Pages

Ads 468x60px

Thursday, November 5, 2009

PM tentu status Bumiputera

KUCHING: Keputusan menentukan status anak hasil perkahwinan campur pasangan Bumiputera dan bukan Bumiputera kini di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.Bercakap kepada media semalam, Jabu memberitahu beliau telah mengemukakan penjelasan bertulis kepada Najib dua hari lepas mengenai perkara itu dengan harapan Perdana Menteri dapat menyelesaikan isu tersebut yang kini menjadi tumpuan umum.
Bagaimanapun, menurutnya, Najib masih belum menjawab suratnya itu yang dihantar dua hari lepas. “Saya meminta Perdana Menteri mempertimbang untuk melihat serta menyelesaikan beberapa perkara yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Saya percaya beliau dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik demi kepentingan konsep 1Malaysia,” katanya.

Jabu juga yakin Najib dapat memahami dengan lebih mendalam isu tersebut dan memperkenalkan penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan kedudukan rakyat negeri ini sebagai rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas masalah Marina Undau, yang gagal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi atas alasan dia bukan Bumiputera berdasarkan Artikel 161a Perlembangaan Persekutuan.

Marina anak kepada pasangan Iban (ayah) dan Cina (ibu) mendapat keputusan cemerlang, 9A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Bagaimanapun, permohonannya mengikuti program matrikulasi ditolak atas alas an dia bukan Bumiputera.

Jabu yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata Najib telah banyak berusaha bagi mencapai konsep 1Malaysia dan sudah tentu beliau tidak mahu masalah dihadapi Marina turut dialami rakyat Malaysia yang lain.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan meminta Artikel 161a dipinda, Jabu berkata beliau bukan orang yang layak untuk mengulas mengenai perkara itu.

“Pendirian kerajaan negeri amat jelas, lebih-lebih lagi dari segi pemahaman dan tafsiran perlembagaan negeri dan persekutuan, ia tidak sama.

“Kita akan menjelaskan perkara ini kepada Perdana Menteri agar beliau lebih faham mengenai kedudukan serta masalah kita,” katanya.

Secara peribadi, katanya, ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah tersebut sama ada menerusi peraturan pentadbiran atau pindaan perlembagaan.

“Tidak kira apa pun kaedahnya, perkara paling penting ialah mencapai matlamat yang kita inginkan dan saya mengalu-alukan mana-mana cara asal mencapai tujuan yang diinginkan,” katanya.

Beliau juga memberitahu akan mengambil tindakan susulan jika perlu demi kepentingan 1Malaysia dan rakyat Sarawak.

0 comments:

Post a Comment