Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 27, 2009

Tahun Baru Cina disambut meriah di Sarawak

KUCHING 26 Jan. - Perayaan Tahun Baru Cina disambut dalam suasana ceria dan meriah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini meskipun cuaca mendung sejak pagi.

Tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka yang diadakan di beberapa dewan orang ramai begitu mendapat sambutan dan berterusan sehingga ke sebelah petang.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan- kumpulan tarian naga yang membuat persembahan di hampir semua kawasan tumpuan orang ramai.

Selain kunjung mengunjung ke rumah-rumah jiran, pelbagai pihak lain termasuk parti-parti politik seperti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan pelbagai pertubuhan turut mengadakan rumah terbuka.

Antara yang tidak ketinggalan menghadiri perayaan rumah terbuka anjuran SUPP ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau disambut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam serta para pemimpin parti itu sebaik tiba di Ibu Pejabat SUPP di sini pada kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau dipersembahkan dengan tarian singa sebelum beramah mesra dengan kira-kira 1,000 pengunjung pelbagai kaum yang datang ke rumah terbuka itu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar.

Selain itu yang turut hadir adalah menteri-menteri negeri, menteri-menteri muda dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, bandar raya Kuching lengang pada hari pertama Tahun Baru Cina apabila kebanyakan kedai dan pusat membeli- belah ditutup.

0 comments:

Post a Comment