Pages

Ads 468x60px

Wednesday, December 2, 2009

DAP amal sikap 'kurang ajar', tidak bertamadun

IPOH 1 Dis. - Tindakan melampau pemimpin DAP memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas ketika menghadiri konvensyen parti itu Ahad lalu menjelaskan cara mereka yang mengamalkan sikap 'kurang ajar'.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, perbuatan itu membuktikan semua tindakan parti itu selama ini yang dilihat sebagai keterlaluan dan kurang ajar adalah benar.

''Tindakan Lim Kit Siang dan Ngeh Koo Ham menunjukkan pemimpin DAP pusat dan negeri selama ini kurang ajar, tidak bertamadun dan di luar kewarasan.

''Orang Cina pijak gambar orang Cina dan orang Melayu, perbuatan mereka ini sangat berbahaya kerana boleh membangkitkan api perkauman," katanya.

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini menyiarkan gambar Kit Siang yang juga Penasihat DAP dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming memijak poster ADUN Jelapang, Hee Yit Fong; Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng pula melompat poster tersebut.

Menurut Nadzri, apa yang dilakukan oleh pemimpin DAP itu merupakan tindakan terdesak mereka setelah gagal menyakinkan rakyat untuk memerintah kerajaan dengan saksama terutamanya di Pulau Pinang.

''Di Perak pula, mereka sudah melakukan perkara tidak baik untuk perintah Perak tetapi tidak berjaya. Malah, rakyat di Perak semakin muak dan benci dengan tindakan mereka.

''Perbuatan mereka ini cuma mengukuhkan lagi ikatan ADUN-ADUN BN di Perak dan menguatkan keazaman kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusyairi Abdul Talib pula tidak menyangka pemimpin DAP sanggup memijak gambar tiga ADUN Bebas itu.

Katanya, sikap biadab tersebut telah pun menjadi ikutan pengikut DAP sehingga seorang penyokong mereka bertindak menghiris gambar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebelum ditangkap polis semalam.

''Saya hairan dengan sikap pemimpin DAP kerana mereka bukan sahaja tidak hormat pada pemimpin Melayu, malah tidak tunjuk rasa hormat dan taat setia pada Sultan Perak.

''Banyak tindak tanduk mereka selama ini bersikap biadap serta derhaka kepada Sultan Perak dan ini boleh membuatkan orang Melayu bangkit menentang mereka," katanya.

Penasihat Agama Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Ellias Al-Hafiz pula berkata, perbuatan memijak gambar menghiris perasaan dan menghina orang Melayu dan Islam.

''Di zaman Rasulullah, walaupun tidak suka pada seseorang, Baginda mendoakan orang tersebut diberikan petunjuk.

''Saya hendak tanya apa perasaan orang Melayu dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apakah perasaan mereka jika gambar pemimpin mereka dipijak," katanya.

Tuesday, December 1, 2009

Beri idea majukan DUN Begunan

SRI AMAN 30 Nov. - Golongan cerdik pandai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Begunan diajak untuk memberi idea serta membantu memajukan penduduk serta kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Begunan, Mong Dagang berkata, beliau bersedia menerima segala pandangan golongan tersebut yang juga diharap dapat membantunya apabila dilantik secara rasmi sebagai Menteri Muda Pertanian dan Pelancongan berkuatkuasa esok.

Beliau berharap dapat duduk berbincang untuk mencari strategi serta mekanisme terbaik untuk membangunkan lagi negeri ini termasuk kawasan yang diwakilinya.

''Saya bersedia menerima pandangan semua rakyat setelah menyandang portfolio ini secara rasmi mulai 1 Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Upacara 'Gawai Antu' mendiang Jamu Langi di Rumah Lani, Entulang Jalai di sini malam semalam.

Pada masa yang sama, Mong turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdil Taib Mahmud kerana menaruh kepercayaan kepadanya untuk menyandang jawatan sebagai Menteri Muda.

Beliau memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan berkesan dan sebaik mungkin dalam usaha membantu kerajaan membangunkan negeri ini.

''Saya amat berterima kasih kepada beliau (Abdul Taib) kerana telah memberi kepercayaan terhadap saya untuk memegang portfolio terbabit (Menteri Muda Pertanian dan Pelancongan).

''Saya akan melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri ini dan juga kawasan saya sendiri (DUN Begunan)," ujarnya.

Nik Aziz patut salahkan diri sendiri

KOTA BHARU 30 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri yang semakin menyimpang jauh apabila kepimpinannya mula dipertikaikan umum.

Sehubungan itu Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menggesa agar Mursyidul Am Pas itu tidak terus mempertahankan jawatannya supaya maruah dan harga dirinya terus terpelihara.

''Nik Abdul Aziz perlu segera melepaskan jawatan agar tidak merugikan lagi agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, biar pun dirinya mula menjadi sasaran cemuhan dan diperlekehkan, namun menjadi kewajipannya untuk bersama-sama membetulkan keadaan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz makin menyimpang.

''Biarpun saya dianggap tidak mempunyai tauliah dan cetek tentang perkembangan semasa, saya tetap terdedah kepada perkhabaran yang sesetengahnya sudah cukup jelas dan nyata.

''Bayangkan selama ini beliau cuba menyamakan sifat Tuhan dengan manusia seperti Tuhan mencarut dan samseng. Tetapi yang lebih memilukan saya dia menolak perpaduan sesama Islam dalam saat getir.

''Pemimpin parti seperti Haji Hadi dan Nasaruddin dihina sedemikian rupa hanya kerana mereka ingin mencari kebaikan. Malah sudah kedengaran janji memberikan status seimbang antara Islam dan bukan Islam apabila Pas dapat memerintah,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajib bagi semua pihak menegakkan kebenaran dan membetulkan sebarang penyelewengan.

''Saya tidak punyai kepentingan lain selain mahu turut menghentikan segala penyimpangan yang berkait dengan nafsu politik," tegasnya.

Baru-baru ini Abdullah dilaporkan berkata Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Katanya, sudah sampai masanya untuk beliau membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Susulan itu, lidah rasmi Pas melaporkan Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan Abdullah yang tidak mempunyai tauliah mengajar.

Pemegang Amanah PPPB, Mohamad Awang dilaporkan berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.

Guru pondok itu dikatakan sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa.

Abdullah menjelaskan, beliau mengakui tidak diberikan tauliah sebelum ini, namun segala-galanya kerana sikapnya yang mempertahankan Pas sehingga kini.

''Saya belajar agama selama 37 tahun dan saya dapat membezakan tafsiran yang benar dan bukannya berteraskan nafsu serta menyimpang," katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Pas tidak dapat mempertahankan keistimewaan orang Melayu Islam dan pemerintahan Islam dalam kerakusan untuk berkuasa.

''Hari ini apabila Pas menolak perpaduan kerana sanggahan keras Nik Abdul Aziz, beliau tidak mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan pemerintahannya, maka seluruh orang Pas bersalah jika apa yang dibimbangi berlaku kelak," katanya.

Monday, November 30, 2009

Tiba masa Nik Aziz bersara

LANGKAWI 29 Nov. - Kenyataan- kenyataan kontroversi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak kebelakangan ini menunjukkan beliau seperti sudah nyanyuk atau tidak sedar dengan apa yang diperkatakannya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan tersebut turut menyebabkan Mursyidul Am Pas itu kini dilihat begitu berbeza dengan pemimpin lain parti tersebut termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Malah katanya, doa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO dimusnahkan yang dibacakan oleh Nik Abdul Aziz pada khutbah solat Jumaat di Kota Bharu kelmarin membuktikan hakikat tersebut.

''Apa punya nyanyuk dia boleh membuat doa sebegitu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Maritim Antarabangsa sempena Pameran Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini hari ini.

Mengulas doa yang dibacakan oleh Menteri Besar Kelantan itu kelmarin, beliau berkata, ia bukan kali pertama dilakunya.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz juga telah membuat doa yang sama dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan Bagan Pinang sebelum ini dengan meminta Perdana Menteri termasuk beliau sendiri 'pergi jahanam' dan dianggap sebagai orang jahat.

Ahmad Zahid berkata, doa-doa yang dibacakan oleh Nik Abdul Aziz itu juga boleh dilihat dalam laman You Tube

''Kelmarin sekali lagi dia membuat doa yang sama di Kota Bharu.

''Saya fikir tidak ada gunanya beliau membuat doa seperti itu kerana ia akan menyusahkan pemimpin Pas yang lain," katanya.

Sebab itulah katanya, Nik Abdul Aziz berbeza pendapat dengan pemimpin Pas yang lain.

Tambah beliau, mungkin sudah tiba masanya Nik Abdul Aziz bersara daripada politik sebelum beliau mengeluarkan lebih banyak doa yang tidak sepatutnya.