Pages

Ads 468x60px

Tuesday, May 25, 2010

Dayang Madinah senator baru dari Sarawak

KUCHING 24 Mei - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini mengesahkan pemilihan Dayang Madinah Tun Abang Openg untuk dilantik sebagai Senator bagi menggantikan Puan Sri Empiang Jabu yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 11 Julai ini.

Pemilihan Dayang Madinah dicadangkan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus.

Fatimah memberitahu, Dayang Madinah, 56, yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diyakini mempunyai keupayaan dan kebolehan di samping pengalaman cukup luas dalam bidang politik mahupun kegiatan masyarakat.

Menurutnya, beliau dibesarkan dalam keluarga politik yang banyak terlibat secara langsung dalam pembentukan serta pembangunan Sarawak sebagai sebuah wilayah penting dalam Persekutuan Malaysia.

''Bapa beliau, Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapiee adalah Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama manakala abangnya pula adalah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg," katanya.

Dayang Madinah merupakan wanita ketiga dari Sarawak dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selepas Empiang daripada PBB dan Doris Brodie daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dayang Madinah merupakan seorang usahawan dan wanita Melayu pertama dari Sarawak yang dilantik sebagai Senator.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Menengah St. Mary di sini merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang sains pengurusan dan pentadbiran.

Dalam bidang politik, Dayang Madinah merupakan seorang pejuang wanita yang gigih dan komited semenjak menjadi ahli PBB cawangan Satok pada tahun 1983 malah pernah menganggotai Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB dari tahun 1987 hingga sekarang.

Dalam bidang kemasyarakatan pula, Dayang Madinah bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan sukarela yang melibatkan pembangunan wanita dan pernah dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Biro Wanita Saberkas Sarawak, Pengerusi Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi Kawasan Petra Jaya dan Anggota Lembaga Pengarah Koperasi Wanita Sarawak Bhd. (Kowasa).

RM3.25 bilion untuk bekalan elektrik, air luar bandar

KUCHING 24 Mei - Sarawak menerima peruntukan RM3.25 bilion bagi pelaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, RM1.75 bilion diperuntukkan kepada BELB manakala RM1.5 bilion lagi bagi projek BALB.

Beliau berkata, bagi projek BELB, sasaran kerajaan ialah untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar daripada 64 peratus pada masa ini kepada 95 peratus menjelang 2012.

Menurutnya, ini bermakna kira-kira 78,000 buah rumah tambahan akan dapat dibekalkan dengan bekalan elektrik penghujung tahun 2012.

''Untuk projek BELB setakat ini, sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk beberapa projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) yang dijangka siap pada awal 2011 dengan melibatkan 12,500 rumah di seluruh negeri.

''Kerajaan turut memperuntukkan RM165 juta untuk projek RES di kawasan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei yang melibatkan 5,200 rumah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, bagi program BALB pula, sebanyak 321 projek akan dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut, 154 telah pun diluluskan pada tahun ini termasuk 89 projek dalam peringkat tender dan reka bentuk.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran 90 peratus liputan bekalan air bersih menjelang tahun 2012.

''Dengan adanya peruntukan tersebut, kerajaan menjangkakan sejumlah 89,074 rumah akan mendapat kemudahan bekalan air bersih," ujarnya.

Sementara itu, Awang Tengah memberitahu, untuk mengatasi masalah jalur lebar dengan kadar penembusan jalur lebar pada tahap 21.2 peratus kepada 39 peratus, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan beberapa inisiatif kepada Sarawak baru-baru ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut termasuk penubuhan 33 Pusat Mini Jalur Lebar dan Pusat Maklumat Rakyat di setiap daerah, pengagihan 60,000 komputer riba kepada golongan kurang berkemampuan, penubuhan Pusat Jalur Lebar Komuniti dan membangunkan 257 menara telekomunikasi di bawah projek TIME 3.

Hak milik tanah dieksploitasi

KUCHING 24 Mei – Tindakan parti pembangkang di negeri ini mengeksploitasi isu hak milik tanah dan menjadikannya sebagai modal politik mereka, menyebabkan dasar pembaharuan surat hak milik tanah telah disalah tafsir oleh rakyat.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri mengamalkan sistem pegangan pajakan tanah dengan surat hak milik mempunyai tempoh yang ditetapkan dan perlu diperbaharui apabila tempohnya tamat.

Menurutnya yang juga Menteri Kemudahan Awam Sarawak, kerajaan negeri membenarkan pembaharuan surat hak milik tanah dengan syarat ia tidak diperlukan untuk tujuan awam atau penggunaan tidak bercanggah dengan syarat hak milik tanah.

‘‘Tetapi pembangkang mengambil kesempatan daripada salah faham terhadap dasar kerajaan dan sistem tanah negeri itu, malah sering menggunakan isu tersebut untuk menagih simpati orang ramai bagi mencapai agenda politik mereka.

‘‘Pembangkang telah melakukan pengkhianatan besar kepada rakyat dengan mewujudkan kebimbangan dan ketidakpastian mengenai tanah serta usaha kerajaan dalam melaksanakan sistem adil dan cekap dalam pembaharuan pajakan tanah,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Awang Tengah berkata, dasar pembaharuan pajakan tanah oleh kerajaan dilaksanakan secara berhati-hati yang mengambil kira kepentingan pemilik tanah dan manfaat pembangunan negeri secara keseluruhannya.

Katanya, sebagai kerajaan berwawasan dan peka terhadap keperluan rakyat, dasar pembaharuan pajakan tanah adalah responsif dan dinamik untuk terus relevan dengan keadaan semasa.

Tambahnya, ia terbukti apabila pada 14 Mei lalu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kementeriannya telah membuat pengumuman tentang penambahbaikan terhadap dasar berkenaan.

‘‘Kadar baru premium itu adalah yang paling murah dan terendah di kalangan semua negeri di Malaysia malah dipertimbangkan paling berpatutan.

‘‘Bagi penggunaan kediaman, jumlah premium bagi pembaharuan pajakan tanah untuk rumah teres ialah satu kadar rata RM1,000 seunit manakala RM3,000 seunit untuk rumah berkembar dan RM6,000 seunit untuk rumah sebuah,’’ katanya.

Awang Tengah menambah, jumlah premium yang diperincikan itu adalah yang terendah berbanding negeri-negeri lain termasuk negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Tanah KTMB dimaju

Malaysia, Singapura sepakat tubuh syarikat usaha sama; KL setuju pindah Stesen Tanjong Pagar ke Woodlands

ISU tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini yang tertangguh hampir 20 tahun hingga menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungan Malaysia-Singapura, berakhir semalam apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan bersejarah menubuhkan syarikat usaha sama dikenali M-S Pte Ltd bagi memajukan kawasan berkenaan.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan sejam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, di sebuah hotel di sini, Stesen KTMB di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.
Tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah, pula akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan. Penyerahan tanah itu akan berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan stesen Tanjong Pagar.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu, M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember ini, membabitkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang memegang 60 peratus kepentingan, manakala Temasek Holdings Limited – cabang pelaburan Kerajaan Singapura, memegang 40 peratus ekuiti.

Kenyataan berkenaan juga menjelaskan tanah dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di sini.

Bagaimanapun, perincian mengenai kaedah pembangunan dan nilai tanah terbabit serta struktur penubuhan dan pengurusan M-S Ptd Ltd akan dikemukakan oleh Lee dalam pertemuan dengan Najib dalam lawatannya ke Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan lagi.

Pertemuan kelak juga akan menyentuh soal pembangunan sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018. Ini sekali gus menyaksikan stesen KTMB di Woodlands dipindahkan ke Johor menjelang tempoh berkenaan.
Persetujuan lain ialah:
  • Malaysia juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.
  • Singapura setuju membantu urusan pemindahan ke Woodlands dan memastikan perkhidmatan bas menghubungkan stesen KTMB di situ ke Stesen MRT untuk kemudahan penumpang.
  • Menubuhkan pasukan pelaksana bersama yang akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura; dan
  • Memulihara bangunan terminal penumpang stesen kereta api Tanjong Pagar kerana ia mempunyai nilai sejarah dan akan menjadi daya tarikan kepada projek pembangunan yang dicadangkan di tapak itu. Bangunan stesen kereta api Bukit Timah di Blackmore Drive juga mungkin dipulihara.
Dalam sidang media bersama, Najib berkata, keputusan yang dicapai dalam perbincangan itu melakar sejarah baru dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Kita tidak mahu isu bersama yang tertunggak menghalang usaha mempertingkat dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Hari ini (semalam) agak bersejarah sebab kita sekarang nampak penyelesaian kepada isu tertunggak yang berlarutan hampir 20 tahun,” katanya.

Lee pula berkata, beliau dan Najib melalui perbincangan yang sangat berhasil membabitkan skop yang luas dan memberi fokus mengenai usaha mempertingkatkan lagi hubungan dua hala sejajar perkembangan di Asia mahupun global yang memerlukan kedua-dua negara bekerjasama.

“Ini memerlukan kita menyelesaikan isu yang tergantung sekian lama dan ini membolehkan kita terus mara serta menikmati manfaat bersama,” katanya.

Terdahulu, Najib dan Lee turut mengetuai perbincangan delegasi kedua-dua negara sebelum menyertai jamuan tengah hari.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

*Petikan dari Berita Harian