Pages

Ads 468x60px

Thursday, December 18, 2008

Hak perlembagaan Sarawak tidak terjejas

KUCHING 17 Dis. – Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) tidak akan menghakis hak perlembagaan Sarawak dalam pelantikan hakim kerana sistem kehakiman sedia ada mengenai pelantikan hakim dari negeri itu akan dikekalkan selepas rang undang undang SPK diluluskan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghubungi beliau pagi ini untuk memberikan jaminan rang undang-undang itu tidak akan menghakis hak perlembagaan yang diberikan kepada negeri itu di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai kadudukan perlembagaan dalam pelantikan hakim-hakim, Sarawak tidak akan terjejas dengan undang-undang baru itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Walaupun masih belum membaca isu kandungan rang undang-undang itu, Taib yakin rang undang-undang itu akan menambaik baik sistem pelantikan hakim kerana suruhanjaya itu akan memainkan peranan serupa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Tidak banyak perubahan kecuali proses pelantikan, ia lebih profesional dan tersusun,” katanya.

Menurut beliau, suruhanjaya itu akan menyenarai pendek calon yang layak untuk disyorkan kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri kemudiannya akan mengusulkannya kepada Majlis Raja-Raja, pihak berkuasa terakhir bagi pelantikan hakim, untuk kelulusan.

Katanya, sistem sedia ada perlu dikekalkan kerana sesetengah undang-undang yang dikuatkuasakan di kedua-dua negeri tidak seragam dengan undang-undang di Semenanjung.

Beliau berkata, misalnya undang-undang tanah di Sarawak dan Sabah berbeza dengan undang-undang tanah di Semenanjung dan bagi memastikan keadilan dipelihara, ia memerlukan hakim dari negeri berkenaan untuk memastikan pengendalian lebih baik undang-undang tertentu yang termaktub di kedua-dua negeri.

Pada konvensyen tahunan ke-14 DAP Sarawak pada Ahad lepas, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa rang undang-undang SPK akan menjejaskan hak perlembagaan Sarawak dan Sabah membabitkan Perkara 122B dan 161E(2)(b) kerana suruhanjaya itu akan menghakis kuasa Yang di-Pertua Negeri di kedua-dua negeri daripada segi pelantikan, kenaikan pangkat dan penggantungan hakim.

Dalam perkembangan lain, Taib berkata, rombakan Kabinet negeri akan dilakukan selepas Mac 2009 selepas penyerahan kuasa kepada Perdana Menteri baru diadakan kerana beliau perlu berunding dengan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum melakukan rombakan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada ia melibatkan rombakan besar atau kecil kerana memerlukan masa untuk memikirkannya.

– Bernama

0 comments:

Post a Comment