Pages

Ads 468x60px

Wednesday, December 1, 2010

Pilihan Raya Negeri Sarawak RM45 juta

PUTRAJAYA 30 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk mengendalikan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan sebelum Julai 2011.

Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun peruntukan itu tidak termasuk kos penyediaan kawalan keselamatan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain terlibat.

"Belum ada petunjuk lagi bila tarikh pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini akan diadakan tetapi SPR sudah bersedia, tunggu wisel (pembubaran DUN) sahaja.

"Peruntukan RM45 juta itu nanti melibatkan semua kos berkaitan SPR termasuk keperluan logistik seperti pengangkutan perahu, helikopter, kereta dan Land Rover," kata beliau ketika dihubungi di Sandakan hari ini.

Abd. Aziz berada di Sandakan pagi ini setelah menerima taklimat mengenai post mortem pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang dirumuskan sebagai berjalan dengan lancar.

Bahang pilihan raya Sarawak kian terasa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika pulang dari Mekah 24 November lalu memberitahu dirinya sudah mendapat 'inspirasi' mengenai tarikh pilihan raya berkenaan.

Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan sama ada pada Mac atau April.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.

Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

PAS tidak setuju Kit Siang jadi TPM

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhak untuk menentukan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang berkuasa, kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib.

Beliau berkata, PAS turut bersedia memegang jawatan Ketua Pembangkang seperti yang dicadangkan bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini.
“PAS sudah berjuang lama termasuk ketika Anwar masih di dalam UMNO. Kita lebih bersedia menjadi ketua pakatan pembangkang dan mengetuai kerajaan,” katanya kepada New Straits Times (NST).
Dalam temubual dengan NST pada 13 November lalu, Zaid menamakan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebagai pemimpin berpotensi menerajui pakatan pembangkang.

Ahad lalu, sebuah akhbar harian berbahasa Melayu melaporkan Anwar memaklumkan kepada wartawan Cina beliau mengesahkan Lim akan menjadi Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pakatan pembangkang bersetuju melantik Anwar sebagai Perdana Menteri dan
Anwar sebelum ini pernah berkata beliau akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri masing-masing untuk PAS dan DAP jika pembangkang memerintah.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam temubual itu.

Harun berkata, pakatan pembangkang belum pernah berbincang atau memutuskan Timbalan Perdana Menteri pada masa depan, malah menganggapnya tidak perlu dibincangkan.

Katanya, masih terlalu awal untuk menjanjikan DAP jawatan tertinggi dalam kerajaan memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 belum berlangsung.

“Anwar tidak mempunyai hak. Hanya keputusan pilihan raya boleh menentukan siapa akan dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Pelik ketuanan Melayu ditolak

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Dua bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang membuat cabaran itu berkata, beliau berasa pelik dengan tindakan Anwar yang menolak ketuanan Melayu kerana beliau merupakan pejuang utama konsep itu sewaktu menjadi Ketua Pemuda sehingga ke Timbalan Presiden UMNO.

"Mereka (Anwar dan Azizah) tidak layak menerima darjah kebesaran itu. Anwar begitu hipokrit kerana beliaulah yang mewujudkan konsep ketuanan Melayu sewaktu bersama UMNO dahulu.

"Tetapi kini, dia menolak ketuanan Melayu. Adakah Anwar berasa kesal kerana tidak lagi berkuasa dan mahu menghapuskan konsep tersebut?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap segelintir pihak yang berhijrah ke negeri itu, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan juga peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.

Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.

Zahrain berkata, sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, ramai kroninya mendapat layanan istimewa atas dasar Melayu termasuk anak emasnya yang kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Masa dia (Anwar) berkuasa dahulu banyak kawan dia yang mendapat keistimewaan atas dasar orang Melayu. Tetapi kini bila tidak lagi berkuasa konsep yang diperjuangkan olehnya itu ditentang. Ini pemimpin yang hipokrit dan cakap tak serupa bikin," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut mencabar Anwar menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterimanya daripada raja-raja Melayu.

"Dulu ketuanan Melayu cukup kuat dipertahankan, tetapi hari ini Anwar mempertikaikan konsep itu. Ini satu politik cakap tidak serupa bikin.

"Kenapa sekarang nak pertikai selepas memperkayakan diri, keluarga, kawan-kawan dan kroni-kroninya melalui konsep tersebut. Kalau Anwar ada maruah dia harus serah balik semua anugerah dan darjah kebesaran yang diterimanya," katanya.

Beliau berkata, Anwar juga tidak layak untuk menerima anugerah dan darjah kebesaran kerana Penasihat PKR itu merupakan bekas banduan.

"Dia (Anwar) sendiri sudah tidak layak kerana merupakan bekas banduan. Saya ingat masa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dipenjarakan, Anwar antara orang yang kuat mendesak supaya ditarik balik darjah kebesaran diterima Rahim kerana dipenjarakan," katanya.