Pages

Ads 468x60px

Thursday, March 11, 2010

Dua ahli Exco kerajaan Kedah gugur

ALOR SETAR 10 Mac – Dua orang ahli Exco kerajaan negeri Kedah digugurkan dan diganti dengan muka baru dalam rombakan yang berkuat kuasa hari ini.

Mereka yang tidak dilantik semula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh yang sebelum ini memegang portfolio Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pembangunan Usahawan. Seorang lagi ialah ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri.

Kedua-dua mereka sempat memegang jawatan Exco kerajaan negeri selama dua tahun.

Dua muka baru yang tersenarai ialah ADUN Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad yang sebelum ini merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Berikutan penyenaraian muka baru dan pelantikan semula Exco itu, berlaku sedikit perubahan dan tambahan pada portfolio yang melibatkan beberapa penyandang.

Istiadat melafaz ikrar menyimpan rahsia dan upacara menandatangani surat sumpah Exco terbabit berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Sultan Kedah kemudian berkenan mengurniakan tauliah pelantikan kepada semua anggota terlibat yang akan berkhidmat untuk tempoh setahun.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan memberitahu, beliau tidak membuat pelantikan semula dua penyandang Exco kerajaan negeri itu selepas memantau prestasi mereka selain mendakwa mempunyai strategi tersendiri mengenai keputusan berkenaan.

Katanya, semua yang dilantik merupakan Exco yang sesuai dan bagus tetapi rombakan dilakukan kerana ingin mencari yang lebih bagus.

“Sebab itu kita rombak setahun sekali, biasalah tu,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah itu di sini hari ini.

Azizan berharap barisan terbaru Exco kerajaan negeri itu akan lebih produktif dan aktif dalam menjalankan tugas. Menurutnya, bagi meningkat dan mengemaskan fungsi Exco, beliau meminta kesemua mereka mengemukakan perancangan masing-masing dan memberi laporan mengenai perkembangannya pada setiap bulan.

Katanya, beliau dan beberapa pihak lain kemudian akan memberikan pandangan terhadap laporan Exco tersebut selain memantau prestasi mereka dari semasa ke semasa.

Mengenai kekosongan jawatan Timbalan Speaker DUN selepas penyandangnya kini dilantik menjadi Exco, Azizan memberitahu, ia bakal diputuskan pada sidang DUN akan datang.

0 comments:

Post a Comment