Pages

Ads 468x60px

Thursday, December 18, 2008

2 akta baru bukti BN kuat, disokong

Kelulusan tanpa pinda Perlembagaan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, dua rang undang-undang penting berkaitan usaha membasmi rasuah dan pelantikan kehakiman yang diluluskan di Dewan Rakyat, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN), kuat dan mendapat sokongan ramai.

Sambil melahirkan rasa syukur Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 diluluskan semalam dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 yang diluluskan kelmarin, Perdana Menteri berkata, ia kejayaan BN dalam usaha membasmi rasuah dan meningkatkan lagi integriti sistem kehakiman serta keyakinan rakyat.

"Ini memang penting dan saya sangat gembira kerana ramai orang beranggapan kita tidak akan dapat meluluskan rang undang-undang sebegini kerana menganggap kerajaan ini lemah dan tiada kekuatan.

"Orang beranggapan rang undang-undang ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan dan BN tidak ada majoriti dua pertiga. Habis macam mana hendak meluluskannya tanpa meminda Perlembagaan? Alhamdulillah, rang undang-undang ini diluluskan tanpa meminda Perlembagaan.

"Apabila kita berjaya menghapuskan rasuah dan meningkatkan kewibawaan sistem kehakiman, ini akan memberi kedudukan lebih baik dari segi daya saing dan akan dapat menarik pelabur ke Malaysia kerana negara kita sudah tidak ada gejala rasuah dan mereka yakin dengan sistem kehakiman kita," katanya ketika ditemubual secara lintas langsung menerusi Warta Perdana TV1, di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008, yang bertujuan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK). Suruhanjaya itu bertanggungjawab terhadap pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara.

Ia akan dinamakan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 selepas diluluskan, mengandungi 37 fasal dan lima bahagian.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 yang turut membabitkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997, diluluskan kelmarin.

Kedua-dua rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri, Rabu lalu.

Abdullah berkata, penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah membuktikan kerajaan serius untuk menghapuskan gejala rasuah.

* Petikan daripada Berita Harian

0 comments:

Post a Comment