Pages

Ads 468x60px

Tuesday, September 7, 2010

Zaid lahirkan kekecewaan, rela 'dikuburkan' ahli PKR

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang berhasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu rela 'dikuburkan' oleh ahli-ahli parti itu.

Menurut Zaid, pendiriannya untuk menawarkan diri bertanding jawatan kedua tertinggi PKR itu dibuat atas prinsip politiknya yang akan terus menyokong perjuangan berasaskan kebenaran serta menolak kepalsuan.

Justeru, Zaid mempersoalkan ugutan sebahagian ahli Parlimen PKR yang mahu 'menguburkannya' sedangkan para pemimpin kanan parti berkenaan sendiri pernah menyatakan sokongan mereka terhadapnya selama ini.

"Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini. Semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan.

"Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada UMNO," tegasnya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi blognya hari ini.

Zaid dilihat terpanggil mengeluarkan kenyataan itu kerana mendakwa terdapat serangan peribadi terhadapnya dari dalam PKR sejak beliau mengumumkan hasrat bertanding jawatan tersebut minggu lalu.

"Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20,000 kepada cabang yang mencalonkan saya dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan PKR," jelasnya.

Dalam kenyataan itu juga, Zaid sempat berkempen dengan meminta sokongan para perwakilan terhadap gandingan Anwar Ibrahim-Zaid Ibrahim sambil mengatakan perjuangannya dalam politik adalah untuk membentuk sebuah negara yang lebih adil.

Zaid berkata: "Kalau nasib saya seperti Pak Ghafar (Allahyarham Tun Ghafar Baba) pun saya rela. Dalam perjuangan politik saya, sifirnya mudah. Kalau benar saya sokong, kalau palsu saya bantah."

Tun Ghafar Baba gagal menerima pencalonan minimum untuk mempertahankan jawatan nombor dua dalam UMNO pada 1993.

0 comments:

Post a Comment