Pages

Ads 468x60px

Saturday, February 20, 2010

Najib lakukan lawatan dua hari ke Sarawak mulai Isnin

KUCHING 19 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Sarawak bermula Isnin ini.

Kenyataan media Jabatan Penerangan Sarawak hari ini berkata, Najib, yang akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka tiba di sini dari Kuala Lumpur pada lewat Ahad malam.

Jadual padat beliau dijangka bermula pada Isnin dengan menaiki helikopter ke Rumah Juliana, Kamidan Jaya, Awik di Saratok bagi merasmikan projek bekalan elektrik luar bandar, sebelum menghadiri majlis serupa di rumah panjang Iban, Rumah Radin di Lachau Ulu dekat Sri Aman.

Pada tengah hari pula, beliau akan ke Simunjan bagi menghadiri majlis taklimat tentang projek tebatan banjir di Kampung Nanas, Kelaka dan Sungai Simunjan Lama di Tebingan Sungai Simunjan Lama sebelum menghadiri majlis bertemu rakyat di satu kawasan gerai di bandar berkenaan.

Selepas itu, beliau dijadualkan kembali ke Kuching bagi menghadiri Majlis Makan Malam 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya di sini.

Pada hari berikutnya, Najib akan menaiki pesawat ke Kanowit bagi menghadiri majlis bersama rakyat di Rumah Penghulu Ugap Seribu di Nanga Tada.

Selepas itu, Perdana Menteri akan singgah di Sibu bagi melakukan tinjauan mesra di pasar besar bandar itu, sebelum menghadiri majlis jamuan tengah hari tahun baru Cina bersama masyarakat Cina tempatan di Hotel RH. – Bernama

RM400 juta laksana RES, air bersih

LUBOK ANTU 19 Feb. - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan projek kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dan bekalan air bersih di seluruh negeri ini untuk tempoh 2010 dan 2011.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, daripada jumlah itu, RM250 juta diperuntukan untuk tujuan penyediaan kemudahan RES.

Sementara itu katanya, RM100 juta lagi digunakan untuk menyediakan kemudahan bekalan air retrokulasi dan baki RM50 juta untuk kemudahan bekalan air alternatif.

''Kerajaan negeri mampu meningkatkan kadar liputan kedua-dua kemudahan ini di Sarawak berbanding dengan kadar liputan yang sedia ada sekarang iaitu 57 peratus untuk bekalan air bersih dan 67 peratus untuk RES.

''Perkara ini memerlukan usaha berterusan daripada Kerajaan Pusat dan negeri untuk tujuan penambahan jumlah liputan kemudahan RES dan air bersih pada tahun-tahun berikutnya terutamanya membabitkan penduduk dari kawasan luar bandar di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga) Brunei, Datuk Seri Pahlawan Mohammad Daud.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber memberitahu, kerajaan negeri amat optimis dapat memperluaskan akses kemudahan bekalan elektrik dan air bersih kepada penduduk berdasarkan kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat selepas ini.

Ujarnya, selain menyediakan kemudahan RES, kerajaan juga akan menyediakan bekalan elektrik alternatif untuk penduduk di kawasan yang masih belum menerima kemudahan itu termasuk bekalan air bersih.

''Namun, setiap usaha kerajaan ini memerlukan kerjasama antara penduduk, kerajaan dan kontraktor sekali gus membolehkan kadar liputan kedua-dua kemudahan terbabit dipertingkatkan pada masa akan datang," jelas beliau.

Abdul Taib mencari ilham

"BELUM ada ilham... banyak masa lagi, saya tidak suka membuat kejutan." Kata-kata tersebut jelas menggambarkan sesuatu yang penting dan bermakna apatah lagi ia diluahkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kata-kata tersebut disampaikan pada satu majlis Khamis lalu setelah wartawan ingin mengetahui bilakah beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Taib menjawab, beliau tidak akan tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya DUN dalam tempoh masa terdekat.

Tempoh akhir untuk Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2011.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Pada tahun itu juga, ramai Menteri Kabinet Pusat yang turun ke Bumi Kenyalang untuk mengumumkan peruntukan serta bekerja keras memenangi hati rakyat.

Sekali lagi sejarah berulang. Pada tahun ini, Sarawak mula dibanjiri dengan kedatangan beberapa Menteri Persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri yang membawa peruntukan yang bukan sedikit jumlahnya.

Sehingga kini, jumlah peruntukan yang disalurkan dari Kerajaan Pusat mencecah RM4 bilion dan ia akan bertambah dengan kunjungan beberapa Menteri Persekutuan yang lain.

Projek-projek tersebut bermula dari Lawas, iaitu bahagian paling utara Sarawak sehinggalah ke bahagian selatan, merangkumi pembinaan sekolah, internet desa, hospital, jalan raya, jambatan dan bekalan air bersih.

Semuanya bermula pada 21 Januari lepas apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk sekolah baru di Tutoh Apoh, Miri bagi menggantikan sekolah lama yang sering dilanda banjir.

Pada 28 Januari, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan peruntukan RM470 juta untuk membina sebanyak 203 menara telekomunikasi, 37 buah perpustakaan, enam pusat teknologi maklumat (IT) komuniti dan dua pusat IT untuk kanak-kanak kurang upaya di Kuching.

Pada 30 Januari pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan peruntukan sebanyak RM114 juta untuk kompleks hospital selepas melawat Hospital Lawas.

Manakala pada 30 Januari, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menjanjikan RM100 juta untuk membina rumah bagi kemiskinan tegar dan menggantikan yang lama.

Beliau juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membina semula jalan raya dari bandar Limbang ke Ulu Limbang dan pembinaan loji rawatan air yang baru di Batu Danau.

Hari yang berikutnya Shafie melawat bahagian Sibu dan memberitahu peruntukan sebanyak RM3.7 bilion untuk pembinaan jalan luar bandar, projek pembekalan air bersih dan rumah untuk orang miskin.

Selepas itu beliau melawat bahagian Kapit dan mengumumkan projek hidro elektrik mikro untuk kawasan Baleh bernilai RM1.8 juta.

Kesemua itu jelas menggambarkan bahawa pilihan raya negeri semakin tiba setelah beberapa peruntukan besar mula membanjiri negeri ini.

Memandangkan Sarawak merupakan kubu kuat BN pada pilihan raya umum peringkat Parlimen dua tahun lalu, sewajarnya negeri ini mendapat ganjaran yang setimpal.

Pada pilihan raya umum itu, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan dan menyumbang kepada majoriti mudah BN Pusat setelah beberapa negeri di Semenanjung jatuh kepada pembangkang seperti di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak. Perak kemudiannya ditawan semula oleh BN.

Kini yang menjadi bualan hangat ialah bilakah pilihan raya Sarawak bakal diadakan. Jawapannya hanya ada pada Taib Mahmud selaku Pengerusi BN negeri untuk mencari ilham.

Isu hak milik tanah NCR perlu diselesaikan

KUCHING 9 Feb. - Kerajaan mengenal pasti beberapa isu tempatan bagi masyarakat Sabah dan Sarawak untuk diselesaikan segera bagi memastikan Program Transformasi Kerajaan (PTK) di kedua-dua negeri berkenaan dicapai mengikut sasaran yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, isu membabitkan pendatang asing di Sabah dan pertikaian ke atas hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak memerlukan penyelesaian pantas bagi memastikan setiap bidang di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat diterjemahkan kepada rakyat.

Kedua-dua isu berkenaan katanya, memberi lebih banyak tekanan kepada rakyat di negeri berkenaan dan kerajaan sedang mencari penyelesaian bagi masalah itu selain cuba mendapatkan kaedah terbaik menangani isu tempatan lain.

"Antara isu yang dibangkitkan ialah masalah pendatang asing yang dikemukakan kerajaan negeri Sabah selain pertikaian tanah NCR di Sarawak dengan masing-masing memerlukan jalan penyelesaian pantas," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi Makmal Pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak mengikut NKRA yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, isu membabitkan hak milik tanah NCR perlu diselesaikan kerajaan kerana pemilik tanah mewarisi tanah berkenaan tanpa memiliki dokumen sah bagi dikemukakan sebagai bukti.

Beliau menjelaskan, pemilik tanah sendiri tidak dapat mengetahui jumlah keluasan sebenar tanah NCR mereka hingga terdapat kes pertindihan apabila kerajaan negeri Sarawak turut menuntut hak milik ke atas tanah yang sama.

"Perkara ini terus menekan penduduk kerana ada antara mereka yang cuba mendapatkan pinjaman bank bagi tujuan pembangunan projek pertanian namun terpaksa ditolak kerana tiada dokumen sokongan termasuk geran tanah.

"Sehubungan itu, kita akan cuba membantu pemilik tanah ini memaksimumkan pendapatan mereka termasuk memastikan tanah luas di dua negeri ini dapat digunakan secara optimum termasuk mendatangkan hasil kepada penduduk," jelasnya.

Sementara itu, Idris berkata, Makmal Pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak, membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan sistem pembelajaran berkualiti kepada generasi muda selain memastikan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air dapat diterima penduduk luar bandar.