Pages

Ads 468x60px

Monday, March 26, 2012

PM mahu rakyat tolak kerajaan pembangkang

HULU LANGAT: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Selangor menolak kerajaan negeri yang sehingga kini tidak mampu mengotakan janji yang ditabur ketika mereka mahu menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Perdana Menteri berkata, sudah cukup rakyat ditipu dengan pelbagai janji manis palsu kerajaan pimpinan pembangkang dan mereka tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berulang semula pada PRU kali ini.

Antara janji tidak ditunaikan, katanya, termasuk usaha untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus dan cukai premis perniagaan 20 peratus, perkhidmatan kesihatan percuma untuk warga emas, bantuan ibu tunggal RM600, pelajar melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi RM1,000 dan bantuan prasekolah RM50.
“Semua itu belum (ditunaikan) lagi. Sebab itu, hari ini rakyat lebih yakin kepada Barisan Nasional (BN), kita dah kena tipu sekali cukup, kita tak mahu ditipu sekali lagi.

“Kita tolak mereka, pilihan kita adalah BN untuk perintah negara dan Selangor, tidak lama lagi ada peluang (PRU),” kata pada majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir Parlimen Hulu Langat dan Ampang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua di sini, semalam.

Lebih 5,000 rakyat termasuk penerima bantuan membanjiri padang IKBN sejak awal pagi bagi menerima sumbangan daripada kerajaan dan agensi korporat.

Turut hadir Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN Dusun Tua, Ismail Sani.
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kerajaan pimpinannya sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat pelbagai kaum dan bekerja kuat untuk memenuhi harapan mereka.

Keyakinan rakyat pada peringkat akar umbi terhadap parti itu juga, katanya, semakin bertambah kerana mereka sedar parti diterajui Kerajaan Pusat mampu menunaikan janji berbanding pembangkang.

Beliau berkata, ia boleh dilihat menerusi perhimpunan program dihadirinya yang menyaksikan kehadiran rakyat yang begitu ramai.

“Angin kini sudah bertiup kencang kepada BN kerana keyakinan rakyat terhadap BN sudah bertambah dan kian memuncak... kita tunai janji,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan wang tunai bernilai hampir RM6 juta kepada 3,578 mangsa banjir di Parlimen Hulu Langat dan Ampang.

Setiap penerima menerima wang tunai RM1,000 masing-masing sumbangan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Penerima juga menerima dua tilam dan dapur gas sumbangan Kelab Putra 1Malaysia.

Turut diumumkan, peruntukan RM7.5 juta untuk melaksanakan kerja tebatan banjir di kawasan Hulu Langat bagi tempoh jangka pendek.

Najib berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan sebuah jambatan laluan utama dengan kos RM3.5 juta, dua unit pembetung (RM1 juta) dan pengalihan utiliti (RM3 juta).

“Pembinaan projek jangka pendek ini akan dibuat tahun ini juga, sebelum pilihan raya umum manakala projek jangka panjang, termasuk membina kolam takungan yang membabitkan soal pengambilan tanah akan dilakukan selepas kita mengalih alih kerajaan negeri,” katanya.

Pada 7 Mac lalu, lebih 3,000 keluarga terpaksa dipindahkan apabila banjir besar melanda daerah Hulu Langat yang menyebabkan kerugian harga benda dan kemusnahan kemudahan awam bernilai jutaan ringgit.

Antara kawasan terbabit Dusun Tua, Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Serai dan Lembah Jaya Utara.

0 comments:

Post a Comment