Pages

Ads 468x60px

Monday, August 17, 2009

Bersatu dengan semangat 1M’sia

Penyatuan rakyat di bawah konsep 1Malaysia akan jadi pemacu kepada negara memenuhi impian pembangunan yang dirancang

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yakin rak-yat Malaysia tidak akan dibuli sekiranya mereka bersatu di bawah semangat 1Malaysia.

Bercakap merasmikan Kempen Menggalak Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sarawak di pekarangan tempat letak kereta kompleks membeli-belah Boulevard semalam, Dr Chan berkata, penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah konsep 1Malaysia akan menjadi pemacu kepada negara memenuhi impian pembangunan yang dirancang.

“Tiada siapa pun yang boleh buli kita kerana kita memang 1Malaysia. Kita berjuang demi Malaysia. Kita membangun demi Malaysia dan kita sukses demi Malaysia.

“Kalau tidak kita akan sakit (berpecah). Kita adalah satu Malaysia, satu perpaduan, satu prospek dan satu impian,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta generasi muda untuk terus melaungkan semangat 1Malaysia kerana merekalah yang bertanggungjawab menjaga dan memacu pembangunan politik, sosial dan ekonomi rakyat dan negara.

Selain itu, generasi muda juga perlu berasa bangga dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme dan cintakan negara

Terdahulu, Dr Chan ber-kata, sikap bertolak ansur, berkompromi, hormat menghormati dan saling faham memahami adalah aset utama rakyat kerana tanpanya, negara tidak akan mencapai impian dan merealisasikan Wawasan 2020.

“Pengorbaan pejuang-pejuang kemerdekaan pada masa lampau tidak perlu kita lupakan.

“Perjuangan ini perlu diteruskan oleh pemimpin masa kini demi masa depan dan mengekalkan kemerdekaan ini.

“Para pemimpin perlu bersama-sama memikirkan kepentingan nasional dan sentiasa bekerjasama dalam apa jua bidang.

“Jalinan kemuafakatan ini membolehkan Malaysia sentiasa makmur, rakyatnya hidup aman dan damai,” jelasnya.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, Dr Chan meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, premis kerajaan dan taman sebagai melambangkan identiti rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Beliau mencadangkan agar setiap premis atau bangunan disediakan tempat untuk meletakkan bendera.

Sebagai negara merdeka, rakyat perlu mengukuhkan kerjasama, pengorbanan dan bersama menikmati kemakmuran negara untuk melambangkan kejayaan semangat 1Malaysia.

Seramai 1,000 penduduk di sini iaitu dari kawasan Rukun Tetangga (RT) mengambil bahagian dalam aktiviti semalam yang bermula seawal jam 6.00 pagi yang turut disertai lebih 300 kenderaan terdiri daripada kereta dan motosikal berhias.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Rajali Mudin dan Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Sebastian Ting.

0 comments:

Post a Comment