Pages

Ads 468x60px

Wednesday, December 1, 2010

Pilihan Raya Negeri Sarawak RM45 juta

PUTRAJAYA 30 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk mengendalikan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan sebelum Julai 2011.

Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun peruntukan itu tidak termasuk kos penyediaan kawalan keselamatan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain terlibat.

"Belum ada petunjuk lagi bila tarikh pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini akan diadakan tetapi SPR sudah bersedia, tunggu wisel (pembubaran DUN) sahaja.

"Peruntukan RM45 juta itu nanti melibatkan semua kos berkaitan SPR termasuk keperluan logistik seperti pengangkutan perahu, helikopter, kereta dan Land Rover," kata beliau ketika dihubungi di Sandakan hari ini.

Abd. Aziz berada di Sandakan pagi ini setelah menerima taklimat mengenai post mortem pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang dirumuskan sebagai berjalan dengan lancar.

Bahang pilihan raya Sarawak kian terasa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika pulang dari Mekah 24 November lalu memberitahu dirinya sudah mendapat 'inspirasi' mengenai tarikh pilihan raya berkenaan.

Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan sama ada pada Mac atau April.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.

Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

0 comments:

Post a Comment