Pages

Ads 468x60px

Thursday, December 31, 2009

Kelantan kena bayar RM800j

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan kerajaan Kelantan membayar pampasan lebih RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan kerana melanggar beberapa perjanjian yang dimeterai kedua-dua pihak.

Pampasan yang diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Hussin itu, dipercayai antara yang terbesar pernah diputuskan bagi kes saman sivil di negara ini.

Jumlah pampasan itu merangkumi lima jenis ganti rugi, termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat itu dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas (RM13.6 juta), bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 (RM240 juta) dan kos berjumlah RM200,000.


Syarikat berkenaan, Timbermine Sdn Bhd, menyaman kerajaan Kelantan pada 2004 kerana menghalangnya daripada menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan yang diluluskan.

Menurut fakta kes, syarikat itu menerima konsesi pembalakan membabitkan kawasan seluas 204,000 hektar daripada Kerajaan Pas Kelantan pada 1964 sebelum keluasan itu dikurangkan kepada 112,000 hektar.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa tidak dapat menjalankan aktiviti pembalakan kerana kerajaan negeri ketika itu enggan mengeluarkan permit keselamatan yang diperlukan, sedangkan konsesi itu terletak dalam kawasan keselamatan di Hulu Kelantan.

Dua pihak terbabit kemudian bersetuju menandatangani satu perjanjian usaha sama membabitkan kawasan 112,000 hektar itu dengan kerajaan negeri menguasai 70 peratus, manakala Timbermine 30 peratus.

Namun, kerajaan negeri didakwa melanggar perjanjian itu apabila tidak membenarkan Timbermine menjalankan pembalakan di kawasan yang dimilikinya menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar.

Syarikat terbabit sudah membuat pelaburan awal dengan membina beberapa kilang memproses kayu balak dan mengimport mesin yang akhirnya tidak dapat beroperasi, selain ada yang terkandas di pelabuhan. Pekerja yang diambil juga terpaksa diberhentikan selepas menunggu hampir enam tahun.

Ketika keputusan pampasan itu diumumkan, tiga wakil syarikat terbabit berada di galeri awam mahkamah berkenaan, selain dua peguam yang mewakili Timbermine dan timbalan pendakwa raya yang mewakili kerajaan negeri.


Sumber dari Berita Harian

0 comments:

Post a Comment