Pages

Ads 468x60px

Friday, November 13, 2009

Bajet 2010 buka peluang sosioekonomi dan tingkat pembangunan infrastruktur

KUCHING: Peruntukan Bajet 2010 (Negeri dan Negara) dilihat membuka banyak peluang sosioekonomi rakyat selain meningkatkan pembangunan infrastruktur asas di negeri ini.Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai) berkata, bajet terbabit memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan memperkasakan perkhidmatan awam dan menggalakkan penyertaan sektor swasta.

Beliau memberitahu, dengan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada negeri ini, ia mampu meningkatkan prasarana awam seperti membaik pulih sekolah dan klinik, membina banyak jalan di kampung dan kawasan luar bandar.

“Kita juga berharap peruntukan sedemikian dapat menambah baik bekalan air dan elektrik khasnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Dr Rahman berkata demikian bagi membahaskan Rang Undang- Udang Perbekalan (2010), 2009 yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Menurut beliau ia adalah amat penting bagi meletakkan pembangunan negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia terutama dalam aspek pembangunan fizikal.

“Ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah mesti diperbaiki dengan segera bagi menambah keyakinan rakyat selaras konsep 1Malaysia,” katanya.

Dr Rahman berkata di konstituensinya Pantai Damai, masih ada projek-projek pembangunan yang dirancang belum mendapat sebarang maklum balas.

“Dengan adanya peruntukan yang komprehensif sebegini kita memohon untuk menaik taraf dan melebarkan Jalan Brooke di kawasan perkampungan Seberang Hilir yang didiami oleh hampir 30,000 penduduk di 12 kampung… selain itu juga saya memohon menggantikan lima jambatan ‘Bailey’ yang menghubungkan jalan tersebut.

“Justeru, saya dan seluruh penduduk kampung kawasan berkenaan amat berharap agar kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan dapat melaksanakan pembinaan jalan dan jambatan dengan segera menerusi peruntukan pembangunan sebanyak RM277 juta seperti yang dibentangkan dalam bajet kali ini,” tegas beliau.

Dr Rahman pada masa yang sama turut memohon kepada Kementerian Kemudahan Awam untuk menyediakan bekalan air paip dan bekalan elektrik di konstituensinya iaitu Kampung Salak, Kampung Sibu Laut, Kampung Sungai Aur, Kampung Sungai Daun, Kampung Sungai Batu dam Kampung Sungai Bedaun yang tidak mempunyai kemudahan asas sedemikian.

“Kita juga berharap pihak kementerian dapat menaik taraf sistem perparitan dalam kampung-kampung di kawasan Seberang Hilir iaitu Kampung Boyan sehingga Kampung Bintawa, Kampung Rampangi Fasa 1 dan Rampangi Fasa 2 serta membaik pulih system saliran berdekatan Kampung Buntal dan Kampung Sungai Lumut.

“Kita juga memohon kemudahan kemasyarakatan seperti gelanggang futsal atau sepak takraw atau dewan serba guna seperti di Bandar Baru Samariang, Taman Puteri, Taman Kuching Family Park dan Kampung Rampangi Fasa 1 dan 2 bagi meningkatkan kemudahan sukan dan riadah di kawasan kampung,” ujar Dr Rahman.

Malahan beliau turut memohon Lembaga Sungai-sungai Sarawak membaik pulih beberapa pangkalan perahu tambang yang terlalu usang di tebingan Sungai Sarawak di kawasan Seberang Hilir.