Pages

Ads 468x60px

Friday, July 3, 2009

KERAJAAN TIDAK PILIH KASIH

KUCHING 2 Julai – Kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih dalam menghulur wang ihsan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Bagaimanapun, pemohon mesti memenuhi kriteria yang diperlukan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, terdapat rungutan daripada penduduk yang tidak memperoleh bantuan ekoran senarai nama mereka tercicir meskipun kesilapan itu bukan daripada kerajaan.

Menurutnya, kerajaan melalui Pejabat Residen dan barisan kepimpinan kampung telah sedaya upaya mencari serta memantau nama penduduk yang terjejas dengan bencana itu enam bulan lepas agar mereka yang layak akan memperoleh bantuan.

‘‘Mangsa banjir diminta tidak membangkitkan isu pilih kasih dan perbandingan yang boleh menyebabkan pemberian bantuan wang ihsan tidak ada penghujungnya.

‘‘Mangsa banjir yang tercicir nama mereka daripada senarai yang diproses pihak berkuasa sepatutnya tidak menyuarakan rasa tidak puas hati.

‘‘Sedangkan kerajaan prihatin dan bersimpati dengan menyediakan peruntukan dana RM34 juta bagi seluruh negeri untuk mengurangkan beban mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada 1,337 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang dan Tupong di Dewan Suarah di sini semalam.

Daud berkata, ekoran jumlah mangsa terlalu ramai mungkin menyebabkan ada nama yang tercicir, namun pihaknya akan cuba memohon semula kepada kerajaan pusat untuk diberi pertimbangan.

Katanya, jangan kelak apabila nama yang tercicir ini diluluskan permohonannya, tiba-tiba timbul pula isu senarai nama tertinggal dan jika keadaan ini berlarutan maka isu bantuan wang ihsan tidak akan tamat dengan kerajaan akan terus dipersalahkan.

0 comments:

Post a Comment