Pages

Ads 468x60px

Thursday, November 5, 2009

Hubungan ketua masyarakat, kerajaan perlu kukuh

SRI AMAN 4 Nov. - Setiap ketua masyarakat di bahagian ini perlu mengukuhkan hubungan mereka dengan kerajaan bagi mempermudahkan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berkata, jalinan kerjasama itu amat penting berikutan ketua masyarakat atau ketua kaum itu merupakan orang tengah kepada kerajaan dan rakyat.

Menurutnya, ketua kaum dan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga merupakan pemain utama dalam menerangkan setiap pelan pembangunan kerajaan kepada penduduk di bawah jagaan mereka.

''Sehubungan itu, setiap ketua kaum itu perlu menyedari bahawa sekiranya mereka gagal meyakinkan penduduk mengenai dasar kerajaan, maka adalah sukar untuk kita (kerajaan) melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam JKKK Dan Biro Wanita Rumah Panjang Micheal John Sanggop, Kampung Entebar bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Doris Brodie.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu, beliau mahu setiap ketua masyarakat di sesuatu kawasan itu supaya lebih bertanggungjawab dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap amanah yang diletakkan di bahu mereka.

Katanya, perkara itu penting kerana setiap masalah yang membabitkan pembangunan penduduk perlu diajukan kepada kerajaan untuk diselesaikan.

''Justeru, setiap ketua kaum itu perlu lebih kerap berkomunikasi dengan setiap ketua jabatan kerajaan demi memudahkan urusan yang berkaitan dengan program pembangunan penduduk di kawasan masing-masing," jelas beliau.

Sementara itu, Harden pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada JKKK Micheal John dan RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

0 comments:

Post a Comment