Pages

Ads 468x60px

Tuesday, May 1, 2012

ANUAR SURUH REMPUH

Ketua Pembangkang beri isyarat supaya Azmin, penyokong masuk Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Rusuhan pada perhimpunan BERSIH 3.0, Sabtu lalu, tercetus selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan memberi isyarat membenarkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokongnya merempuh sekatan polis di Dataran Merdeka.


Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, berdasarkan rakaman video yang diambil pegawainya sebelum Anwar memulakan ucapan kepada penyokongnya di persimpangan Jalan Raja/Jalan Tun Perak. “Kita mempunyai bukti dan rakaman video yang dirakamkan ketika Anwar memberi isyarat supaya Azmin dan penyokongnya merempuh pagar dan kawalan polis.

“Kita akan serahkan rakaman video itu kepada polis dan Peguam Negara untuk meneliti bagi melengkapkan siasatan. Rakaman itu dilakukan ketika Anwar hendak memulakan ucapan,” katanya selepas merasmikan Program Budi dan Jasa serta Perjumpaan Muzakkir JASA peringkat negeri di Kuala Terengganu, semalam. 

Video insiden itu turut ditayangkan kepada media pada sidang akhbar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman, petang semalam, sebelum dimuat turun dalam Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rakaman tujuh minit itu memaparkan insiden rusuhan bermula jam 3 petang selepas Azmin selesai berucap di atas kenderaan pacuan empat roda. 
Dalam rakaman itu, Anwar dan Azmin dilihat menggunakan tanda isyarat selepas Penyelaras Soladariti Anak Malaysia (SAM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard bertanya sesuatu kepada Anwar diikuti laungan ‘Masuk’, ‘Masuk’, ‘Masuk’ oleh penyokongnya.

Sebaik Anwar memberi senyuman dan Azmin turun lori, penyokong mereka memijak kawad duri dan mengangkat besi penghadang sebelum merempuh anggota polis yang mengawal laluan masuk ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, Anwar dan Azmin pada sidang media mereka di sini, pagi semalam, menafikan dakwaan itu. Azmin berkata, Anwar hanya memberi isyarat kepadanya supaya berunding dengan polis untuk membenarkan mereka masuk ke Dataran Merdeka.

Ismail berkata, polis sedang meneliti semua rakaman yang diperoleh di lokasi kejadian bagi mengenal pasti dalang yang mencetuskan kekacauan itu.

“Ini hanya sebahagian saja... ada banyak lagi rakaman untuk rakyat nilaikan sendiri siapa dalang di sebalik insiden itu, termasuk menghasut mereka melakukan provokasi dan bertindak ganas. Mereka akan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai menyiapkan segera proses siasatan bagi tujuan pendakwaan.

“Mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, mereka tidak dibenarkan berarak dan perhimpunan itu tidak sah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment