Pages

Ads 468x60px

Monday, March 8, 2010

Penan dibantu dapat MyKad

LONG MAKABAR (Ulu Baram): Masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri di lima perkampungan di Ulu Baram termasuk empat penempatan Penan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Miri Mohd Syafiee Mohamad Ariffin berkata, empat penempatan Penan itu ialah Long Jekitan, Long Jee, Long Tikan dan Ba Purau serta perkampungan Kenyah di Long Makabar.

Beliau berkata, sebanyak 281 permohonan diterima dan daripada jumlah itu permohonan daftar lewat pendaftaran MyKad (65), daftar lewat kelahiran (142), pendaftaran 12 tahun (15), gantian (23), cabutan sijil lahir (33) dan selebihnya permohonan ketiadaan MyKad dan kematian.

“Bagi Long Jekitan, Long Tikan dan Long Jee kita menerima 183 permohonan, Ba Purau 72 diikuti Long Makabar 26 permohonan.

“Bagi permohonan kelahiran lewat, 12 tahun dan gantian, kita akan hantar semula kepada mereka selewat-lewatnya Jun tahun ini manakala permohonan pendaftaran lewat MyKad mengambil masa lebih lama,” katanya kelmarin.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Long Makabar selepas mengetuai Operasi Pendaftaran Bergerak UKB JPN Bahagian Miri ke Long Jekitan, Ba Purau dan Long Makabar yang bermula 27 Februari hingga 4 Mac lalu.

Ujar Syafiee, selepas operasi serahan itu, JPN akan mengadakan kaunter bergerak dua bulan sekali seperti di Bario dan Long San.

“Kaunter bergerak bagi menyelesaikan permohonan seperti kelahiran baru, gantian MyKad hilang juga akan diwujudkan.

“Ini bagi memudahkan penduduk di Baram agar tidak perlu turun ke Marudi atau Miri,” katanya.

Mengulas operasi itu, beliau berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama Unit Mahkamah Bergerak Miri, polis dan media tempatan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ketiadaan dokumen khususnya di kawasan Baram.

“Kita diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan masalah penduduk tiada dokumen dan setahun menyelesaikan yang ada sijil lahir tetapi tiada MyKad.

“Justeru kita terpaksa ubah pendekatan operasi iaitu dari kampung ke satu kampung berbanding sebelum ini satu pusat operasi,” katanya.

Tambahnya, operasi yang sama akan diadakan di penempatan Penan di Batu Bungan dan Long Iman di Mulu diikuti Long Adang di Limbang serta operasi serahan dokumen pengenalan di enam kampung di sekitar Long Kevok.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Miri Muhamad Safuan Azhar berkata, kerjasama ini membantu mempercepatkan permohonan untuk mendapatkan dokumen pengenalan terutama di daerah Baram yang masih kritikal.

“Terdapat beberapa kes seorang penduduk Penan mempunyai identiti berbeza dalam dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan kad kesihatan.

“Selain itu, terdapat kes penipuan identiti di mana rakyat asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan mengambil kesempatan itu untuk memohon kerakyatan selain mendakwa mereka penduduk asal,” katanya.

Bukan itu sahaja menurut Safuan, baru-baru ini terdapat kes di mana enam warga asing terdiri daripada empat warga Pakistan dan dua Indonesia (Bugis) telah mengemukakan permohonan untuk diiktiraf sebagai rakyat tempatan.

“Kes ini berlaku masing-masing melibatkan dua lelaki Pakistan yang memohon kerakyatan di Long Sayan, dua lagi warga Pakistan di Long Kevok dan dua warga Indonesia di Long Latei, Baram.

“Setakat ini belum ada tindakan diambil, namun saya difahamkan jabatan terbabit akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment