Pages

Ads 468x60px

Thursday, August 20, 2009

ISA dipinda Oktober ini

PUTRAJAYA 19 Ogos - Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebaliknya hanya meminda beberapa peruntukan tertentu akta itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pindaan tersebut dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Oktober ini antaranya melibatkan pengurangan tempoh tahanan tanpa bicara yang kini berjumlah 60 hari.

Pada masa sama, kata beliau, pindaan beberapa akta membabitkan kebebasan dan hak asasi manusia seperti Akta Polis 1967 akan dilakukan serentak supaya ia lebih komprehensif.

''Apa yang penting ialah imbangan kuasa dan hak dalam apa juga tindakan, saya rasa tidak ada mana-mana pihak hendak menafikan bahawa hak majoriti juga penting dalam kita nak pastikan hak asasi manusia.

'Malah, kes yang ada kaitan dengan keganasan telah diterima pakai secara meluas di Amerika Syarikat (AS) dan undang-undang membabitkan soal ancaman kepada negara yang melaungkan demokrasi dan kebebasan bersuara," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Hadir sama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Hishammuddin, sekarang adalah masa yang sesuai bagi melakukan pindaan ke atas ISA agar ia terus relevan dengan tuntutan semasa dan ancaman yang ada pada hari ini.

''Kita nak pastikan berlakunya ketelusan dan proses periksa serta imbang wujud selain tidak ada peluang untuk menyalahgunakan ISA," katanya.

Mengenai pindaan ke atas Akta Polis, Hishammuddin berkata, kerajaan melihat tentang perlunya sesuatu perhimpunan yang terkawal dibenarkan di kawasan tertentu seperti stadium tanpa perlu permohonan permit.

''Tidak perlu minta permit, kalau nak himpun semata-mata dalam keadaan terkawal, polis tidak akan menolak, kita boleh lihat akta itu supaya tidak perlu meminta permit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat itu juga akan menyelaraskan usaha mempercepatkan tindakan diambil ke atas pihak tertentu yang menggunakan Internet bagi menyebarkan pandangan berbau hasutan termasuk penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu dan agama.

''Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama rapat dengan polis, Peguam Negara dan mahkamah supaya hak untuk bebas bersuara tidak menjejaskan apa yang kita telah bina selama ini.

''Hari ini, saya gembira semua agensi dan kementerian terlibat dapat duduk bersama memikirkan pendekatan yang erat supaya perkara ini dapat ditangani dan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh masa yang efisien," katanya.

Katanya, kerajaan juga akan meneliti secara serius termasuk mengambil tindakan undang-undang serta menyekat capaian laman web dan blog yang melanggar peraturan sedia ada.

''Usaha ini termasuk mendakwa penulis-penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan mempersendakan agama," katanya.

Wednesday, August 19, 2009

Pesara guru dakwa temui penawar selesema babi



ROMLI menunjukkan tujuh ramuan herba yang dipercayai mampu mencegah penularan wabak H1N1 di kediamannya

200 pelanggan pulih selepas ambil herba diadun jadi kapsul

PENDANG: Seorang pengamal perubatan tradisional di Bukit Kuang di sini, mendakwa mampu mengubati Influenza A (H1N1) menggunakan tujuh jenis herba dan buah tempatan yang dihasilkan sendiri sejak sebulan lalu.

Pesara guru, Romli Hussin, 56, mendakwa lebih 200 pelanggan yang menggunakan herba itu termasuk lima ahli keluarganya yang mempunyai simptom seperti H1N1, iaitu demam berpanjangan, batuk, selesema, sakit tekak dan pening kepala pulih selepas beberapa hari mengambil herba berkenaan.

Katanya, kemampuan herba itu untuk mencegahnya teruji apabila anak keempatnya, Rohizati, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pulang ke kampung selepas universiti itu ditutup seminggu sebagai langkah mengawal penularan wabak H1N1.


“Dia mengalami simptom seperti demam dan sakit tekak dan keadaan itu bertambah serius apabila empat ahli keluarga saya termasuk isteri, Roshidah Ismail, 43, turut mengalami simptom hampir sama.

"Saya terus mengadun tujuh ramuan herba yang terdiri daripada daun mahkota dewa, daun akar cerita, daun Afrika, daun malberi, daun mambu dan buah mengkudu hutan serta buah tunjuk langit untuk dikapsulkan sebelum diberikan kepada Rohizati.

"Selepas beberapa jam mengambil herba ini, anak saya menunjukkan reaksi yang positif dan kembali segar daripada kelesuan. Demam panasnya juga berkurangan dan badannya mula berpeluh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Sebelum itu, Romli sudah menghasilkan 13 jenis produk berasaskan herba yang dihasilkan sendiri menggunakan kepakaran diwarisi daripada ibu bapanya yang mempunyai latar belakang sebagai pengamal perubatan tradisional.

Minat yang mendalam untuk meneroka khazanah alam yang diwarisi sejak zaman berzaman, beliau sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menjalankan penyelidikan termasuk menghantar herba itu untuk dianalisis oleh agensi berkaitan.

Romli berkata, dia juga memberikan herba itu kepada ahli keluarganya dan kenalannya termasuk 60 pelajar sebuah sekolah menengah agama rakyat (SAR) di Batu 16, Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang mengalami simptom hampir sama dengan H1N1.

Beliau mendakwa selepas menggunakan herba berkenaan, mereka memberi reaksi positif dan terus mengamalkan herba itu sebagai alternatif mengawal penularan H1N1.

Sementara itu, setiausaha sekolah agama berkenaan, Mohd Najib Fahami Yahya, 54 yang dihubungi berkata, hampir 80 peratus daripada 60 pelajar sekolahnya yang mengalami simptom H1N1 sembuh selepas menggunakan herba berkenaan seminggu lalu.

*Petikan dari Berita Harian

Tuesday, August 18, 2009

SATU LAWAN SATU

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, manakala calon Pas, Mohd Salleh Man, 52, adalah Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Selepas tamat tempoh bantahan di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit di sini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya, berkata sebanyak 15 bantahan diterima daripada kedua-dua pihak yang bertanding tetapi semuanya ditolak.

Rohaizat yang tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan diiringi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai. Sementara itu, Salleh tiba kira-kira jam 8.30 pagi bersama beberapa pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat.

Pemimpin pembangkang lain yang turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


Rohaizat menyerahkan borang pencalonanya pada jam 9.03 pagi manakala Salleh sejurus selepas itu.

Rohaizat, anak kelahiran Kampung Mengkuang Titi, di sini, adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di sekitar kawasan Penanti dan Permatang Pauh, manakala Salleh yang dilahirkan di Kepala Batas dan pernah mewakili parti itu sebanyak enam kali pada pilihan raya umum bermula pada 1986 hingga 2008 lalu tetapi tewas semuanya.

Sementara itu, hasrat seorang pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak kesampaian apabila beliau tiba lewat di pusat penamaan calon.

Gelombang ke-2 H1N1 Oktober

Musim tengkujuh dijangka percepat wabak

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1) pada Oktober, November dan Disember ini kerana musim tengkujuh dijangka mempercepatkan penularan wabak itu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan kumpulan pakar kesihatan kementerian melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.

"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.

"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.

Liow berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap kecemasan kesihatan kerana angka kematian akibat H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Sekiranya kadar kematian disebabkan H1N1 melebihi 0.4 peratus, kementerian dengan segera akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan darurat kesihatan," katanya.

Beliau menjelaskan mengikut panduan WHO, peratusan kematian H1N1 dikira berdasarkan jumlah kes jangkitan dan didarab 20 serta dibahagi jumlah kematian.

Berdasarkan angka korban 64 orang dan 4,425 kes jangkitan sehingga semalam, bermakna

peratusan kematian H1N1 di Malaysia kini hanya sekitar 0.007 peratus.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan semalam, 284 pesakit lagi sedang menerima rawatan di hospital manakala 33 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Liow berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam berhubung status darurat kesihatan.

"Kerajaan mendapati negara belum di tahap untuk diumumkan darurat kesihatan kerana kadar kematian disebabkan virus H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Selain daripada jumlah kematian, kementerian juga perlu mengambil kira perkara lain seperti nasihat pakar kesihatan yang sedang memantau situasi virus ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Liow berkata, hanya MKN mempunyai kuasa untuk mengumumkan sama ada negara perlu diisytiharkan darurat kesihatan atau tidak.

Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan semua hospital kerajaan dan swasta memberikan ubat antiviral kepada mereka yang didapati menghidap demam secara berterusan selama dua hari.

"Ubat yang sama juga perlu diberikan kepada mereka yang mengalami simptom influenza-like illness (ILI). Doktor perlu bertindak segera bagi membendung virus berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya negara sudah mengumumkan darurat kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, hospital kerajaan masih kekurangan doktor, iaitu hanya 13,902 daripada 24,236 jawatan yang ditawarkan dipenuhi sehingga 31 Jun lalu,

"Bagi doktor gigi pula kita tawarkan 2,549 jawatan, tetapi hanya 1,441 dipenuhi manakala ahli farmasi, jumlah jawatan yang ditawarkan ialah 4,030 dan diisi cuma 2,986. Bagi jawatan jururawat kanan sejumlah 44,897 jawatan ditawarkan dan hanya 39,263 dipenuhi," katanya.

*Petikan dari Berita Harian

Monday, August 17, 2009

Bersatu dengan semangat 1M’sia

Penyatuan rakyat di bawah konsep 1Malaysia akan jadi pemacu kepada negara memenuhi impian pembangunan yang dirancang

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yakin rak-yat Malaysia tidak akan dibuli sekiranya mereka bersatu di bawah semangat 1Malaysia.

Bercakap merasmikan Kempen Menggalak Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sarawak di pekarangan tempat letak kereta kompleks membeli-belah Boulevard semalam, Dr Chan berkata, penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah konsep 1Malaysia akan menjadi pemacu kepada negara memenuhi impian pembangunan yang dirancang.

“Tiada siapa pun yang boleh buli kita kerana kita memang 1Malaysia. Kita berjuang demi Malaysia. Kita membangun demi Malaysia dan kita sukses demi Malaysia.

“Kalau tidak kita akan sakit (berpecah). Kita adalah satu Malaysia, satu perpaduan, satu prospek dan satu impian,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta generasi muda untuk terus melaungkan semangat 1Malaysia kerana merekalah yang bertanggungjawab menjaga dan memacu pembangunan politik, sosial dan ekonomi rakyat dan negara.

Selain itu, generasi muda juga perlu berasa bangga dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme dan cintakan negara

Terdahulu, Dr Chan ber-kata, sikap bertolak ansur, berkompromi, hormat menghormati dan saling faham memahami adalah aset utama rakyat kerana tanpanya, negara tidak akan mencapai impian dan merealisasikan Wawasan 2020.

“Pengorbaan pejuang-pejuang kemerdekaan pada masa lampau tidak perlu kita lupakan.

“Perjuangan ini perlu diteruskan oleh pemimpin masa kini demi masa depan dan mengekalkan kemerdekaan ini.

“Para pemimpin perlu bersama-sama memikirkan kepentingan nasional dan sentiasa bekerjasama dalam apa jua bidang.

“Jalinan kemuafakatan ini membolehkan Malaysia sentiasa makmur, rakyatnya hidup aman dan damai,” jelasnya.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, Dr Chan meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, premis kerajaan dan taman sebagai melambangkan identiti rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Beliau mencadangkan agar setiap premis atau bangunan disediakan tempat untuk meletakkan bendera.

Sebagai negara merdeka, rakyat perlu mengukuhkan kerjasama, pengorbanan dan bersama menikmati kemakmuran negara untuk melambangkan kejayaan semangat 1Malaysia.

Seramai 1,000 penduduk di sini iaitu dari kawasan Rukun Tetangga (RT) mengambil bahagian dalam aktiviti semalam yang bermula seawal jam 6.00 pagi yang turut disertai lebih 300 kenderaan terdiri daripada kereta dan motosikal berhias.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Rajali Mudin dan Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Sebastian Ting.