Pages

Ads 468x60px

Monday, March 26, 2012

Pertumbuhan ekonomi masih pada tahap selesa

KADAR pertumbuhan ekonomi negara masih kukuh dan berada pada tahap selesa berbanding pertumbuhan ekonomi dunia ketika ini, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, ketika ini, ada beberapa negara maju di dunia yang tidak menunjukkan sebarang pertumbuhan ekonomi atau berada pada kadar yang kurang memberangsangkan. “Setiap tahun memang kita perlu membuat satu unjuran. Kadar yang ditentukan ini masih berada pada tahap yang baik berbanding beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas unjuran pertumbuhan ekonomi lebih rendah antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2012 ini yang dibuat Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2011 bank pusat itu yang dikeluarkannya minggu lalu.

Mengikut laporan itu, pertumbuhan itu bakal dipacu permintaan domestik serta pelaburan persendirian, disokong oleh industri berorientasikan domestik dan projek yang sedang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Nor Mohamed berkata, penilaian semula unjuran pertumbuhan itu juga bukan penghalang untuk Malaysia mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju dengan pendapatan tinggi.
“Ia bukan satu isu. Kita masih mampu mencapai tahap negara maju kerana kita tahu dan bijak untuk menguruskan ekonomi kita dengan pelbagai idea baru,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai pelan dan strategi yang telah dirancang oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, juga adalah usaha berterusan untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju itu.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan juga disasarkan untuk menjadi pemangkin kepada penjanaan ekonomi domestik. Orang ramai akan berbelanja dan ia secara langsung akan menggerakkan ekonomi yang seimbang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment