Pages

Ads 468x60px

Tuesday, December 2, 2008

SABAH DAN SARAWAK : TANAH NCR DIIKTIRAF JIKA ADA BUKTI

Kerajaan nafi akan rampas hak milik penempatan diduduki sebelum 1958 

SAMARAHAN: Kerajaan negeri akan mengiktiraf kedudukan tanah hak milik adat (NCR) sekiranya ada bukti sahih menunjukkan tanah berkenaan diusahakan dan diduduki penduduk sebelum 1958. 

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata dengan adanya bukti, ia akan memudahkan kerajaan mempertimbangkan urusan berkaitan tanah berkenaan.

Katanya, tindakan segelintir pihak yang melemparkan dakwaan kerajaan akan merampas tanah NCR milik rakyat sesuka hati adalah tidak berasas sama sekali. 

"Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya merampas tanah NCR sekiranya ada bukti sahih menunjukkan mereka adalah pemilik asal tanah berkenaan. 

"Mereka yang mengambil kesempatan memainkan isu ini cuma mahu membuat propaganda semata-mata bagi kepentingan peribadi," katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Cek Pampasan dan Surat Hak Milik Tanah di Dewan Masyarakat Tebedu di sini, kelmarin.

Seramai 93 penduduk sekitar Kampung Tebedu menerima pampasan sejumlah RM872,293.98 membabitkan 24 lot tanah NCR berkeluasan 20.97 hektar yang diambil bagi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu beberapa tahun lalu. 

Hadir sama, Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan, Datuk Micheal Manyin Jawong; Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedup, Frederick Bayoi Manggie. 

Awang Tengah berkata, tanah NCR yang diambil bagi digunakan untuk pembangunan kemudahan infrastruktur, kerajaan Negeri membayar pampasan mengikut kadar semasa nilai tanah. 

"Proses mengambil tanah dilakukan mengikut undang-undang yang ditetapkan selain kerajaan perlu mengenal pasti apakah jenis projek yang akan dibangunkan sebelum kawasan berkenaan diambil.

"Pengambilan tanah bagi aktiviti pembangunan infrastruktur bukan percuma sebaliknya penduduk dibayar pampasan yang jauh menguntungkan berbanding tanah yang tidak diusahakan tanpa kemudahan infrastruktur yang baik," katanya. 

Beliau berkata, konsep baru pembangunan tanah adat sekarang ini memerlukan kerajaan memajukan sesebuah kawasan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya, sekolah, klinik, sistem perparitan yang lebih teratur. 

Katanya, tanah di sekeliling sesuatu kawasan NCR tanpa kelengkapan kemudahan infrastruktur tidak akan dapat dibangunkan selain tidak mempunyai nilai komersil.

*Petikan daripada Berita Harian 2/12/2008