Pages

Ads 468x60px

Friday, October 9, 2009

Jangan gadai masa depan - Daud

KUCHING 8 Okt. - Rakyat dinasihat supaya tidak menggadaikan masa depan mereka dengan mempercayai dakyah pakatan pembangkang yang sering menabur janji manis untuk kepentingan politik semata-mata.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, jika rakyat negeri ini terus menyokong atau mempercayai pembangkang, mungkin keadaan di negeri ini tidak ubah seperti apa yang berlaku di Semenanjung.

Menurutnya, jika rakyat terus memberi kepercayaan kepada pembangkang kemungkinan pembangunan seperti sekarang tidak dapat dinikmati lagi pada masa akan datang

''Jangan gadaikan masa depan anda dengan mempercayai pembangkang yang hanya tahu bercakap sahaja.

''Pembangkang hanya tahu menabur janji tetapi tidak pernah melaksanakannya terutama membabitkan pembangunan di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Mengenang Jasa Warga Emas Sempena Perayaan Pesta Tanglung di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, rakyat di negeri ini harus bersyukur kerana memiliki kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat, bertanggungjawab, adil dan rasional.

Katanya, pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan di Sarawak kerana Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti-parti komponen saling membantu antara satu sama lain dan memberi hak yang sama rata kepada kaum-kaum yang ada di negeri ini

Tambahnya, ia berbeza dengan beberapa negeri di Semenanjung yang ditadbir oleh pakatan pembangkang apabila timbul pelbagai masalah dan tidak mampu mewujudkan kerjasama sebagai satu pakatan.

Thursday, October 8, 2009

Pengundi pos mengundi hari ini

PORT DICKSON 7 Okt. - Para pengundi Pos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan membuang undi esok di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan Ibu Pejabat polis Daerah Port Dickson di sini bermula pukul 8 pagi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebanyak 4,602 undi pos telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut iaitu membabitkan 4,571 anggota tentera dan 31 anggota polis.

''Kita membuat keputusan untuk membuka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu banyak susah hendak dikawal.

''Sehubungan ini kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," katanya selepas meninjau proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri ejen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Wan Ahmad berkata, untuk proses undi pos esok hanya seorang wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan ejen calon boleh memantau keseluruhan proses tanpa halangan.

Menjawab satu soalan beliau berkata, keputusan sama ada pembuangan undi pos akan dibuat dalam masa sehari atau dua hari bergantung kepada keadaan.

''Untuk undi pos ini juga tarikh terakhir untuk dipulangkan kepada SPR ialah pada 11 Oktober sebelum pukul 5 petang. Ini adalah khas untuk anggota tentera yang menjadi pengundi tetapi berada di luar Port Dickson," katanya.

Ujar beliau, sekiranya undi pos lewat diterima oleh SPR dalam tempoh masa yang ditetapkan ia akan dimasukkan ke dalam peti lain dan ia tidak akan dikira.

Masalah semua kaum diselesai

SEREMBAN 7 Okt. - Pelbagai masalah rakyat membabitkan semua kaum di Port Dickson yang dibangkitkan dalam satu sesi dialog bersama pemimpin tiga hari lalu akan diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan semua masalah tersebut dengan segera termasuk permasalahan yang bakal mengambil masa.

"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera ke atas perkara yang boleh diselesaikan dengan segera.

"Ada masalah perlu masa untuk diselesaikan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2010 untuk dapat peruntukan, namun ia tetap diselesaikan demi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Jelas Mohamad, antara masalah yang memerlukan tindakan segera adalah membabitkan penduduk di Taman Eastern.

"Penduduk menyuarakan tentang masalah perparitan yang sempit dan tidak sesuai di kawasan mereka.

"Memandangkan pembangunan di kawasan itu semakin pesat jadi ia tidak sesuai dan ada yang sudah runtuh, jadi kita luluskan pembinaan parit baru lebih besar sepanjang 600 meter panjang," jelas beliau.

Tambah beliau, masalah perparitan di kawasan lain seperti Kampung Si Rusa yang dilaporkan penyebab banjir juga selesai dengan pembinaan parit baru kelak.

Mengenai masalah tanah perkuburan Cina di Kampung Si Rusa yang dikatakan semakin padat dan dijangka penuh dalam tempoh kurang dua tahun lagi, Mohamad menjelaskan, kerajaan negeri akan berunding dengan lembaga pengurusan kawasan tersebut bagi tindakan lanjut.

"Kita akan bantu dalam usaha pengambilan tanah kerana tanah rizab negeri memang tidak ada lagi di kawasan itu.

"Jadi jika ada kawasan atau tanah yang sesuai untuk diambil alih kita akan membantu lembaga pengurusan jirat Cina terbabit," katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, kerajaan negeri meluluskan permohonan pihak pengurusan kuil Mariamman di bandar Port Dickson untuk mendapatkan tanah seluas 0.16 hektar di kawasan berhampiran.

"Dulu ia tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sebelum berpindah ke kawasan baru dua tahun lalu. Jadi baru-baru ini pihak kuil memohon semula tanah itu kerana ia sudah dijadikan rizab sekolah.

"Kita sudah dapat kelulusan bahawa pihak Kementerian Pelajaran tiada apa-apa bantahan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada pihak kuil bagi digunakan sebagai dewan untuk pelbagai aktiviti mereka," katanya.

SPR jamin daftar pemilih Bagan Pinang bersih

PUTRAJAYA 7 Okt. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan daftar pemilih bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang adalah bersih.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, hasil semakan hari ini mendapati tiada nama pengundi yang wujud dua kali dalam daftar pengundi di Bagan Pinang.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneruskan semakan untuk mengenal pasti sama ada terdapat pengundi pos di Bagan Pinang yang turut disenarai dalam daftar pemilih di kawasan lain.

''Kita selepas ini akan menyemak sama ada terdapat pengundi pos di Bagan Pinang yang dibenarkan mengundi di kawasan lain seperti di daerah atau negeri lain.

''Apa yang penting ialah tiada seorang pun pengundi yang boleh mengundi dua kali di Bagan Pinang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pas bahawa terdapat pengundi pos di Bagan Pinang yang dibenarkan mengundi di dua kawasan berlainan.

Wednesday, October 7, 2009

Peniaga mahu bangunan lebih selesa

PORT DICKSON 6 Okt. - Para peniaga di Pasar Teluk Kemang di sini yakin hanya calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mampu memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Menurut mereka, di sebalik kemajuan dan pembangunan yang dikecapi penduduk di sini, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian terutama oleh wakil rakyat yang dipilih.

Fatimah Lassim, 58, yang telah berniaga di situ sejak lebih 30 tahun lalu berkata, banyak yang perlu diperbaiki di pasar ini lebih-lebih lagi soal menaik taraf tempat berniaga.

''Ruang niaga di sini sudah uzur dan banyak yang rosak. Saya berharap, ini mendapat perhatian kerajaan segera untuk memberi wajah baru kepada Pasar Teluk Kemang ini," katanya.

Dia yang nyata gembira dengan kehadiran Mohd. Isa turut mempelawa calon BN ini duduk seketika digerainya yang menjual nasi lemak dan kuih muih, sambil mengadu mengenai masalah yang dihadapinya sejak sekian lama.

''Tong sampah diletakkan terlalu dekat dengan gerai saya. Orang nak makan pun tak selesa. Kalau boleh, alihkanlah.

''Lagi satu, kalau dah jadi wakil rakyat, jangan lupa jenguk kami di pasar ini. Selalulah turun padang," katanya kepada Mohd. Isa sambil disambut penuh keriangan peniaga di situ.

Kata Fatimah, longkang yang berlubang juga perlukan perhatian kerajaan untuk dibaiki segera.

Sementara itu, Kamal Hisham Md. Nor, 35, penjual santan dan kelapa parut di situ sejak beberapa tahun lalu berkata, pasar itu sudah terlalu lama dan sampai masanya untuk didirikan bangunan yang lebih selesa.

Kata Kamal, kalau hujan lebat, tempat dia berniaga itu akan dimasuki air, longkang tersumbat dan ada ketikanya bekalan elektrik terganggu.

Peniaga ikan, Kang Ah Kau, 63, dan isterinya, Yoke Choo, 60, memberitahu dia berniaga di situ sejak 20 tahun lalu dan gembira dengan perhatian yang diberikan kerajaan.

''Memanglah ruang dalam pasar kecil dan sempit, tetapi saya percaya ia akan diberi perhatian.

''Kalau boleh sediakan ruang letak kereta lebih luas, tidaklah terlalu rapat dengan gerai," kata Ah Kau.

Isterinya pula ketika ditanya adakah mengenali calon BN, Yoke Choo berkata, dia mengenali Mohd. Isa sebagai bekas Menteri Besar.

''Dia baik dan mesra kepada semua. Kami kenal dia sebagai pemimpin berkebolehan," kata Yoke Choo.

Dalam pada itu, Mohd. Isa yang ditemui pemberita menjelaskan, masalah yang dibangkit oleh peniaga di pasar itu tentunya mendapat perhatian pihak berkuasa.

''Pasar ini sudah lama, tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk membaiki kerosakan," katanya.

Pasar Teluk Kemang menempatkan lebih 40 gerai yang menjual ikan, ayam, daging, sayur, kedai runcit serta gerai makan dan telah dibina kira-kira 30 tahun lalu.