Pages

Ads 468x60px

Friday, October 19, 2012

KERAJAAN TELITI PINDA HUKUMAN ROGOL GADIS BAWAH UMUR


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak perlu terburu-buru meminda Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan perogol gadis bawah umur atau statutori dihukum penjara mandatori. 

Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang mewakili tujuh badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita memandang serius cadangan kerajaan merangka rang undang-undang yang tidak membenarkan hakim mengenakan hukuman bon jaminan berkelakuan baik bagi kes rogol.

JAG dianggotai Persatuan Wanita untuk Wanita Perak (PWW), Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Sisters In Islam (SIS), Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO). 

“Langkah terburu-buru tanpa kajian dan perundingan terperinci bukan caranya mengendalikan isu ini pada masa depan. 

“Sehubungan itu, kerajaan tidak harus membentangkan rang undang-undang sehingga rundingan lengkap dan terperinci dijalankan dengan mengambil kira pandangan pihak berwajib, Majlis Peguam dan NGO. Ia bagi mengumpul input secara komprehensif untuk lebih memahami dan mengemukakan saranan berkaitan kesalahan jenayah seksual,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Keputusan kerajaan 

Keputusan kerajaan meminda peruntukan yang sebelum ini memberi hakim budi bicara menjatuhkan hukuman, termasuk perintah berkelakuan baik itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 
Pindaan dibuat berikutan bantahan awam apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka memerintahkan pemain bowling kebangsaan, Nor Afizal Azizan, dikenakan bon jaminan RM25,000 berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol gadis bawah umur. 

Mengulas perkara sama, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mahu hukuman bagi kesalahan merogol gadis bawah 16 tahun kekal dalam bidang kuasa mahkamah kerana ada faktor yang perlu dipertimbangkan seperti fakta kes sebelum pesalah dikenakan hukuman berat atau ringan. 

Sebelum ini, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berpendapat sebarang pindaan undang-undang perlu dilakukan secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan. 

JAG menegaskan bantahan dibuat bukan kerana kuasa mahkamah mengenakan hukuman, sebaliknya bagaimana mahkamah menggunakan budi bicara membuat pertimbangan yang dianggap kurang daripada segi alasan, keadilan dan ekuiti. 

“Oleh itu, apa yang perlu bukan mengetepikan keseluruhan kuasa budi bicara mahkamah kerana kejadian merogol gadis bawah umur adakah kesalahan kompleks yang memerlukan pertimbangan pelbagai aspek dan faktor berbeza,” katanya.

0 comments:

Post a Comment