Pages

Ads 468x60px

Monday, October 22, 2012

SIKAP MENCINTAI ALAM SEKITAR PERLU DITERAP DALAM DIRI MURID


SRI AMAN: Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi berkata, sikap cintakan alam sekitar perlu diterap dalam diri murid-murid ke arah mewujudkan kehijauan sekolah menerusi konsep Sekolah Dalam Taman.

Beliau berkata, sikap berkenaan adalah amat penting demi melahirkan insan sekolah yang cintakan keindahan flora bagi melengkapkan pemahaman sains botani secara praktikal dalam diri masing-masing.

Penjagaan struktur ekologi kini kian terancam disebabkan aliran pembangunan dan pemusnahan tidak seimbang terhadap biodeversiti alam semula jadi kita, ujarnya.
“Kesedaran mengenai isu ini perlu disemai dalam diri anak-anak muda kita dengan menerapkan semangat kecintaan alam sekitar dan tanggungjawab di peringkat sekolah,” katanya.

Whelton berkata demikian ketika mewakili Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang merasmikan Projek Alam Sekitar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat, Sri Aman baru-baru ini.

Projek Alam Sekitar  itu dianjurkan  menerusi aktiviti penanaman sayur-sayuran, bunga dan buah-buahan yang melibatkan warga sekolah dan penduduk kampung di kesemua kawasan lapang SK Tanjung Bijat itu.

Selain itu penglibatan para murid dalam Projek Alam Sekitar juga adalah amat penting bagi menggalak golongan tersebut menceburi sektor berasaskan pertanian komersial selepas ini.
Whelton berkata, projek ini juga dapat membina satu pemahaman yang jelas tentang nilai flora yang pelbagai dalam sudut positif di samping menjana tindakan drastik tentang susunan kepentingan ekosistem terhadap kehidupan pada masa akan datang.

“Saya berharap projek tersebut dapat menyedarkan kita bahawa manusia berada di tengah-tengah kitaran ekologi yang saling berkaitan antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Guru Besar SK Tanjung Bijat Fadzli Mohd Edon, Penolong Kanan 1 SK Tanjung Bijat Thomas Sumbang Jilom, Yang Dipertua PIBG SK Tanjung Bijat Manca Luchang, Kaunselor Jubit Banda dan para tuai rumah dari kawasan Tanjung Bijat.

0 comments:

Post a Comment