Pages

Ads 468x60px

Friday, January 22, 2010

Penduduk diminta sokong projek pembangunan

SRI AMAN 21 Jan. - Penduduk di bahagian ini dinasihatkan tidak bersikap terlalu 'cerewet' sekiranya sebahagian kecil tanah mereka digunakan oleh kerajaan bagi menyokong projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, rakyat tidak seharusnya marah apabila sebahagian kecil tanah mereka digunakan oleh kerajaan sebaliknya bersyukur dengan faedah yang akan diterima hasil pembangunan.

Katanya, memang tidak dinafikan pembangunan akan menyebabkan sebilangan kecil tanaman rakyat perlu dikorbankan untuk menjayakan sesuatu pembangunan itu, namun manfaatnya begitu besar kepada taraf hidup rakyat selepas ini.

''Kita jangan terlalu cerewet tetapi harus bersyukur kerana pembangunan dilaksanakan di kawasan masing-masing meskipun terpaksa mengorbankan sebilangan kecil pokok tanaman.

''Pembangunan adalah untuk kebaikan rakyat yang pastinya akan meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog antara Shorefield dan Sesco bersama penduduk Rumah Lait, Tekalong Ili, Bangat Skrang, di daerah kecil Engkilili di sini semalam.

Rayong berkata, rakyat juga dinasihatkan supaya tidak terlalu mengutamakan hal tuntutan pampasan terhadap sebilangan kecil tanah yang digunakan untuk projek pembangunan.

Contohnya, kata beliau, pembinaan tiang elektrik di tepi jalan mungkin memerlukan kerajaan untuk meratakan sebilangan kecil kawasan tanah milik penduduk.

Sehubungan itu, katanya, jika perkara itu menyebabkan pemilik tanah mahu menuntut pampasan bermakna mereka tidak pernah menghargai dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

''Kerajaan sentiasa berusaha menaikkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai projek pembangunan, namun ia tidak dapat dicapai sekiranya rakyat terlalu berkira dan mengutamakan pampasan daripada manfaat yang diperoleh hasil pembangunan," katanya.

Terdahulu, kerajaan telah memulakan projek penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM2 juta terhadap 700 orang penduduk dari enam buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan DUN Engkilili.

Enam buah rumah panjang terbabit adalah Rumah Lait Tekalong Ili, Rumah Leonard Tekalong Ulu, Rumah Bulie Lidong Pandak, Rumah Maringar Lidong Belake, Rumah Giae Lidon, Rumah Gimang Lidong dan SK Nanga Lidong.

0 comments:

Post a Comment