Pages

Ads 468x60px

Friday, September 4, 2009

Kapal selam pertama negara tiba


TUANKU Mizan meninjau kapal selam KD TAR di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG - Setelah belayar merentasi lautan sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu, kapal selam pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman (TAR) melakar detik bersejarah apabila selamat tiba di jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah di sini pagi semalam.

KD TAR, salah satu kapal selam jenis Scorpene itu yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Zulhelmey Ithnain bersama 32 krew kapal berjaya mengemudi kapal selam itu dengan merentasi lautan melalui pelabuhan Jeddah, Arab Saudi; Djibouti, Somalia dan Cochin, India dalam tempoh 54 hari sebelum tiba di pangkalan negara kira-kira pukul 9.20 pagi semalam.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman antara 100 dan 200 meter itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya di kawasan-kawasan strategik pada 17 September ini.

Jurumudi kapal, Bintara Kanan Mohd. Jefri Zainor, 40, berkata, beliau berasa amat bangga kerana menjadi salah seorang anak kapal pertama negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene tersebut.

SKMM nasihat pemilik laman web lindungi daripada penggodam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), menasihatkan pemilik laman web Malaysia supaya mengemas kini dan melindungi laman web mereka daripada serangan penggodam.

Nasihat itu diberikan susulan laporan media tentang insiden laman web Malaysia diserang penggodam.

"Pemilik laman web Malaysia perlu mengemas kini dan melindungi aplikasi dan pelayan (server) laman web mereka dengan pek perkhidmatan bagi melindungi pelbagai kelemahan yang boleh dieksploitasikan penggodam untuk menjejaskan laman web mereka," kata SKMM dalam satu kenyataan.

SKMM berkata, insiden penggodaman kali pertama dikesan pada 31 Ogos dan sejak itu menjejaskan 125 laman web.

Katanya, penggodam itu menyisip ke laman web menerusi kerentanan yang dikenali di laman web, mengumumkan bahawa mereka telah melemahkan laman web tersebut.

Suruhajaya itu berkata, ia sudah memantau situasi tersebut menerusi Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM bagi pelbagai komen yang diposkan oleh penggodam di blog berkaitan, forum dan laman web perangkaian sosial.

Berdasarkan laporan daripada pemilik kepada laman webnya yang terbabit dengan insiden itu, tiada bukti selanjutnya yang menunjukkan bahawa terdapat aktiviti menjejaskan lain selain laman web yang disisip.

SKMM bekerjasama dengan mereka untuk mengemaskinikan laman web mereka dengan pek perkhidmatan terbaru bagi membaiki masalah itu dan mengalihkan laman web yang disisip tersebut.

Pemilik laman web dinasihatkan menghubungi SKMM sekiranya mereka mengesan lagi aktiviti penggodaman dalam laman web mereka, kata suruhanjaya itu. - Bernama

Thursday, September 3, 2009

Kerajaan tetapkan harga maksimum 18 barang terkawal




PUTRAJAYA 2 Sept. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 18 jenis barang harga terkawal pada musim hari raya bermula 13 hingga 27 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, barang harga terkawal itu ditetapkan berbeza mengikut 138 kawasan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kementerian menetapkan harga barang terkawal ini kerana kita tidak mahu peniaga menaikkan harga sesuka hati," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga jenis barang baru turut dijadikan barang kawalan pada musim perayaan kali ini iaitu ubi kentang import (Indonesia dan China), kacang tanah import dan bawang putih.

"Harga bawang putih dikawal kerana barangan tersebut telah meningkat harganya akibat harga import dari China yang tinggi pada masa ini memandangkan pengeluaran di sana berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kebanyakan harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan kali ini adalah sama berbanding tahun lalu kecuali harga bagi ayam, kubis bulat import dan tomato.

"Harga ayam ini lebih rendah di 114 kawasan kerana trend harga ayam ketika ini adalah stabil dan bekalan dijamin mencukupi berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Veterinar dan industri.

"Bagi kobis bulat import dan tomato juga ditetapkan lebih rendah masing-masing di 88 dan 100 kawasan disebabkan lambakan bekalan akibat peningkatan pengeluaran di ladang melebihi permintaan di pasaran," katanya.

Sementara itu, katanya, semua peniaga barang harga terkawal itu perlu memiliki lesen khas dan menggunakan plat tanda harga berwarna merah jambu serta wajib mempamerkan lesen mereka.

"Sebanyak 7,892 lesen telah dikeluarkan seluruh negara untuk musim perayaan Hari Raya Puasa tahun ini dan peniaga dinasihatkan mematuhi syarat-syarat lesen serta tidak menjual barang harga terkawal ini melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya.

Wednesday, September 2, 2009

'Buang politik tak matang'

Najib mahu pemimpin amal perbincangan berdasar logik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik lebih matang demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Perdana Menteri berkata, daripada terlalu kerap terperangkap dengan kata-kata retorik yang terburu-buru dan kesat, mereka sepatutnya beralih kepada perbincangan berdasarkan logik.

"Untuk berdepan cabaran serta perubahan, negara amat memerlukan kekuatan dan semangat nenek moyang kita yang mendorong mereka ke arah mendapatkan kemerdekaan.

"Semangat seperti yang ditunjukkan merekalah yang kita perlukan bagi masa depan lebih baik bagi generasi seterusnya. Cara mereka mencapainya adalah dengan bekerjasama dalam nada serentak," katanya dalam blog 1Malaysia bertajuk Renungan Pada Hari Merdeka di sini, semalam.

Najib juga berkata, satu ciri membezakan Malaysia dan yang membuat ia berbeza ialah kepelbagaian masyarakat di negara ini.

"Kepelbagaian ini mengukuhkan negara kita. Ini diperlihatkan dalam cara kita membangun dan dalam persaingan ekonomi kita," katanya dalam jawapannya kepada soalan bagaimana beliau menilai Malaysia dari segi hubungan kaum, pembangunan, persaingan ekonomi dan kematangan berpolitik selepas 52 tahun merdeka.

Kepada soalan lain, Najib berkata, sejak awal negara sentiasa menekankan kepada kerjasama membina masa depan yang lebih cemerlang serta dikongsi bersama.

"Kita juga tahu ada yang akan menggunakan perbezaan untuk memecahbelahkan kita. Bila kita berada dalam keadaan terbaik, kita menentang mereka yang cuba memporak-perandakan kita.

"Pada masa yang lain pula, kita tidak sentiasa dapat berpegang pada cita-cita itu. Ia adalah mengenai perpaduan dan berdiri sebagai satu bangsa yang bersatu dan merdeka.

"Marilah kita mengingatkan diri kita betapa beruntungnya kita mempunyai rakyat Malaysia lain daripada segenap lapisan kehidupan dan budaya, sama-sama berganding tangan untuk hari esok yang lebih cemerlang," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai cabaran bagi menyampaikan mesej 1Malaysia kepada pelbagai kumpulan dan masyarakat di Malaysia secara berkesan.

Najib berkata, satu daripada matlamat 1Malaysia adalah untuk menggalakkan perbincangan terbuka dan jujur serta reaksi khalayak ramai sejak pembentukan negara yang memperlihatkan betapa ia terabai.

"Semua ini adalah isu penting kepada rakyat. Tetapi, jika anda lihat kepada apa yang ingin dicapai 1Malaysia, anda akan dapati persamaan dengan apa diusahakan oleh pemimpin yang mempelopori negara kita," katanya.

Mengenai kenangan kemerdekaan yang benar-benar bermakna kepada beliau, Perdana Menteri berkata: "Sebagai anak kepada seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada Perdana Menteri lain, kesetianegaraan dan berkhidmat kepada negara sentiasa menjadi pengaruh yang sangat kuat.

Sementara itu, pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Al-Hikmah Kuang, dekat sini, semalam, Najib berkata, gagasan 1Malaysia adalah bersifat Islamik dengan berteraskan keadilan kepada semua pihak, termasuk bukan Islam.

Katanya, matlamat dan pengisian 1Malaysia adalah untuk menegakkan keadilan kepada rakyat tanpa sebarang pilih kasih.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat tarawih dengan penduduk kawasan berkenaan. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.