Pages

Ads 468x60px

Friday, August 7, 2009

Sarawak hadapi krisis air

KUCHING 6 Ogos - Sarawak dijangka berhadapan dengan krisis bekalan air sekiranya hujan terus tidak turun di negeri ini selepas kali terakhir direkodkan berlaku dua minggu lepas.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan selepas beberapa paras sungai utama dan empangan di beberapa bahagian di negeri ini mula menunjukkan penurunan yang ketara.

Katanya, Lembaga Air Kuching (LAK) telah menyuarakan kebimbangan mereka selepas paras air Sungai Sarawak Kiri semakin merosot dengan begitu mendadak.

Beliau berkata, daerah kecil Simunjan dekat Samarahan juga telah mengalami catuan bekalan air bermula malam tadi manakala bahagian Sarikei juga akan berhadapan dengan situasi sama bermula esok.

''Sehubungan itu, kita meminta rakyat negeri ini supaya lebih berjimat cermat dalam penggunaan air seharian kerana sistem catuan air boleh dilaksanakan sekiranya keadaan semakin serius," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bekalan air bagi penduduk Sarikei hanya akan bertahan dalam tempoh dua minggu sekiranya hujan tidak turun manakala di Kuching ia berkemungkinan tahan lebih lama.

Hong Nam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Sarawak bagaimanapun memberi jaminan, masalah kekurangan air itu akan diatasi dengan operasi pembenihan awan dan bekalan air menggunakan lori tangki kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, operasi pembenihan awan itu akan dilakukan pada Isnin depan dengan menggunakan kaedah baru iaitu 'flares' yang terbukti berkesan dari kaedah sebelum ini.

''Kehadiran angin 'morakot' pada tempoh yang sama dijangka akan membantu operasi pembenihan awan," katanya.

Thursday, August 6, 2009

2,000 penduduk nikmati bekalan elektrik

SRI AMAN 5 Ogos - Kira-kira 2,000 penduduk dari rumah panjang dan rumah persendirian di kawasan Ran dan Punggu, Lachau di sini telah mula menikmati kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sejak seminggu lalu.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata, penduduk yang menerima kemudahan BELB ini adalah mereka yang telah memasang meter elektrik di kediaman masing-masing sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat sesetengah kawasan yang masih belum lagi menerima bekalan elektrik menerusi kemudahan BELB ini termasuk dari Rumah Randi, Lachau.

''Kawasan tersebut masih belum dapat menerima kemudahan BELB kerana para penduduknya belum memasang meter elektrik di kediaman masing-masing," katanya ketika kepada pemberita di sini hari ini.

Kujat memberitahu, kesemua penduduk di kawasan Ran dan Punggu, Lachau akan menerima bekalan elektrik menerusi program BELB itu apabila proses pemasangan meter siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya penduduk yang telah menerima bekalan elektrik BELB mengambil peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup masing-masing menerusi penyediaan kemudahan seumpama itu.

''Harapan saya ialah projek BELB ini nanti dapat mengubah taraf hidup mereka ke satu peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang kerana tiada lagi pergantungan terhadap bekalan elektrik dari enjin janakuasa selepas adanya bekalan elektrik 24 jam ini," katanya.

Terdahulu, projek kemudahan BELB Fasa I yang dilaksanakan kerajaan menerusi syarikat Shorefield Sdn. Bhd. di ketiga-tiga kawasan berkenaan telah menelan kos kira-kira RM5.7 juta.

Sekiranya projek perlaksaan kemudahan BELB Fasa I siap, maka projek BELB Fasa II dijangka menyusul dengan membabitkan kawasan dari Pekan Lachau atau Keranggas Gayau hingga ke kawasan Abok.

Wednesday, August 5, 2009

Anak saya diperguna sertai demonstrasi - Abdul Aziz

BUTTERWORTH 4 Ogos - Seorang pemandu lori hari ini berkata, anaknya berusia 15 tahun telah diperguna untuk menyertai demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara pada Sabtu lepas.

Abdul Aziz Ibrahim, 45, berkata, anaknya Muhamad Azreen dibawa oleh penganjur dari sebuah parti pembangkang tanpa kebenarannya.

Bagaimanapun, menurut Abdul Aziz, anaknya dan 25 lagi peserta yang mengikuti rombongan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Beruntung tidak jauh dari Kuala Lumpur pada 6 pagi Sabtu lepas.

"Anak saya cedera di bahagian mata kanan dan mulut. Pihak penganjur bersikap lepas tangan selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.

Beliau berkata, anaknya dan beberapa peserta lagi yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Muhamad Azreen dihantar pulang ke rumah di Permatang Rawa pada pagi Ahad lepas.

"Semalam wakil penganjur bawa anak saya ke hospital di sini tetapi hari ini kami terpaksa membawa Azreen sendiri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk anaknya menyertai sebuah unit dalam parti pembangkang itu mahupun untuk menyertai demonstrasi itu.

"Anak saya tidak pernah ke Kuala Lumpur, sebab itu dia beriya-iya sangat untuk pergi apabila diberi peluang," katanya.

Muhamad Azreen pula berkata, 20 daripada peserta rombongan yang terdiri pelbagai lapisan umur itu adalah penduduk kampung dan enam lagi merupakan orang luar.

"Saya bayar RM35 untuk mengikuti rombongan itu dan saya diberitahu oleh penganjur bahawa kami pergi untuk menjaga keselamatan dan kami diberi sehelai baju berwarna merah untuk dipakai," kata pelajar Sekolah Menengah Permatang Rawa itu.

Muhamad Azreen yang menyertai unit itu sejak tiga tahun lepas berkata, dua peserta rombongan itu mengalami kecederaan teruk dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah yang melawat Muhamad Azreen di rumahnya, menasihati ibu bapa membuat laporan polis jika mendapati anak mereka dipergunakan untuk tujuan demonstrasi itu.

Sabtu lepas, sekitar 10,000 orang menyertai perarakan dan perhimpunan haram di ibu negara membantah ISA.

- Petikan dari Bernama

Empat langkah tambahan bendung penularan H1N1

PUTRAJAYA 4 Ogos – Kerajaan hari ini memutuskan empat langkah tambahan menangani wabak selesema babi atau influeza A (H1N1) yang sehingga kini telah mengorbankan sembilan nyawa.

Langkah-langkah tersebut adalah:

*Meningkatkan simpanan stok antivirus dari 10 kepada 20 peratus melibatkan kos sebanyak RM20 juta.

*Memberi rawatan antivirus serta merta kepada enam kategori pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom selesema babi.

Enam kategori pesakit itu adalah:

*Wanita mengandung

*Obesiti

*Penghidap asma

*Pesakit paru-paru kronik

*Pesakit diabetes

*Pesakit yang mempunyai

imuniti rendah

*Melaksanakan saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas bermula. Semua guru kelas akan dibekalkan dengan alat penyukat suhu. Pelajar yang didapati kurang sihat akan diasing dan dinasihat berehat di rumah serta mematuhi nasihat kesihatan.

lMenambah jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital terbabit sekiranya tidak mencukupi.

Langkah tambahan itu diputuskan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik A (HINI) yang bermesyuarat di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom HINI tidak perlu menjalani ujian pengesahan.

Katanya, rawatan antivirus akan diberi untuk kes-kes yang dikesan dalam tempoh 48 jam selepas menunjukkan tanda dijangkiti H1N1.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat berikutan jumlah kehadiran orang ramai yang mahu menjalani pemeriksaan H1N1 di hospital agak ramai.

“Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza dan mempunyai faktor risiko akan diberi rawatan antivirus serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, sebanyak 14 kes baru H1N1 melibatkan jangkitan tempatan dan warga Malaysia dilaporkan hari ini di mana 13 daripadanya merupakan kejadian daripada tiga kluster baru serta satu kes terpencil.

Katanya, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara ini adalah sebanyak 1,460 kes terdiri daripada 574 kes import dan 886 jangkitan tempatan dengan angka kematian masih lapan orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,410 pesakit telah sembuh. Hanya 27 orang sedang menerima rawatan antivirus di hospital dengan 10 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 pesakit lain menerima rawatan antivirus di rumah.

“Daripada 10 kes di ICU, tiga orang mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (2),” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, berdasarkan situasi global, sehingga hari ini sebanyak 189,155 kes dengan 1,319 kematian dilaporkan membabitkan 168 negara dengan Pakistan melaporkan kes pertama.

Jelas beliau, statistik tersebut meningkat sebanyak 3,301 kes dengan 12 kematian berbanding hari sebelumnya.

El Nino: Hampir 18,000 penduduk S’wak hadapi krisis bekalan air bersih

KUCHING: Hampir 18,000 penduduk di lapan bahagian negeri ini menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih berikutan musim kemarau akibat fenomena El Nino yang berlaku ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang memberitahu perkara itu kepada pemberita dalam sidang media semalam berkata lapan bahagian terbabit ialah Kuching, Bintulu, Sarikei, Betong, Samarahan, Mukah, Miri dan Limbang yang melibatkan sekurang-kurangnya 109 kawasan.

Bagaimanapun Dr Chan berkata setakat ini bahagian Mukah terjejas teruk dengan 6,062 penduduk daripada 1,019 keluarga tiada bekalan air.

Menurutnya, kawasan terjejas teruk itu kebanyakannya terletak di pesisir pantai Belawai yang sering mengalami kemarau setiap tahun dan beberapa sekolah di situ turut menghadapi masalah sama.

“Keadaan dijangka akan bertambah buruk dalam tempoh dua bulan dari sekarang berikutan fenomena El Nino yang dijangka sehingga penghujung September atau awal Oktober ini menyebabkan cuaca kering berlaku sekurang-kurangnya selama dua minggu.

“Tambahan jumlah taburan hujan di negeri ini juga akan berkurangan antara 20 hingga 40 peratus daripada jumlah normal,” jelasnya.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteriberkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Negeri kini giat mengagihkan bekalan air bersih terutama air minuman kepada penduduk terjejas.

“Sehingga hari ini (semalam) kerajaan telah membelanjakan RM100,279 untuk menghantar air ke kawasan-kawasan dikenal pasti,” katanya sambil mengakui untuk menghantar bekalan air ke kawasan berkenaan adalah tidak mudah kerana terpaksa melalui jalan air.

Bagi mengatasi masalah pengangkutan air ke kawasan-kawasan berkenaan kerajaan akan meminta bantuan daripada sektor swasta yang menyediakan perkhidmatan tangki air.

Sehubungan itu kata, Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri akan bermesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan terlibat serta sektor swasta yang sudah dikenal pasti minggu depan bagi memastikan penghantaran bekalan air bersih dapat dibuat dengan segera.

Dalam sidang media itu juga Dr Chan memaklumkan pembenihan awan menggunakan teknologi terkini akan mula dilakukan Isnin depan dengan kawasan-kawasan tadahan air seperti di Sungai Sarawak Kiri dan di Sarikei menjadi tumpuan.

“Pembenihan awan memerlukan kos yang mahal tetapi kita perlu melakukannya untuk mendapatkan hujan. Ini kerana simpanan air di Empangan Gerugu Sarikei khasnya dijangka mencukupi hanya untuk tempoh dua minggu (dari sekarang).

“Empangan Gerugu hanya mempunyai keupayaan menyimpan stok air bagi tempoh dua bulan,” katanya.

H1N1 ANCAM GOLONGAN MUDA

Trend jangkitan mula menular di kalangan pelajar, kanak-kanak

KUCHING: Kes jangkitan tempatan Influenza A (H1N1) di negeri ini terus meningkat dan keadaan le-bih membimbangkan apa-bila trend jangkitan mula menular di kalangan pelajar serta kanak-kanak.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Bilik Operasi Negeri setakat jam 3.00 petang semalam, empat kes baru positif H1N1 dicatatkan dan daripada jumlah itu tiga adalah pelajar manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Samarahan.

“Tiga pelajar terbabit ialah pelajar lelaki berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu, Miri, murid perempuan berusia lapan tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gita No. 2 dan murid lelaki juga berusia lapan tahun dari SK Stapok,” kata jurucakap Bilik Operasi Negeri.

Penambahan empat kes baru itu menjadikan kes terkumpul H1N1 di Sarawak setakat ini ialah 139, melibatkan 114 jangkitan tempatan dan 25 import.

Bahagian Kuching kekal mencatat kes terbanyak iaitu 53 kes diikuti Miri 36, Limbang 27, Samarahan 14, Betong enam, Bintulu dua dan Sibu kekal seorang.

Bilangan pesakit yang masih menerima rawatan di wad setakat semalam ialah 15 orang dengan 11 di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan empat lagi di Hospital Miri.

Manakala jumlah sekolah atau institusi yang ditutup akibat H1N1 kekal sembilan dengan lima sekolah selebihnya institusi (pengajian).

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri George Chan dalam satu sidang media kelmarin tidak menolak situasi akan bertambah serius dengan lebih banyak jangkitan tempatan berlaku begitu juga kes kluster.

Kelmarin juga Sarawak mencatat kematian pertama akibat penyakit itu dengan mangsa-nya seorang wanita berusia 23 tahun dari Miri yang baru me-lahirkan anak perempuan kira-kira dua minggu lepas.


Tuesday, August 4, 2009

Peniaga tuntut ganti rugi

Penganjur demonstrasi perlu bayar RM500,000

KUALA LUMPUR: Peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini yang mengalami kerugian besar berikutan perhimpunan haram pada Sabtu lalu akan menuntut ganti rugi daripada penganjurnya.

Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman yang mendakwa kerugian kira-kira RM500,000 bercadang mengemukakan tuntutan itu daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang menganjurkan perhimpunan itu.

Pengerusinya, Kamarudin Ibrahim, berkata pendapatan kira-kira 200 ahli terjejas teruk kerana kebiasaannya kawasan berkenaan dikunjungi ramai pelanggan pada hujung minggu.

"Perniagaan mereka biasanya meningkat pada hujung minggu, terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi. Kita akan membuat tuntutan tetapi tidaklah yang keterlaluan," katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau berkata, persatuan akan berjumpa dengan ahli yang terbabit sebelum menemui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah bagi meminta bantuan Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk menyaman GMI.

Murugiah berkata peniaga dan orang ramai yang mengalami kerugian boleh menuntut ganti rugi daripada penganjur perhimpunan itu.

"Mereka yang terbabit boleh membuat aduan kepada pejabat BPA terlebih dulu di Jalan Sentul di ibu negara. Kita akan mencari cara supaya kerugian peniaga dapat dituntut daripada organisasi yang menganjurkan perhimpunan itu.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap penganjur tidak bertanggungjawab yang mengabaikan kesejahteraan dan pendapatan rakyat," katanya kepada Bernama.

Perniagaan lain yang terjejas ialah dua pasar raya borong Mydin di Jalan Masjid India.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 akibat pengurangan 50 peratus jualan yang sepatutnya diperoleh dua pasar raya itu.

Beliau juga mendakwa menanggung kerugian pada Jumaat dan Ahad, iaitu sehari sebelum dan selepas perhimpunan kerana nilai jualan merosot 20 hingga 30 peratus.

Jurucakap pusat belah belah Kompleks Pernas Sogo pula berkata pengurusan syarikat akan mengadakan mesyuarat esok bagi menilai anggaran kerugian dan sebarang tindakan lanjut akan diambil selepas mesyuarat.

Kelmarin, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata perhimpunan itu menyebabkan peniaga kecil dan pusat beli-belah serta sektor pengangkutan awam dan pelancongan mengalami kerugian sehingga RM200 juta.

Sementara itu, Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran) mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi membantu peniaga dan orang awam menyaman serta menuntut ganti rugi daripada GMI.

Penasihat Undang-Undangnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata peniaga serta orang awam yang terjejas dan mengalami kerugian, sama ada dalam bentuk kerosakan harta benda atau kecederaan fizikal boleh menyalurkan maklumat kepada jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan mengumpulkan semua maklumat yang boleh disalurkan melalui emel ke alamat demorugi@gmail.com atau hubungi telefon 012-9770412.

"Kita mahu mengumpulkan semua data kerugian dan akan melantik peguam. Kita akan menyaman penganjur di mahkamah, menuntut ganti rugi setiap sen yang peniaga serta orang awam rugi pada hari itu. Kita akan saman GMI di mahkamah," katanya.

Peserta demo diupah?

PUTRAJAYA 3 Ogos - Sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lalu dipercayai telah diupah oleh pihak tertentu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sumber yang diperoleh pihaknya turut mendapati motif perhimpunan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa kes mahkamah termasuk kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Anak-anak muda yang mengambil bahagian ini secara sinis mengatakan mereka terima upah untuk berarak. Ini agak mengejutkan pihak penganjur kerana mungkin tidak menyangka rahsia mereka akhirnya bocor juga.

''Motif perhimpunan juga mahu mengalih perhatian rakyat terhadap kes mahkamah tertentu dan ini diperoleh daripada maklum balas yang diperoleh ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan haram anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) itu mengakibatkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya manakala peniaga menutup premis masing-masing.

Berikutan itu, banyak pihak menuntut tindakan tegas harus dikenakan terhadap dalang di sebalik GMI supaya kejadian tersebut tidak berulang.

Monday, August 3, 2009

Kaum Penan dinasihat pindah ke lokasi baru

BETONG 2 Ogos - Kerajaan akan membantu lebih 3,000 kaum Penan melaksanakan projek pertanian di penempatan baru mereka bagi mengelak masalah kekurangan makanan berulang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sehubungan itu kaum Penan di enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga di sini dinasihatkan berpindah ke lokasi baru.

Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka berpindah ke lokasi baru yang tersedia dengan tapak penanaman kebun memandangkan kawasan tanaman mereka kini berdepan ancaman haiwan liar.

''Namun urusan penyediaan kawasan penempatan baru untuk kaum Penan yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan makanan ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri dan saya hanya mencadangkannya sahaja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kios AgroBank Pusa dan Penyerahan Wang Zakat AgroBank di Pusa dekat sini kelmarin.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun mendedahkan kaum Penan di enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga, mengalami kebuluran makanan sejak tiga bulan lalu selepas tanaman padi, satu-satunya sumber makanan mereka dimusnahkan monyet.

Menurutnya, lima penempatan paling kritikal adalah Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim dan Long Ladin diikuti Lusong Laku membabitkan 264 buah keluarga.

Menurutnya, masalah kebuluran dijangka berlarutan sehingga musim menanam padi yang baru pada Februari tahun hadapan.

Ketika ini, penduduk Penan di kawasan terbabit terpaksa bergantung hidup dengan memakan ubi kayu dan linut iaitu sejenis makanan daripada tepung sagu selain tumbuhan liar.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kementeriannya bersedia membantu agensi-agensi kerajaan bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan yang melanda kaum Penan itu.

Kata beliau, pihaknya juga boleh menghulurkan bantuan makanan seperti beras, gula dan sebagainya kepada penduduk yang terbabit.

''Bagaimanapun kementerian tidak ada kuasa untuk menangani ancaman haiwan liar terutamanya monyet yang merosakkan tanaman mereka selama ini kerana ia terletak di bawah kuasa Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan)," ujarnya.

Terdahulu, Rohani pada majlis itu menyampaikan wang zakat Agrobank berjumlah RM16,000 kepada 100 penduduk, dua buah sekolah, dua buah surau dan sebuah masjid di Pusa.

Sarawak catat kes kematian pertama h1N1

KUCHING 3 Ogos — Sarawak hari ini mencatatkan kes kematian pertama kes Influenza A (H1N1) membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun di Miri, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Bertindak Negeri berkata wanita terbabit meninggal dunia pukul 4 pagi ini di Hospital Umum Miri setelah disahkan positif H1N1 pada 17 Julai lalu.

“Wanita yang baru sahaja melahirkan anak pada 20 Julai lalu disahkan meninggal dunia jam 4 pagi ini bagaimanapun keadaan anaknya stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Chan berkata setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import dan orang ramai dinasihati agar lebih mengutamakan tahap kebersihan masing-masing.

Katanya setakat ini masih terdapat lima buah sekolah di Sarawak diarahkan tutup selain empat institut pengajian tinggi awam.

— BERNAMA

Anwar pengkhianat

BATU PAHAT 2 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin lidah bercabang kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan orang Melayu.

“Dulu dia pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO seperti saya sekarang, tetapi dia sekarang menggunakan cara yang memperdayakan untuk memusnahkan perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini semalam.

Muhyiddin berkata, Anwar selaku Ketua Pembangkang kini menyebarkan dakyah untuk mencipta persepsi negatif terhadap usaha UMNO dalam mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan institusi raja.

“Dia kata kepada semua orang bahawa UMNO zalim, tetapi beritahu saya sekarang dalam cara apa yang kita zalim? Kenapa dia tidak beritahu ini semasa dia jadi pemimpin kita?” soalnya.

Beliau mendedahkan taktik pembangkang mengulangi pembohongan hingga rakyat mempercayai penipuan itu.

“Hingga sampai ke tahap ini, orang menganggap apa yang dilakukan oleh UMNO adalah salah dan apa sahaja yang dilakukan kita tidak baik untuk rakyat.

“Maka semua kebaikan yang pernah kita lakukan membangunkan negara sejak 50 tahun lalu tidak lagi dihargai,” katanya.

Muhyiddin mengakui UMNO bukanlah parti yang tidak pernah melakukan kesilapan namun ia telah melakukan yang terbaik untuk menghapuskan rasuah, keangkuhan dan pengurusan yang tidak cekap.

“Tiada masalah untuk mengkritik kerana kita bukan maksum tetapi saya tidak boleh terima kalau pembangkang menghina dan tidak menghormati orang Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan pemimpin UMNO mengubah persepsi negatif pembangkang terhadap parti dengan terus mendekati rakyat terutama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan itu jika dilakukan secara berterusan akan menyedarkan rakyat terhadap perjuangan ikhlas UMNO dalam membela nasib mereka terutama bangsa Melayu.

“Kita hanya mempunyai dua tahun untuk mengubah persepsi dan imej buruk itu,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga bukan parti yang semata-mata mahukan undi rakyat pada setiap pilihan raya, tetapi untuk membela dan membangunkan mereka.

“Tetapi disebabkan dakyah serta pelbagai tuduhan pembangkang terhadap UMNO menyebabkan timbul persepsi buruk rakyat terhadap parti sejak kebelakangan ini,” katanya.

Ekoran itu, beliau berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan mulai sekarang bagi mengembalikan semula keyakinan tersebut agar UMNO dapat terus berjuang untuk membela mereka.