Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 25, 2010

Kerajaan tak ambil tanah rakyat

SRI AMAN 23 Feb. - Kerajaan tidak pernah sama sekali mengambil alih tanah rakyat di negeri ini meskipun surat hak milik tanah mereka tamat tempoh.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd. Naroden Majais berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bagi mengurangkan pengaruh kerajaan terhadap rakyat.

Menurutnya, isu seumpama itu cuba digunakan oleh pihak berkenaan bagi memburuk-burukkan kerajaan untuk menarik perhatian rakyat menjelang pilihan raya negeri akan datang.

''Itu bukan dasar kerajaan negeri untuk mengambil alih tanah rakyat sekiranya surat hak milik tanah mereka tamat tempoh seperti yang didakwa oleh pihak tertentu pada masa ini.

''Kerajaan sebaliknya telah bertimbang rasa dengan rakyat sebelum ini dengan membenarkan mereka memperbaharui surat hak milik tanah tanpa mengira waktu di samping bayaran premium tanah secara ansuran," katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman di sini hari ini.

Dalam pada itau, Mohd. Naroden berkata, surat hak milik tanah rakyat mungkin tidak akan diperbaharui semula sekiranya tanah terbabit termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan selepas ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggunakan saluran atau prosedur yang sah terhadap tanah rakyat yang termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan untuk pembayaran wang pampasan kepada pemilik itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar serta terpengaruh dengan hasutan pihak lain berhubung isu berkenaan.

''Rakyat terutamanya pemilik tanah harus berpandangan lebih jauh untuk menentukan masa depan ekonomi dan pendidikan keluarga masing-masing selepas ini.

''Keselesaan hidup rakyat akan dapat dicapai sekiranya projek pembangunan dilaksanakan berdekatan dengan penempatan rakyat iaitu di atas tanah milik mereka," ujarnya.

Pada majlis yang sama, Mohd. Naroden telah menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM430,171.89 kepada 46 orang penerima dan surat hakmilik tanah kepada 77 orang.

0 comments:

Post a Comment