam jam 25 minit dilancarkan di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, satelit Asia Timur Malaysia yang keempat atau MEASAT-3a berjaya memasuki ruang orbit seperti yang dijadualkan petang ini.

Berita kejayaan itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Operasi Measat Satelitte System Sdn. Bhd. (Measat), Paul Brown-Kenyon pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Demodedevo di sini petang ini.

Ia merupakan detik kritikal dalam pelancaran sesebuah satelit apabila ia berpisah dengan kenderaan pelancarnya kerana kejayaan tersebut akan memastikan kejayaan operasinya kelak.

Rombongan meliputi kira-kira 50 orang jemputan dan wakil media dari Malaysia menunggu penuh debaran sama ada pelancaran itu mampu mengikut jadual setiap peringkat pemisahan roket berkenaan yang mengambil masa enam jam 25 minit.

Sea Launch merupakan perkhidmatan pelancaran antarabangsa bertanggungjawab terhadap pelancaran MEASAT-3a.

Sebelum itu delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berada di Baikonur awal pagi ini bagi menyaksikan pelancaran roket yang membawa MEASAT-3a.

Baikonur adalah tapak pelancaran yang digunakan oleh angkasawan Rusia, Yuri Gagarin pada 1961 untuk menjadi manusia pertama sampai ke angkasa lepas.

Pelancaran MEASAT-3a dilakukan mengikut jadual pada pukul 3.50 pagi (5.50 pagi waktu Malaysia) dalam keadaan cuaca yang baik.

Sebaik saja kenderaan pelancar Zenit-3SLB meluncur ke angkasa, anggota delegasi Malaysia bersorak gembira memerhatikan dari dek terbuka.

Walaupun berada dalam kedudukan empat kilometer daripada roket itu dilancarkan, rombongan Malaysia termasuk lima pelajar cemerlang dapat melihat dengan jelas kerana cuaca yang cerah.

Seperti dijangka, perjalanan roket yang membawa satelit itu mengambil masa enam jam 25 minit minit sejauh lebih 35,000 kilometer dari bumi sebelum memasuki orbit pada pukul 10.15 tengah hari (12.15 petang waktu Malaysia).

“Segalanya mengikut jadual dan Measat berbangga misi ini akhirnya berjaya,” kata Brown sambil mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan teknikal Measat dan syarikat yang terlibat dengan pelancaran ini.

Menurut beliau, apabila MEASAT-3a mula beroperasi pada penghujung Julai kelak, sektor telekomunikasi negara khususnya akan memperoleh manfaat besar dengan kemampuan satelit ini.

‘‘Bagi pihak syarikat pula sudah tentu ia akan mengembangkan lagi perniagaan sekali gus mengukuhkan Measat sebagai pemain utama di rantau ini,” jelasnya.

MEASAT-3a yang mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dibina oleh Orbital Sciences Corporation of Dulles yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat.

Satelit seberat 2.417 tan itu akan bertindak sebagai pelengkap kemampuan MEASAT-3 yang mempunyai capaian liputan ke lebih 100 negara yang mewakili lebih 70 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

MEASAT-3a direka bentuk dengan 12 transponder C-band berkuasa tinggi dan 12 transponder Ku-Band berkuasa tinggi untuk menyokong peningkatan perniagaan terus ke rumah (DTH), penyiaran dan telekomunikasi Measat.

Dengan liputan Ku-Band di Malaysia dan Indonesia serta pancaran C-Band yang meliputi lebih 100 negara mewakili 70 peratus penduduk dunia, satelit berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dalam bidang perniagaan penyiaran dan telekomunikasi.

Pada 12 Disember 2006, MEASAT 3 turut dilancarkan di Baikonur manakala dua satelit yang terdahulu iaitu MEASAT-1 dan MEASAT-2 dilancarkan di Pusat Angkasa Guiana (CSG) Arianespace di Kouru, French Guiana pada 13 Januari 1996 dan 13 November 1996.

Sementara itu, turut menyaksikan pelancaran bersejarah itu ialah Timbalan Duta Malaysia ke Rusia, Abdul Razak Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa, Naib Presiden Orbital Sciences, L. Lewis dan Pengarah Intelset Corporation, Brian S. Sing.

Artis Dayak akan dibela

Mereka akan mendapat perlindungan dalam industri muzik tempatan apabila DAMA didaftarkan oleh ROS: Snowdan

KUCHING: Artis Dayak akan mendapat pembelaan dan perlindungan dalam industri muzik tempatan apabila Persatuan Muzik Dayak Malaysia (DAMA) didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pengerusinya, Snowdan Lawan berkata pertemuan dengan ahli-ahli jawatankuasa akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi merangka perlembagaan pertubuhan serta logo untuk DAMA.

Menurutnya, dengan adanya dokumentasi yang lengkap serta persetujuan daripada ahli jawatankuasa lain, maka pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada ROS.

“Setelah pertubuhan kita diiktiraf ROS, saya yakin hak cipta artis Dayak akan dilin-dungi dan terpelihara.

“Antara lain, mereka (artis dayak) boleh mendapat khidmat nasihat daripada DAMA untuk mencari jalan memperkembangkan bakat serta industri muzik Dayak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediamannya semalam.

Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin menyeru barisan artis Dayak me-ngubah minda serta persepsi masing-masing seiring dengan perubahan rentak muzik masa kini.

Malah katanya, artis harus berupaya menerima dan menyerap perubahan supaya lirik-lirik lagu yang digubah dapat diterima masyarakat pelbagai lapisan dan latar belakang.

“Kita mahu melihat komposer menghasilkan lirik lagu yang mempunyai idea-idea baru dan berkualiti bagi men-cerminkan budaya kaum Dayak dengan lebih baik lagi.

“Oleh itu kita bercadang membina studio rakaman bagi memastikan hak cipta mereka terpelihara. Ia juga secara langsung dapat mengekalkan momentum mereka dalam industri muzik… kita tidak mahu melihat mereka popular sekejap, lepas itu tenggelam,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Snowdan berkata beliau akan mengadakan pertemuan de-ngan Radio Televisyen (RTM) untuk membincangkan mengenai kriteria untuk klip video muzik Dayak bagi disiarkan dalam rancangan Muzik Aktif.

Katanya, perbincangan adalah perlu kerana artis Dayak mampu menghasilkan muzik video yang sesuai disiarkan dalam stesen televisyen kerajaan.

“Dengan itu, artis Dayak akan diberi peluang mengembangkan hasil karya di kala-ngan artis bukan Dayak,” katanya lagi.

Terdahulu Snowdan me-nerima kunjungan kira-kira 40 orang kurang upaya (OKU) daripada Persatuan Orang Cacat Bumiputera Sarawak dan Persatuan Orang Buta Cawangan Kuching.

Katanya, majlis rumah terbuka itu merupakan kali kedua dianjurkannya bagi meraikan OKU sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia.

“Semangat dan prinsip 1Malaysia perlu disemai dalam diri kita dan jangan biarkan mereka menjadi ‘bayang-bayang’ sahaja, tetapi bawalah mereka berjalan seiringan bagi meringankan beban mereka,” tambahnya.

Dalam majlis berkenaan beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua persatuan bagi merancang dan menjalankan aktiviti serta program mereka.

Monday, June 22, 2009

Kota Apa Yang Dikata : Najib Kepada Wakil Rakyat BN Sarawak

KUCHING, 18 Jun (Bernama) - Semua wakil rakyat Barisan Nasional di Sarawak telah diingatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memenuhi segala janji kepada rakyat sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan oleh beliau.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Tan Sri Dr George Chan berkata bahawa dalam pertemuan satu jam dengan pemimpin-pemimpin dan wakil rakyat BN Sarawak di sini hari ini, Perdana Menteri juga memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat di Sarawak.

"Pesanan utama beliau ialah agar kita turun padang menemui rakyat kerana kerajaan BN adalah sebuah kerajaan untuk rakyat," kata Chan kepada pemberita selepas pertemuan itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk William Mawan, dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing.

Najib, yang tiba semalam untuk lawatan dua hari ke Sarawak, kemudian berlepas dengan helikopter untuk satu sesi berjumpa rakyat di Nanga San di Batang Ai.

Chan berkata bahawa sebagai tindakan susulan kepada perkara-perkara yang dibangkitkan pada pertemuan dengan Perdana Menteri itu, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di Hospital Umum Sarawak dan berhubung jaminan kerajaan pusat untuk memberi keutamaan bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk negeri itu.

Katanya satu daripada penyelesaian kepada masalah kesesakan itu ialah dengan kerajaan pusat mengambil alih Sarawak International Medical Centre (SIMC) yang baru dibuka di Kota Samarahan dekat sini.

Mawan pula berkata SPDP akur dengan saranan Perdana Menteri dan akan menggandakan usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita diberitahu supaya turun ke padang dan itu bukannya sesuatu yang baru. Tetapi apabila kita diingatkan sekali lagi, maka kita perlu berusaha lebih keras lagi," katanya.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri mahu supaya Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri BN di negeri itu supaya sentiasa memberi tumpuan kepada isu-isu melibatkan rakyat.

"Semua orang tahu bahawa kita akan adakan pilihan raya negeri dan penggal kita akan tamat, jadi kita harus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dengan menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Timbalan Ketua Wanita PBB Datin Fatimah Abdullah berkata wakil-wakil rakyat BN diminta memberi tumpuan kepada usaha memenangi pilihan raya negeri pada 2011 nanti kerana ia penting sebagai persediaan kepada pilihan raya ke-13 kelak.

"Ia akan bermula di Sarawak, dan oleh itu, kita harus bersatu dalam memastikan bahtera kita ini sampai ke destinasinya," katanya.

* Sumber dari Bernama