Pages

Ads 468x60px

Friday, April 23, 2010

Zaid 'kaki lompat' - Dr. Mahathir

HULU SELANGOR 22 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim sebagai 'kaki lompat' yang perlu ditolak oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurut beliau, semua pihak mengetahui Zaid mempunyai sejarah bermula dengan dilantik menjadi menteri sebelum melompat menyertai PKR dan kemudiannya 'melompat' ke Hulu Selangor dari Kelantan.

Lebih-lebih lagi tegas beliau, Zaid mewakili pakatan pembangkang yang bukannya merupakan sebuah parti yang baik untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Beliau berkata, dari segi bahasa perkataan pakatan itu sendiri membawa konotasi negatif seperti berpakat untuk membuat kejahatan dan ia dibuktikan oleh perjuangan pembangkang yang sekadar mahu merampas kuasa dan bukannya ikhlas untuk memerintah.

"Calon Barisan Nasional (BN) di sini cukup pandai bercakap, fasih pula berbahasa Melayu, inilah calon yang baik tetapi sebaik manapun calon itu, kalau partinya tidak baik, ia tidak akan berguna.

"Kita tahu bahawa parti yang baik dan banyak berjasa kepada rakyat negara ini hanyalah BN," katanya sewaktu berceramah di Serendah di sini malam ini.

Hadir sama ialah calon BN, P.Kamalanathan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir secara sinis melahirkan rasa pelik dengan hobi Zaid yang suka memelihara kuda lumba walaupun mendakwa ia bukan untuk tujuan berjudi.

Katanya, seseorang yang mempunyai kuda lumba tidak sewajarnya disamakan dengan pemilik kuda biasa sebagaimana dirinya yang memiliki 30 ekor kuda.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi cabaran supaya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah laknat jika benar tidak terlibat dengan perlakuan di luar tabie.

Katanya, beliau tidak kisah sekiranya Anwar mahu melawan sewaktu menjadi timbalannya lebih 10 tahun lalu, namun tidak dapat menerima jika ia melibatkan perlakuan songsang itu.

"Tidak usahlah takut saudaraku yang lama, hadapi dirimu ke mahkamah, bersumpahlah di masjid dan bukannya di tepi masjid (sewaktu berceramah).

"Bersumpahlah seperti saudara Saiful Bukhari (Azlan) jika kamu seorang lelaki yang budiman," tegasnya.

Tidak ada 'Unit Kad Kredit Palsu' di BNM

KUALA LUMPUR 22 April - Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon yang didakwa dibuat oleh BNM atau mana-mana bank perdagangan.

BNM dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya tidak mempunyai jabatan yang dipanggil "Unit Kad Kredit Palsu" dan nombor telefon 03-2772-XXXX bukan talian telefon BNM.

Orang ramai yang mempunyai akaun bank dinasihatkan untuk tidak mendedahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan kata laluan kepada pihak ketiga.

"Pihak bank tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui panggilan telefon," kata BNM.

Katanya, berdasarkan aduan terkini yang diterima oleh BNM menunjukkan peningkatan dalam kejadian panggilan telefon oleh penipu kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat perbankan peribadi mereka dengan tujuan mengambil wang daripada akaun mereka.

Berdasarkan siasatan oleh Bank Negara Malaysia, modus operandi terkini kegiatan penipuan ini adalah seperti yang berikut:

n Mangsa menerima panggilan telefon dari sebuah 'bank perdagangan' meminta mangsa mengesahkan sesuatu transaksi kad kredit untuk pembelian barangan dari luar negeri sebagai contoh, dari Shanghai yang kononnya telah dicaj kepada kad kredit mangsa.

n Apabila mangsa berkata beliau tidak ada membuat transaksi berkenaan, penipu itu akan berpura-pura bersimpati dan menasihati mangsa untuk membuat aduan dengan "Unit Kad Kredit Palsu" di BNM.

Penipu itu akan memberikan nombor telefon "Unit Kad Kredit Palsu" kepada mangsa.

n Apabila mangsa menghubungi nombor telefon berkenaan, mereka akan disambut oleh sistem pesanan suara automatik yang menyatakan tempat itu sebagai BNM, dan panggilan tersebut kemudiannya dijawab oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai pegawai BNM.

Pegawai ini akan meminta maklumat berkaitan akaun perbankan dan kad kredit mangsa. Penipu itu kemudiannya, akan mengarahkan mangsa memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga atas alasan memastikan wang mangsa dilindungi.

n Dalam kes lain, penipu akan meminta maklumat perbankan dan akaun kad kredit mangsa untuk membuat pindahan dana secara haram.

Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai boleh melawat laman Amaran Penipuan Kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my.

Pakatan guna masjid untuk ceramah politik

HULU SELANGOR 22 April - Seperti diramalkan, surau dan masjid terus digunakan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-Pas untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu yang merupakan 53 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar di Hulu Selangor.

Tindakan itu terus dilakukan walaupun terdapat tentangan daripada penduduk di kawasan terbabit kerana muak dengan fitnah dilemparkan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Ini tak betul ni.. mana boleh guna speaker masjid untuk ceramah politik sampai lewat malam," kata Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor Mahmud Karim.

Beliau mendakwa hampir semua masjid utama di Hulu Selangor digunakan untuk kempen politik.

Sementara itu, beberapa penduduk di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam, merungut kerana rumah ibadat orang Islam itu dijadikan wadah kempen pilihan raya kecil Ahad ini oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Padahal Khalid sendiri sebelum ini mengarahkan masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik apatah lagi untuk berkempen meraih undi.

"Tak sesuai guna masjid untuk kempen politik, sebab nanti ada tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan burukkan orang lain," kata peneroka Felda Soeharto, Baharin Arshad, 68, mengulas mengenai perkara itu.

Baharin berkata, beliau khuatir tindakan itu menjatuhkan martabat agama.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini turut mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan titah Sultan Selangor supaya masjid tidak digunakan bagi kepentingan politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumah ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

Namun dalam peringatan itu, beberapa pemimpin besar pakatan seperti Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Baru esok, tentunya diselitkan dengan isu politik.

Difahamkan, Pemuda UMNO Batang Kali akan menghantar satu memorandum bantahan kepada JAIS pukul 9.30 pagi esok sebagai tanda protes penggunaan masjid untuk kempen. - BERNAMA

Gaji pengawal naik

KUALA LUMPUR 22 April - Mulai 1 Julai ini, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok di antara RM1,100 hingga RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 hingga 75 peratus.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan menaikkan gaji itu dibuat mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 bertujuan meningkatkan pendapatan pengawal keselamatan di negara ini.

Menurutnya, gaji pokok pengawal keselamatan pada masa ini adalah di antara RM300 hingga RM400 sebulan.

"Peningkatan gaji pokok ini melibatkan semua pengawal keselamatan iaitu pekerja tempatan atau asing," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yakin peningkatan gaji tersebut akan menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk bekerja dalam bidang itu.

"Kenaikan gaji akan dibuat berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," jelasnya.

Subramaniam berkata, proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.

Menurutnya, kementerian juga sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir Mac lalu.

Beliau menambah, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan secara terbuka dan telus dalam kajian semula itu seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan dan pekerja.

"Kementerian berharap menerima maklum balas daripada pelbagai sektor terhadap cadangan-cadangan perubahan dan menerusi maklum balas itu kita akan gubal keputusan akhir," katanya.

Wakil majikan ialah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) manakala wakil pekerja ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).